01 May, 2012

Pelajar UKM Perlu Cabaran Yang Lebih Besar

Majalah IZISH 2011
Saya mempunyai pemikiran yang agak 'agresif' bila bercakap soal pembangunan pelajar. Saya suka memberikan cabaran dan memprovokasi pelajar supaya melakukan sesuatu yang lebih mencabar jika mereka ingin menguji potensi mereka. Hanya dengan melakukan sesuatu yang lebih mencabar, pelajar akan tahu keupayaan dan kebolehan sebenar mereka. Dengan melakukan sesuatu yang bukan 'biasa-biasa', mereka pasti membina keyakinan diri yang tinggi dan mereka akan mula percaya pada diri mereka sendiri.

Di IZISH, Majlis Eksekutif Pelajar atau JAKSA sering menjadi 'mangsa' kepada pemikiran agresif saya. Saya sering mencabar mereka melakukan sesuatu yang sukar dan bukan biasa-biasa. Di dalam memberikan cabaran tentulah saya juga perlu mengukur sejauh mana sesuatu cabaran harus diberikan. Tidaklah sampai cabaran ini akhirnya akan merosakkan motivasi serta keyakinan diri mereka.

Ada beberapa contoh yang boleh saya lihat cabaran saya berjaya disahut sejak setahun yang lalu oleh MEP IZISH.

1. MEP Kerohanian menjayakan Minggu Hak Asasi Manusia (HAM). Kebiasaannya Biro Kerohanian JAKSA seringkali beraktiviti tentang keagamaan yang bersifat ritual (majlis berbuka puasa, solat hajat, ceramah agama dan seumpamanya), kali ini mereka menerima cabaran menganjurkan Minggu Hak Asasi Manusia yang memberikan pendidikan tentang peri pentingnya kita sebagai hamba Allah berjuang mengekalkan keamanan sejagat dan menentang sebarang diskriminasi dalam kehidupan. Ini adalah juga anjuran ISLAM. Program sebegini di luar kebiasaan bagi biro kerohanian kolej. Dengan bertemakan "Selamatkan Palestin' AJK HAM berjaya menganjurkan dengan cemerlang sekali. Tentunya bukan aktiviti yang biasa-biasa bagi sebuah kolej kediaman menganjurkan acara yang sebegini besar dengan penglibatan begitu ramai orang secara keseluruhannya samada bersama jabatan kerajaan, orang awam dan NGO (kutipan sumbangan, konsert, pameran, tayangan video, ceramah, seminar, konvoi) di UKM dan sekitar Bangi dan Kajang.

2. Festival Seni IZISH yang melibatkan puluhan pasukan kebudayaan berkampung di IZISH. Penyertaan pihak pelajar IPTS dan IPTS, sekolah dan NGO kebudayaan. Berbagai aspek keseniaan di gabungkan  dalam FESKIB 2012. (tarian, musik, lakonan, seni tampak dan fotografi)

3. Career Expo 2012 melibatkan 40 syarikat multinasional, GLC dan senarai papan utama. Melibat penaja emas dari Maybank dan Uda Holding, penaja perak dari CIMB dan Shell. Buat kali pertama sebuah kolej kediaman menganjurkan Career Expo yang besar dalam sejarah 42 UKM. Malah mendapat sambutan dari pelbagai media untuk menjadi rakan media.

4. Penganjuran Makan Malam Tahunan Kolej di Dewan Seri Endon Putrajaya pada 13 Mei 2012. Bukannya kerana dewan DECTAR tidak menarik dan bersejarah tetapi demi menerima cabaran saya, AJK jamuan tahunan IZISH  bekerja keras untuk mendapat tajaan dan sumbangan menjayakan cabaran ini.Tentunya  sangat sukar tetapi kini mereka tahu potensi mereka dan mereka pasti gembira kerana boleh melaksanakannya.

5. Program keusahawan IZISH Corner yang bermula dari sifar, kini berjaya boleh menjana kewangan mereka dengan baik sekali. Malah pasukan keusahawanan kolej ini telah berjaya menyakinkan diri mereka bahawa keusahawanan adalah sesuatu yang menarik dan mendatangkan keuntungan yang boleh dibanggakan.

Banyak lagi cabaran cabaran yang telah MEP IZISH jayakan di dalam 34 projek yang telah dianjurkan sejak setahun yang lalu. Semua ini tentunya dengan kesungguhan team felo yang sudi bersama membimbing pelajar. Tahniah buat MEP dan terima kasih buat pasukan felo IZISH. Itu kisah di peringkat kolej.

Di peringkat UKM, tentunya pelajar juga perlukan cabaran yang lebih besar untuk cemerlang. Misalnya;

Istana Budaya
1. Bila lagi kita ingin melihat pelajar UKM yang hebat dalam bidang keseniaan (teater, musikal dan tarian) membuat persembahan di Istana Budaya? Sukar tetapi tidak mustahil.

2. Bila lagi pelajar UKM akan ke luar negara melakukan program khidmat masyarakat atas nama UKM sebagaimana hebatnya mereka di persada tempatan? Misalnya team UKM yang dianggotai oleh bakal doktor, jurutera, kaunselor, pendidik, pendakwah, ahli perniagaan, peguam dan sebagainya bergabung mewujudkan pasukan sukarelawan antarabangsa UKM.

3. Bila lagi pasukan debat UKM akan mengadakan debat persahabatan dengan pasukan Harvard, Cambrigde, Yale atau Oxford? Tentunya bukan di Malaysia tetapi di tempat mereka samada di UK atau di US.

Semua ini sukar tetapi tidak pernah mustahil untuk dijayakan. Hanya setelah melakukan dan menjayakan sesuatu yang sukar, pelajar akan tahu apa sebenarnya kebolehan mereka. Di dalam usaha pembangunan pelajar, jika masih melakukan yang biasa-biasa sahaja, bimbang akhirnya menjadi sia-sia sahaja.