02 April, 2012

Membangunkan Mahasiswa UKM Secara Holistik...

  1. JIka kita meneliti teori pembangunan insan kita pasti berjumpa dengan konsep pembangunan holistik (seimbang dan menyeluruh). Samada pandangan Islam atau barat, kedua-duanya bersetuju membangunkan insan akan menyentuh soal pembangunan kognitif (akal), afektif (nilai) dan psikomotor (kemahiran).
  2. UKM mempunyai banyak komponen di dalam proses membangunkan pelajar. Kita ada fakulti, PPU, JPPEL, PAP, Kolej, institut dan pusat pengajian. Bila berbicara soal pembangunan pelajar, tentunya kita akan tertumpu kepada peranan Pusat Pengajian Umum, JPPEL, Kolej Kediaman dan juga mungkin PAP- secara tidak langsung).
  3. Asasnya Pusat Pengajian Umum memberikan peluang 'peluasan ilmu' pada pelajar UKM. Teringat ketika saya berbual dengan Allahyarham Prof Datuk Syed Hussein al Attas, beliau perlu menyebut pentingnya PPU ini bagi membina mahasiswa yang berfikiran intelektual (pembagunan akal). Maksud beliau jika pengajian di fakulti lebih menjurus membina keupayaan modal insan bersifat 'ekonomikal', yakni sebagai pekerja kepada pembangunan ekonomi diri dan negara. PPU menjadikan kita berfikir secara kritikal di luar ruang 'ekonomi' tetapi ke arah menajamkan intelektual berkaitan membela nasib masyarakat, menelah rasional kepolitikan semasa, meberikan idea untuk pembangunan pendidikan, memperjuangkan falsafah keilmuan, mengukuhkan tradisi pemikiran yang murni dan sebagainya. Maka ini PPU ditubuhkan. Sebagai 'Pusat Peluasan Ilmu' kepada mahasiswanya.
  4. Seterusnya diwujudkan PAP-JPPEL sebagai tempat menguruskan pembangunan soft skills pelajar (pembangunan psikomotor). Pembangunan softskills ini penting khususnya bila kita ingin menjadikan pelajar UKM berdaya saing serta kompeten di alam pekerjaan. Mekanisma yang di gunakan oleh PAP dan JPPEL ialah dengan menggalakkan penganjuran aktiviti melalui persatuan persatuan pelajar. Semakin banyak aktiviti dilakukan diharapkan lebih ramai pelajar berpeluang melibatkan diri di dalam meningkatkan kemahiran softskills masing masing. Semakin tinggi tahap aktiviti ( jumlah dana, peringkat UKM atau kebangsaan atau antarabangsa) maka diharapkan akan lebih banyak peluang softskills pelajar dapat digilap.
  5. Kolej pula selain mempunyai peranan asas sebagai penginapan pelajar, memberikan peluang di dalam membangunkan nilai dan kemahiran sosial pelajar (pembangunan afektif). Di kolej pelajar akan berpeluang berinterksi dengan berbagai latarbelakang pelajar. Samada berbeza kaum, bahasa, bidang pengajian, status ekonomi, berbeza ideologi dan pemikiran dan sebagainya. Maka kolej sangat siknifikan di dalam memberikan pembangunan kemahiran sosial kepada para pelajar. Kemahiran sosial seperti menghormati, toleransi, mengenali sensitiviti orang lain dan sebagainya tidak akan ada di tempat lain di dalam kampus sebanyak yang ada di kolej .
  6. Oleh itu PPU, PAP-JPPEL dan Kolej memberikan tiga input yang beriringan kepada pembangunan pelajar. PPU memberikan perluasan ilmu, PAP-JPPEL memberikan peluang pembangunan softskills manakala kolej menyediakan peluang pembangunan interaksi sosial  kepada para pelajarnya.
  7. Oleh itu sangat perlu ketiga tiga bahagian ini diselaraskan sumbangannya kepada para pelajar agar i) tidak berlaku pertindanan peranan anatara satu dengan yang lain. ii) perancangan membangunkan modal insan pelajar dapat dilakukan secara lebih holistik jika ketiga tiga komponen ini jelas peranan mereka, iii) penjimatan kos kewangan dan sumber manusia kakitangan UKM dapat dilaksanakan secara berkesan dan iv) beban kredit pelajar dapat disesuaikan dengan hasil pembelajaran (learning outcomes).
  8. Kesempatan meneliti keadaan semasa memang menunjukkan apa yang dilakukan oleh PPU melalui Kursus Pembangunan Diri untuk membangunkan softskills turut dilakukan oleh JPPEL dan Kolej Kediaman. (sepatutnya PPU membangunkan peluasan ilmu).
  9. Maka  berlaku keadaan di mana pelajar akan mengikuti program khidmat masyarakat beberapa kali dalam setahun di PPU, Kolej dan anjuran persatuan pelajar di bawah JPPEL. Bagaimana dengan program pembangunan Bahasa Inggeris, program kerjaya, aktiviti perpaduan, latihan kepimpinan, aktiviti pem,bangunan kerohanian dan sebagainya. Berdasarkan pengalaman yang lepas, jika disusun senarai aktiviti mengikut kategori, kita akan dapati program pembangunan Bahasa Inggeris akan berada di tangga yang paling bawah manakala khidmat masyarakat akan berada di tangga yang paling atas.
  10. Antara puncanya  PPU, PAP-JPPEL dan kolej melaksanakan perancangan masing masing tanpa diselaraskan dengan unit yang lain. Memang betul semua aktiviti memberikan peluang untuk pelajar membangunkan softskills masing masing tetapi dengan penyelarasan yang betul, keberkesanan membangunkan pelajar tentunya akan menjadi lebih baik. 
  11. Pelajar IZISH di Hutan Pendidikan Alam UKM
  12. Maka benar juga kata pepatah lama, jika inginkan hasil yang berbeza, jangan kita ulangi setiap kali dengan cara yang sama seperti sebelumnya. Sekadar satu pandangan peribadi...