13 July, 2013

Pendidikan Bahasa Arab: Mengapa kita pinggirkan?


  1. Saya menyambut baik usaha kerajaan negeri Perak semalam yang bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi untuk menubuhkan sebuah Institut bahasa Arab di bawah seliaan Kolej Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar. 
  2. Sebenarnya sudah berbelas buah institut, fakulti, jabatan, sekolah dan pusat yang mengembangkan bahasa Arab di Malaysia sejak merdeka. Tetapi pendidikan bahasa Arab masih bersifat eksklusif dan tidak dimasyarakatkan sepenuhnya. seolahnya ia milik ulama dan orang yang berpengajian agama.
  3. Isu kelemahan bahasa Arab sangat kritikal, tetapi yang selalu diutarakan ialah isu kelemahan bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia. Perjuangan pengukuhan Bahasa Melayu pun tidak sehebat saranan mengukuhkan bahasa Inggeris.
  4. Lama dulu sekitar tahun 1928, R.O Winstedt, pengetua SITC dan kemudiaanya menjadi Timbalan Pengarah Pelajaran Malaya pernah melakukan satu kajian tentang pendidikan orang Melayu dan merumuskan bahawa anak anak orang Melayu mempelajari Al Quran tetapi hampir kebanyakan mereka sekadar menghafal tetapi tidak faham kandungan al Quran. 
  5. Mereka bersungguh sungguh melakukan hafalan tetapi tidak menggunakan Al Quran sebagai panduan hidup. Pelajar lebih meniru apa yang dilakukan oleh guru guru mereka tanpa berfikir. 
  6. Al Quran akhirnya tinggal sebagai kitab upacara agama semata mata. Digunakan bila ada keramaian atau majlis sahaja. Yang membaca pun sekadar membaca tanpa memahami maksudnya. 
  7. Saya setuju dengan beliau dalam hal ini. Sebagaimana saya juga bersetuju dengan tindakan O.T Dussek (pengetua SITC sebelum Winstedt) yang bersungguh sungguh memulakan gerakan menanamkan semangat nasionalisme di kalangan pelajar melayu supaya menuntut kemerdekaan tanah Melayu. 
  8. Pada saya, bahasa Arab wajib dimasyarakatkan dalam kalangan orang Melayu. Menguasai bahasa Arab bermaksud menguasai bahasa Al Quran, dan menguasai ilmu Al Quran bermakna menguasai tuntutan Islam. 
  9. Berapa ramai yang mendirikan solat, membaca surah Al Fatihah dan surah lazim tanpa memahami maknanya? dari mana datangnya khusyuk jika tidak tahu maknanya? Cukupkah khusyuk dengan bacaan yang merdu sahaja?
  10. Kerajaan BN Perak telah melakukan sesuatu yang tepat. Juga kepada semua kerajaan negeri lain yang memang telah ada yang menubuhkan institusi yang sama.