26 May, 2012

Ahli Lembaga Pengarah MEP: Satu Lagi Inovasi Pembangunan Pelajar IZISH

Teori Pembelajaran Bandura (1986), Teori Keperluan Manusia Maslow (1989), Teori Kontruktivism dan beberapa teori utama pendidikan lain banyak memahamkan saya bahawa cara paling berkesan untuk belajar adalah melalui pengalaman. Cara terbaik untuk mendapat pengalaman ialah dengan melakukannya sendiri. Semakin sukar dan tinggi cabaran yang dihadapi apabila melakukannya, akan semakin banyak pengalaman yang diperolehi, maka semakin berkesan pembelajaran tersebut.

Di kolej kediaman, setiap tahun akan ada sekumpulan pelajar  yang akan dilantik sebagai JAKSA (MEP di IZISH) untuk memimpin para pelajar. Selain JAKSA ada juga yang dilantik sebagai pengarah serta AJK sesebuah projek. Selepas setahun berkhidmat, ahli JAKSA akan melepaskan jawatan mereka untuk kumpulan junior untuk meneruskan kepimpinan.

Acapkali saya melihat kumpulan yang melepaskan jawatan JAKSA ini mempunyai banyak idea dan cadangan untuk dimajukan pada pihak pentadbiran kolej. Oleh kerana mereka telah mempunyai pengalaman setahun sebagai JAKSA, mereka ada pengetahuan selok belok pengurusan universiti, faham maksud pembangunan pelajar dan telah mahir menguruskan aktiviti di kolej. Malangnya kerana tempoh khidmat sebagai JAKSA hanya setahun, banyak idea dan cadangan mereka 'terbengkalai' begitu sahaja. Idea yang baik ini tinggal dalam lipatan pemikiran mereka sehinggalah tamat pengajian di UKM.

Oleh itu, sebagai mengiktiraf keupayaan dan potensi penjanaan idea dari kalangan mantan JAKSA dan pengarah pengarah projek di IZISH, mulai sesi depan beberapa orang dari kumpulan ini akan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Majlis Eksekutif Pelajar (ALP-MEP). Badan ini akan bertindak sebagai kumpulan yang akan memberikan nasihat dan bimbingan secara kontruktif dan berterusan pada MEP, bukan badan yang membuat keputusan. Keputusan tentang aktiviti adalah di bawah tanggungjawab MEP sepenuhnya. Seramai tujuh orang pelajar senior yang telah dikenalpasti mempunyai idea, kepimpinan, pengalaman serta cemerlang akademik akan diberikan tanggungjawab sebagai ALP-MEP. Salah seorang akan bertindak sebagai Pengerusi ALP-MEP. Manakala empat orang pelajar yang akan dilantik iaitu Ketua Eksekutif MEP, Timbalan Ketua Eksekutif, Eksekutif Pentadbiran MEP dan Eksekutif Kewangan MEP juga adalah ahlinya. Semuanya 11 orang ahlinya adalah terdiri di kalangan pelajar IZISH. 

Lima peranan utama ALP-MEP yang akan bersidang tiga kali dalam satu semester  ialah memberikan pandangan dan idea kepada pihak MEP berkaitan;
    1. penambahbaikan pengurusan projek MEP, 
    2. bimbingan penjanaan kewangan projek MEP;
    3. memperkasakan nic projek berimpak tinggi di bawah MEP
    4. agenda pemerkasaan kepimpinan pelajar MEP; 
    5. kaedah mengoptima sumber manusia semua unit di bawah MEP (kelab, biro dan urusetia)
Secara langsung sebahagian peranan felo IZISH akan disokong oleh kumpulan ALP-MEP. Pasukan felo IZISH akan mempunyai ruang untuk lebih menumpukan kepada usaha usaha pembangunan pelajar sepenuhnya. Sinergi Kepengetuaan-Majlis felo-MEP dan ALP-MEP diyakini akan memantapkan lagi usaha IZISH membangunkan pembangunan pelajar selari dengan Pelan Strategik IZISH 2011-2013.

Sebagai pasukan kepimpinan pelajar yang mempunyai pengalaman setahun memimpin pelajar di IZISH, pasukan ALP-MEP pasti mempunyai banyak idea dan cadangan yang boleh dimanafaatkan oleh seluruh warga IZISH. Semoga inovasi ini akan meningkatkan lagi pembangunan pelajar di IZISH pada masa depan...