15 May, 2012

Kebolehpasaran Pelajar: Agenda Kritikal UKM

Laporan Pengesanan Graduan KPT
Data rasmi KPT menunjukan Universiti Petronas (UTP) mencapai 99% graduannya yang bekerja selepas sembilan bulan tamat pengajian. Menariknya hanya 30% sahaja yang bekerja dengan syarikat Petronas manakala bakinya mendapat pekerjaan di pelbagai sektor kerajaan dan syarikat swasta secara temuduga terbuka. Ini mungkin berbeza dengan tanggapan ramai yang selama ini percaya UTP mengambil semua graduannya bekerja dengan Petronas dan anak-anak syarikatnya. UTP adalah universiti yang mencatat universiti paling tinggi kebolehpasaran mahasiswa di negara ini.

Taylor University mencapai 92% graduannya yang bekerja dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, Multimedia University mencatat 82%. Universiti Sains Malaysia mencapai 78% graduannya yang bekerja dalam tempoh yang sama. Menariknya bila satu- satu universiti bertaraf kebangsaan di Malaysia iaitu UKM telah mencatat peratusan yang  rendah di kalangan universiti perdana dan bertaraf penyelidikan iaitu hanya 68%!

Peratus yang rendah ini biasanya disumbangkan oleh prestasi tiga fakulti terawal di UKM iaitu FSSK, FPI dan FST (Pengesanan Graduan UKM 2009, 2010). Manakala Fakulti Perubatan dan Undang Undang mempunyai reputasi yang baik di mata majikan.

Persoalanya, apakah punca dan bagaimana peratusan ini dapat ditingkatkan (sekurang-kurangnya 80% graduan UKM berjaya memperolehi pekerjaan dalam tempoh enam bulan setelah tamat pengajian.

Banyak kajian telah menunjukkan punca utama kepada kegagalan seseorang graduan memperolehi pekerjaan (terutama temuduga kali pertama dengan majikan) ialah kegagalan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia. Istilah kemahiran komunikasi boleh diterjemahkan sebagai tahap pertuturan yang teratur, pemilihan perbendaharaan kata yang tepat, penyusunan ayat yang kemas serta gaya persembahan pertuturan yang menyakinkan (dalam kedua dua bahasa).

Faktor kedua yang menyumbang kepada kegagalan berkomunikasi berkaitan dengan kelemahan isi kandungan (content) dan juga kekurangan idea (aplikasi). Calon tidak mempunyai pengetahuan am dan spesifik yang tinggi, kurang berjaya mengaitkan apa yang beliau tahu dengan soalan majikan serta gagal menyakinkan majikan bahawa pengetahuan yang beliau ada sangat berguna kepada syarikat.

Selain itu penyediaan resume (CV) yang tidak menarik, pencapaian yang gagal ditonjolkan dalam CV serta gaya CV yang disediakan tidak menjurus kepada fokus syarikat. Misalnya apabila memohon jawatan di syarikat yang berteraskan rekabentuk grafik, design dan kreatif, cover CV yang disediakan pada peringkat awal sudah memberikan persepsi tentang graduan berkenaan.

Etika berpakaian juga menjadi isu dalam hal ini. tak perlu dihuraikan tentang keperluan ini. Semua graduan sudah semestinya faham dan maklum tentang etika berpakaian semasa menghadiri temuduga.

Kemahiran Utama Kebolehpasaran Graduan
Melihat kepada peratus pencapaian kebolehpasaran graduan UKM yang masih rendah, satu perancangan besar harus dilakukan dengan kadar yang segera. jangan sampai nanti sudah tertanam dalam pemikiran masyarakat umum bahawa "graduan UKM sukar mendapat pekerjaan", sedangkan hal ini bukanlah sesuatu yang bersifat mutlak. setiap tahun ada turun naiknya peratusan ini.

Pertama, perlunya usaha besar besaran mengangkat agenda kemahiran komunikasi sebagai antara yang paling utama dalam UKM. (dalam pengajaran pembelajaran dan juga aktiviti yang dianjurkan oleh pelajar). Peruntukan harus diselaraskan dan ditumpukan kepada usaha ini. Sistem pemantauan secara berkesan melalui penilaian berterusan berasaskan bimbingan harus dimulakan seawal mungkin.

Kedua, perlunya pusat khas (baca: Pusat Pembangunan Kerjaya dan Profesionalisme) yang membantu pelajar membina CV, mock interview, menganjurkan minggu kerjaya, Career Talk dan sebagainya untuk mewujudkan proses 'engagement' supaya berlaku antara pelajar dan majikan.

Ketiga, memperkasakan bukan setakat amalan keusahawanan tetapi terus kepada wujudnya "perniagaan pelajar". Program keusahawanan yang dilaksanakan di IPTA nampaknya seperti program yang tidak menghala secara khusus kepada perniagaan sepenuhnya tetapi lebih kepada usaha usaha awal yang bersifat kecil kecilan untuk mengalakkan nilai nilai keusahawanan diterapkan. Ini tidak cukup untuk membantu kepada mewujudkan perniagaan pelajar sepenuhnya. Sudah begitu lama program keusahawanan dianjurkan oleh IPTA dan sehingga kini belum ada tanda tanda yang jelas ia telah memberi impak kepada kebolehpendapatan mahasiswa. Sekadar hadiri beberapa seminar, bengkel dan kursus seterusnya menjalankan perniagaan 'main-main' secara konvensional. Masuk ke tahun akhir, bila pelajar mula sibuk dengan tesis maka semua aktiviti keusahawanan akan ditinggalkan begitu sahaja. maka itu perniagaan sebenar harus dimulakan di peringkat tahun satu lagi.

Kebolehpasaran pelajar sudah menjadi sesuatu yang kritikal di UKM. Perancangan dan tindakan segera harus dimulakan dengan melibatkan pelajar tahun pertama pengajian. Jika ini dapat dilakukan, diharapkan pada tahun 2015, peratus kebolehpasaran mahasiswa UKM akan mencapai 80% secara konsisten.