24 May, 2012

"Pelajar UKM Baik Tapi Belum Cukup Bagus" -Pandangan Majikan di UKM Career Expo 2012

Majlis Ikrar Pelajar UKM
UKM Career Expo 2012 telah berjaya dilaksanakan. Sejak tiga tahun lalu, inilah kali pertama Career Expo UKM kembali diadakan. Sejarah tercatat IZISH sebagai sebuah kolej kecil telah berjaya anjurkan Career Expo 2012 kali ini. Malah pihak pengurusan kolej dan majlis felo IZISH juga telah bersetuju menetapkan Career Expo sebagai salah satu projek tahunan IZISH mulai tahun ini. Malah hampir 90% ajk Career Expo tahun ini adalah pelajar tahun satu yang akan menjadi pengerak utama di sesi hadapan.

Career Expo 2012 mencatatkan sejumlah 42 syarikat yang ikut serta. Sebenarnya masih ada beberapa syarikat lain juga bersetuju untuk ikut serta tetapi terpaksa di tolak kerana ruang DECTAR yang telah pun penuh. Selain itu, lima syarikat telah bersetuju menjadi penaja utama (UDA Holdings, Maybank, SHELL Berhad, MIDF dan CIMB). Dana yang terkumpul hasil tajaan dan sumbangan menunjukkan pada masa depan projek ini berkeupayaan untuk mampu berdiri sendiri tanpa pembiayaan dari pihak UKM.

Saya ambil peluang pada hari terakhir Career Expo 2012 (sabtu tengahari 19 Mei 2012) untuk berlegar legar di dalam DECTAR. Tujuan saya bukan meneroka peluang pekerjaan tetapi ingin mengambil kesempatan untuk bertemu dan berbual bual dengan para majikan di booth syarikat. Dua persoalan utama yang saya ingin ajukan dalam perbualan dengan mereka. 

Pertama, selepas menerima kunjungan pelajar, menemubual calon yang memohon pekerjaan di syarikat mereka, apakah pandangan awal (pra) dan mereka akhir (pos) mereka pada pelajar UKM? Kedua, sebagai majikan, apakah elemen utama yang mereka cadangkan untuk dibangunkan dalam diri pelajar UKM supaya memiliki tahap kebolehpasaran yang lebih tinggi dan berdaya saing?

Ini pandangan mereka secara umum. Apabila mereka didatangi oleh para ajk career expo untuk menjemput mereka menyertai UKM Career Expo 2012, mereka melihat kumpulan pelajar ini sebagai yang kumpulan pelajar berkualiti. Para ajk yang hadir mempunyai imej serta tahap komunikasi yang baik. Malah cara kerja serta follow up yang dilakukan juga memuaskan. 

Saya kaitkan persepsi positif majikan ini dengan usaha pihak felo iZISH yang sentiasa membimbing serta mempersiapkan ajk pemasaran untuk ke syarikat syarikat dengan bahan dan dokumen yang baik. Malah para felo juga menekankan soal imej serta etika apabila berhadapan dengan pihak syarikat. Ini satu keperluan yang sepatunya mesti diadakan untuk semua program yang melibatkan pemasaran dengan pihak luar UKM. Kumpulan ajk pemasaran adalah 'duta duta' UKM di mata para majikan dan industri.

Logo UKM Career Expo UKM 2012
Bagaimanapun, persepsi ini berubah selepas dua hari berada di UKM. Para majikan rata rata menyatakan pelajar UKM yang datang ke booth dan juga menghadiri temubual tidak bersedia dan tidak bersungguh sungguh untuk mendapatkan pekerjaan yang ditawarkan.

Kebanyakkannya masih mempunyai tahap malu yang tinggi, bercakap dengan suara yang kurang menyakinkan dan tidak mempunyai kekuatan daya saing dan kurang pengalaman bekerja dalam kumpulan yang pelbagai budaya. Misalnya kata salah seorang majikan "Bila ditanya, pernahkan anda melakukan aktiviti bersama pelajar Cina dan India?, Pelajar itu menjawab 'pernah'. Boleh ceritakan pengalaman tersebut? Pelajar tersebut menjawab kali terakhir lakukannya ialah semasa aktiviti Bulan Mesra Pelajar (setahun yang lalu!). Ini menunjukkan aktiviti pelajar di UKM masih kurang menekankan soal bekerja dalam pasukan yang mempunyai latarbelakang yang diversiti.

Maksudnya secara umum, majikan yang hadir selama dua hari di UKM mempunyai dua persepsi yang berlainan tentang pelajar UKM. Sebelum masuk ke UKM untuk program ini, mereka mempunyai persepsi yang baik tentang UKM. Nama UKM sendiri sebagai satu satu universiti berstatus kebangsaan sudah cukup menjelaskan hal itu. Apatah lagi dengan status universiti penyelidikan, nama nama besar tokoh intelektual UKM, senarai penyelidikan dan inovasi mengukuhkan lagi persepsi positif ini. Dikuatkan lagi dengan nama Pusat  Permata Pintar dan sebagainya pasti reputasi UKM cukup membanggakan.

Bagaimanapun bila majikan masuk dan mula mengenali secara dekat dengan pelajar UKM, nampaknya persepsi ini mula berubah. Kekurangan kemahiran komunikasi (BM, lebih lebih lagi BI), tahap keyakinan diri yang kurang memberansangkan dan kurang ciri ciri daya saing menyebabkan majikan mungkin berfikir kembali persepsi awal mereka.Saya pasti tidak semua pelajar di UKM sebegitu. Ramai yang bagus dan hebat. Tetapi bak kata pepatah melayu, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Maka tidak dapat tidak hal ini perlu diperkemaskan.

Bila ditanya apakah elemen utama yang perlu diberikan kepada pelajar UKM, rata rata majikan menjawab latihan Bahasa Inggeris. Sesuatu yang sejak dulu telah diperkatakan oleh semua orang di dalam dan luar UKM. 

Kedua, penekanan tentang aktiviti kemahiran komunikasi. Majikan merasakan perlunya kemahiran komunikasi yang dapat membezakan mahasiswa yang masih berkomunikasi seperti 'kebudakan' dengan mahasiwa yang  berupaya berkomunikasi seperti seorang ynag profesional. 

Ketiga, elemen aplikasi pengetahuan yang diringkaskan seperti berikut: Apabila seseorang mahasiswa tahu tentang perubahan ekonomi dunia dan Malaysia, bagaimana pengetahuan ini diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti syarikat. Majikan ingin tahu sejauh mana keupayaan seseorang mahasiswa melihat setiap perkara sebagai peluang dalam perniagaan. Jika setakat kebolehan menerangkan situasi ekonomi malaysia (naik turun bursa saham, KDNK negara etc), itu tidak bersifat aplikasi kepada majikan. Banyak contoh lain seperti gaji minima, GTP kerajaan, ETP etc. 

Setelah puas berlegar di dalam DECTAR, saya mengajak beberapa majikan naik ke tingkat satu ruang jamuan, kami terus berbual (tentunya bukan sahaja tentang pelajar tetapi juga tentang politik nasional). Tetapi saya masih ingat kata kata salah seorang majikan yang minum bersama "Pelajar UKM ni baik baik belaka, tetapi mereka belum cukup bagus". Saya terdiam, angguk tidak geleng pun tidak. Tandanya saya setuju dan tidak setuju dengan pandangan beliau. Pada saat kita bangga dengan mahasiawa UKM yang hebat, rupanya masih banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk membangunkan mahasiawa/i  UKM dengan segera...