22 May, 2012

TAHNIAH!! Buat JAKSA Kolej Kediaman UKM Sesi 2012-2013

Sejarah JAKSA di kolej UKM memang panjang. Asalnya dulu JAKSA atau nama penuhnya Jawatankuasa Siswa/i merupakan satu jawatankuasa peringkat pelajar yang ditubuhkan oleh pihak kepengetuaan komsis/kamsis/kolej untuk membantu pihak pengurusan menjaga kebajikan pelajar.

Peranan JAKSA pada mulanya sangat asas. Seseorang yang ingin menjadi JAKSA juga tidak memerlukan apa apa kriteria yang khusus. Cukuplah kalau beliau bersetuju untuk dilantik oleh pihak pengurusan kolej untuk menjadi JAKSA.

Hari ini, cabaran dan tuntutan telah berubah. Selain mempunyai pengalaman berorganisasi di peringkat tahun satu, seseorang Calon juga perlu mempunyai keputusan PNGK sekurang kurangnya 2.50. Selain itu memiliki perwatakan yang dihormati oleh para pelajar kolej. JAKSA juga mempunyai kuota etnik (Melayu, Cina, India dan sabah Sarawak). Malah latar kenegerian dan fakulti  juga diambil kira agar lebih menyeluruh.

Dulu bilangan keahlian JAKSA kolej agak besar. Ada kolej yang mempunyai sehingga 22 orang jaksa. Tetapi apabila berlaku penyesuaian selari dengan perkembangan biro dan bentuk aktiviti, bilangan keahlian JAKSA kekal antara 11 hingga 14 orang sahaja.

Biro JAKSA biasanya meliputi YDP, NYDP, Setiausaha, Bendahari, serta beberapa exco lain termasuklah sukan, kesenian, kerohanian, integrasi, alumni, pengantarabangsaan, kebajikan, hal ehwal siswi, keusahawanan dan sebagainya. Apabila ahli JAKSA diluluskan oleh pihak universiti supaya diberikan kemudahan penginapan percuma selama satu sesi berkhidmat, Majlis Pengetua telah bersetuju menetapkan jumlah keahlian JAKSA ialah 14 orang kecuali di KPZ, KKM dan KTSN di mana jumlahnya ditambah atas rasional bilangan pelajarnya yang jauh lebih besar berbanding kolej kolej yang lain. Jika dulu peranan JAKSA ialah membantu pengurusan kolej berkaitan kebajikan pelajar, hari ini dan pastinya pada masa depan peranan ini akan berubah, bukan sedikit demi sedikit tetapi berlaku perubahan yang besar.

JAKSA hari ini dan masa depan akan mula berubah kepada mengungguli peranan menjayakan pembangunan pelajar. Soal kebajikan pelajar telah berubah daripada hanya berkisar soal perabot di bilik, bekalan air, mutu makanan di kafe kepada soal kebajikan berkaitan kebolehpasaran graduan, kemahiran komunikasi, pembinaan akhlak dan sahsiah etc. Kebajikan bentuk lama walaupun masih penting tidak akan lagi menjadi urusan teras kepada JAKSA kolej kediaman sesuai dengan tranformasi UKM.


Pengenalan konsep kolej akademik di UKM di mana aktiviti berkredit berasaskan kontrak pembelajaran dilaksanakan di kolej menuntut kepimpinan JAKSA untuk mula menumpukan perhatiannya kepada penganjuran aktiviti berimpak tinggi untuk disertai oleh para warga pelajar di kolej.

Misalnya di IZISH, JAKSA (lebih dikenali sebagai  Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) atau Students Executive Council (SEC) telah memulakan peranann barunya dengan menganjurkan beberapa projek berimpak tinggi seperti Minggu Hak Asasi Manusia (mendekati isu Palestin), Festival Kesenian (melibatkan puluhan kolej, sekolah dan IPTA), UKM Career Expo 2012, (42 syarikat multinasional dan syarikat swasta), Program Keusahawanan Izish Corner, Kelestarian Kolej etc. Malah keseluruhannya 41 projek di IZISH telah berjaya dianjurkan oleh MEP IZISH sepanjang sesi ini. Begitu juga dengan JAKSA kolej lain yang turut juga berjaya dalam berbagai aktiviti yang telag mereka anjurkan.


Jika di teliti dari data jumlah aktiviti pelajar di UKM yang terdapat di JPPEL, JAKSA Kolej Kediaman UKM telah menyumbang sebanyak hampir 60% daripada bilangan aktiviti keseluruhan pelajar UKM dan kekal sebagai penyumbang aktiviti pelajar yang terbesar di UKM sejak lima tahun yang lalu.

JAKSA melangkah ke hadapan
Mulai minggu lepas dan sehingga minggu depan,  semua kolej telah mula membuka percalonan JAKSA, sesi temuduga dan juga proses perlantikan ahli JAKSA untuk sesi depan. Dijadualkan sebelum bermulanya peperiksaan, semua proses ini akan selesai sepenuhnya di semua kolej.

Maka kepada semua calon calon JAKSA yang akan dilantik, anda perlu mula mempunyai minda dan kefahaman yang jelas tentang apakah peranan serta fungsi anda jika di lantik sebagai seorang JAKSA. Paling utama JAKSA berkhidmat untuk semua pelajar tanpa mengira apapun kecenderungan politik pelajar kampus.  JAKSA juga merupakan satu pasukan ampuh yang sentiasa bersama dengan pengurusan kolej dan sentiasa akan terus menyokong perancangan aktiviti dan program HEPA UKM demi kebaikan pelajar UKM. Jika dulu, fungsinya sebagai 'pengurus' kebajikan pelajar semata mata, kini JAKSA adalah pimpinan  yang perlu berusaha membangunkan potensi pembangunan pelajar UKM.

Semoga 167 orang JAKSA yang akan dilantik untuk memimpin 15,230 pelajar di 12 kolej kediaman sesi depan akan menanamkan semangat sedia berkhidmat untuk kemajuan pelajar dan akan sentiasa bersama dengan pengurusan UKM memartabatkan citra UKM di persada yang dicitakan.

Buat semua JAKSA sesi 2012-2013 yang akan dilantik, saya ucapkan setinggi tinggi TAHNIAH!! dan selamat berkhidmat untuk seluruh pelajar di kolej anda...dan untuk UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA...