16 April, 2012

Formula IZISH Memperkasa Institusi Felo Kolej Kediaman

Felo Kolej Kediaman di UKM sekarang berjumlah kurang lebih 150 orang. Ada yang telah berkhidmat lebih lima tahun dan ada pula yang masih baru sebagai felo. Dulu, di zaman saya sebagai pelajar, dan kemudiannya menjadi felo sehinggalah Ketua Felo, ketika kolej masih dengan nama lamanya iaitu Kamsis (Kampung Siswa) kami sebagai felo mempunyai dua peranan utama iaitu a) menjaga keselamatan blok dan b) menjaga kebajikan pelajar.


Di bawah dua peranan ini terkumpullah beberapa aktiviti seperti mengadakan mesyuarat keselamatan blok dengan pelajar setiap bulan, membuat 'spot-check' setiap dua bulan sekali, membuat pemeriksaan dari bilik ke bilik bila ada laporan kecurian, menghantar, menunggu dan membawa pulang pelajar dari hospital Kajang bila ada kecemasan berkaitan kesihatan atau kemalangan dan membuka, mengambil kunci bilik, menunggu di pejabat dan menulis buku laporan bila ada kes pelajar tertinggal kunci di dalam bilik sebelah malam. Inilah rutin seharian sebagai felo. Tanpa sebarang bayaran elaun. semuanya atas perbelanjaan felo sendiri!

Bila Kamsis bertukas menjadi Kolej, peranan felo juga bertambah. Selain rutin di atas, felo bertanggungjawab untuk  membimbing dan memantau aktiviti pelajar. Maka menjadi felo bermakna kita semakin sibuk dan kadang kala melelahkan. Bayangkan setiap kolej menganjurkan 25 hingga 30 projek setiap tahun. Semua projek ini perlu dibimbing dan dipastikan kelancaran perancangannya.
Apabila ko-kurikulum mula menggunakan sistem SPKG,  felo sekali lagi diberikan peranan tambahan iaitu memastikan kelancaran aktiviti pelajar. Tetapi pengenalan SPKG membawa kepada bermulanya bayaran elaun felo diperkenalkan oleh pihak UKM. Tujuan elaun itu sebagai ganjaran atas bantuan dan tugasan seseorang felo membimbing pelajar di kolej masing-masing.


Kini UKM mempunyai ko-kurikulum berasaskan kontrak pembelajaran (LC) menggantikan SPKG. Pelaksanaan LC memenuhi amalan dasar pembelajaran menyeluruh UKM dan juga mengiktiraf kampus UKM sebagai sebuah eko sistem ilmu. Dengan kata lebih mudah, di mana-mana sahaja asalkan seseorang pelajar berada di dalam kampus, proses pembelajaran dan pencarian ilmu sedang berlaku dalam dirinya. Jika di padang, ilmu berkaiatan sukan sedang berlaku, bila di Pusat Kebudayaan, ilmu kesenian yang diterima.

Begitu juga dengan halnya di kolej. Ilmu berkaitan sosialisasi, interaksi, perpaduan dan sebagainya pula diterima. LC memberikan peluang untuk pelajar menganjurkan apa juga program yang mereka minati. Tetapi sebagai memenuhi matlamat penganjuran aktiviti bertujuan meningkatkan softskills pelajar, institusi felo mempunyai peranan dan tanggungjawab yang sangat besar. Misalnya membimbing pelajar tentang keberkesanan di dalam softskills, prosedur penganjuran aktiviti dan juga pengurusan risiko di dalam penganjuran sesuatu aktiviti.

Melihat kepada pelbagai perubahan yang telah dan sedang berlaku, sudah semestinya pemerkasaan felo kolej kediaman di lakukan. Apa yang telah dilakukan di IZISH, biar saya kongsikan di sini. Kami di IZISH percaya tunggak kejayaan membangunkan softskills para pelajar adalah tergantung kepada keupayaan pasukan felo kolej kediaman. Semakin kuat pasukan felo kolej maka akan semakin tinggi pembangunan softskills pelajar dapat dicapai. Semua pemikiran ini telah pun dihasratkan di dalam Pelan Strategik IZISH 2011-2013.

Secara individu:
  1. Pelantikan felo di IZISH berasaskan multi etnik, multi fakulti dan juga 'kepakaran' yang berbeza-beza.
  2. Felo yang di lantik telah dikenalpasti mempunyai bukti bukti yang menunjukkan mereka ada pengalaman yang mendalam di dalam penganjuran projek pelajar.
  3. Setiap felo mempunyai 'niche' masing masing yang menyumbang kepada pembangunan pelajar di IZISH. 
  4. Felo juga adalah mereka yang dikenalpasti mempunyai  kemahiran komunikasi, sahsiah serta kefahaman yang baik tentang pembangunan pelajar.
Secara institusi
  1. Timbalan Pengetua diberikan tanggungjawab membangunkan aktiviti pelajar di IZISH. Beliau akan dibantu oleh felo IZISH.
  2. Sebuah majlis felo IZISH ditubuhkan sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan pembangunan pelajar IZISH. Majlis ini bertanggungjawab menyediakan garispanduan aktiviti, prosedur serta memantau pelaporan semua aktiviti pelajar. Majlis ini juga bertanggungjawab menyediakan dokumen pengiktirafan, penghargaan, sijil dan sebagainya.
  3. Sebuah pejabat felo diwujudkan. Di IZISH pejabat ini telah dinamakan Unit Pembangunan Insaniah (UPI-IZISH). Di sini pelajar akan memgadakan perjumpaan dengan felo untuk bimbingan penganjuran projek.
  4. Felo membuka jalan  kepada pelajar berkaitan penganjuran aktiviti yang dikenalpasti berimpak tinggi. Di IZISH aktiviti kelestarian dan kesepaduan sosial adalah usaha berterusan untuk membudayakan aktiviti berimpak tinggi. Maka program kelestaraian seperti Green Planet Ventures, Karnival Alam Sekitar dan program Kesepaduan sosial seperti Minggu hak Asasi Manusia dan Festival Kesenian (FESKIB) yang berteraskan kebudayaan  nasional telah berjaya dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar.
Oleh itu sudah sampai masanya sebahagian besar urusan menjaga keselamatan blok harus diserahkan pada JAKSA dan ketua blok. Begitu juga dengan urusan kebajikan pelajar yang kini boleh diuruskan oleh exco kebajikan di bawah JAKSA Kolej. Felo seharusnya melihat perkara lain yang menjadi semakin penting seperti pembangunan akademik pelajar kolej, pembangunan softskills serta hal hal berkaitan tatatertib.

Semoga institusi felo kolej kediaman UKM akan lebih mantap di dalam mendepani cabaran semasa dan juga mendatang....