23 May, 2012

Bila Lagi ASPIRASI dan ISIUKM akan adakan Debat ala- Khairy vs Rafizi?

Baru selesai tonton Debat Sinar antara YB Khairy Jamaludin (MP Rembau) dan Sdr Rafizi, Ketua, Unit Strategi PKR. Dua- dua berjaya dengan cara dan gaya masing masing. Tentunya ucapan tahniah kepada kepimpinan PM YAB Dato Seri Najib yang mula membuka pintu kepada program program seumpama ini.

Mahasiswa sepatutnya menggunakan platform yang sama untuk meningkatkan keupayaan mereka. Program berdebat, berpidato dan bersyarah sepatutnya menjadi teras dalam aktiviti mereka. UKM telah menyediakan Speakers' Corner yang menyokong kepada usaha ini malangnya sambutannya masih kurang mengalakkan. Sekali sekala ada juga kepimpinan pelajar UKM yang cuba menggunakannya tetapi tidaklah begitu berjaya menarik perhatian para pelajar UKM secara menyeluruh.

Apa pun, usaha berdebat dengan cara yang terhormat, disusun dengan bahasa yang bersopan, diselangi dengan sorak sokong para pegikut yang beretika harus diperkasakan. Tujuan akhirnya ialah memberikan penambahan ilmu pada para pendengar. Pemidatonya pula berpeluang berkongsi idea dan menggarap pengalaman yang akan meningkatkan kewibawaannya dalam perucapan umum.

Tentunya persoalan politik akan menjadi mercu tanda kepada aktiviti debat. Bukan kerana debat integriti, debat pengguna, atau debat alam sekitar tidak menarik tetapi debat isu politik ada keunikannya. Dengan mengambilkira semangat keterbukaan kerajaan dan kerjasama positif para penyokong yang semakin matang, mungkinkah sudah sampai masanya debat ASPIRASI vs ISIUKM boleh diadakan dalam masa terdekat di dalam kampus UKM? Mungkinkah lobby atau kafetaria iZISH boleh diisikan dengan aktiviti sebegini? Apakah MEP iZISH boleh menjadi penganjurnya?

Asal sahaja pihak JPPEL bersedia meluluskan aktiviti sebegini, saya pasti akan memberikan laluan. Jangan kita masih tidak mahu berubah dan kekal dalam kerangka lama kepolitikan luar kampus yang hanya asyik berceramah hanya untuk para penyokong sahaja. Tentunya itu sesuatu yg mudah tetapi tidak lagi mencabar minda. Bersyarah atau berceramah pada para penyokong tegar tidak membawa masyarakat kita ke mana mana,  hanya sekadar mengukuhkan lagi doktrin sedia ada dalam minda penyokong semata mata.

Maka itu perdebatan terbuka ala YB Khairy vs Rafizi adalah satu mekanisme yang boleh mengukuhkan lagi usaha menjayakan demokrasi kampus dan juga keintelektualan para pelajar UKM. Tentunya kepimpinan ASPIRASI UKM mempunyai banyak agenda untuk menyakinkan pelajar UKM bahawa apa yang sedang dianjurkan oleh kerajaan sekarang adalah yang terbaik demi kebaikan dan kemajuan rakyat. Begitu juga kepimpinan ISIUKM tentunya juga mempunyai idea alternatif untuk diusulkan kepada pihak kerajaan. Kerajaan sekarang adalah kerajaan yang lebih mendengar dan bersikap terbuka, maka usulkanlah secara berdebat...itu jauh lebih baik dari hanya duduk dan bantah!