26 April, 2012
Bila Monyet Juga Boleh Mendidik Kita di UKM
Entah mengapa isu monyet memang dekat di hati saya. Mungkin sejak sekian lama saya sering memerhati dan meneliti rutin kehidupan primat unik ini. Cara mereka berinteraksi sesama mereka, stail kepimpinan kelompok, cara mempertahankan kelompok sehinggalah kepada berpeluang meneliti bila dan di mana selalu mereka mendapat sumber rezeki 'halal' mereka. Saya katakan halal kerana di sinilah 'kampung halaman dan rumah asal' mereka sebelum kita datang merubah segalanya.
Kadang kala saya kesian melihat keadaan mereka. Setelah tempat mereka diceroboh, kita telah gagal mengharmonikan kehidupan kita dengan mereka. (Tentunya juga saya lebih bersimpati dan sedih bila ada pelajar yang menjadi 'mangsa' gangguan mereka).
Setelah semua sumber makanan mereka kita rosakkan dengan agenda besar kita untuk membina bangunan dan jalan-jalan raya dalam kampus, kita labelkan mereka sebagai penganggu kehidupan kita. Mereka sebenarnya telah terperangkap dan mula terputus sumber makanan dari habitat semulajadi mereka.
Percaya atau tidak, sudah banyak kali saya melihat 'ibu-ibu' memastikan anak-anak yang kecil makan dahulu, setelah anak-anaknya meninggalkan makanan tersebut, sisa makanan tersebut baru diambil dan dijamah oleh si ibu. Itupun kalau sisa makan tersebut masih berbaki, kalau tidak maknanya si ibu terpaksa menahan kelaparan sehingga terjumpa makanan di tempat lain, itupun kalau masih ada.
Soalnya bagaimana kita, sebagai insan yang diangkat sebagai khalifah di mukabumi ini dapat membantu menyelesaikan masalah 'sekecil' ini. Sejauh mana keinsanan kita boleh membantu kita untuk menyatakan kepada diri sendiri 'marilah kita hidup bersama secara berkongsi di bumi UKM ini".
Sebab itu saya sangat teruja bila ada kalangan felo dan pelajar IZISH merangka program "Food Waste Phase Out". Secara ringkas program ini mendidik pelajar mengasingkan sisa makanan di dalam satu bekas khas yang tertutup di blok pelajar, seterusnya sisa makanan tersebut dikumpulkan bersama sisa bahan bahan makanan dari kafetaria (buahan-buahan dan sisa makanan pepejal) dan diletakkan di beberapa tempat yang dikenalpasti menjadi laluan utama kumpulan monyet memasuki kawasan kolej.
Monyet datang hanya atas satu matlamat, mencari makanan. Bila pihak pelajar berjaya menguruskan program ini dengan baik dan berkesan, hasilnya tentu memuaskan.
Malah keberadaan kumpulan monyet monyet ini secara positifnya mendidik kita (termasuk saya sekeluarga) sekurang kurangnya TIGA perkara yang kita tidak akan dapat di tempat yang lain;
1. Secara berterusan dan kreatif, kita telah di didik dan berpeluang berfikir bagaimana untuk membantu pihak pengurusan UKM dan juga rakan rakan dalam menyelesaikan isu gangguan monyet yang tidak pernah selesai sejak sekian lama.
2. Kita pasti akan di didik menghargai alam fauna yang ada di UKM, yang saya percaya memori ini akan dirindui oleh pelajar IZISH apabila sudah bergraduan kelak.
3. Isu ini mendidik kita makna disiplin dalam kehidupan di kolej. Sebagai contoh mudah, mengunci tingkap bila ke kuliah, memastikan penutup tong sampah ditutup secara kemas setiap masa, pintu blok dipastikan tertutup dan sebagainya. Jika kita gagal menjalani hidup secara berdisplin, mengapa monyet yang tiada akal kita salahkan. Saya juga belajar tentang perkara yang sama kerana rumah pengetua betul-betul dalam kawasan mereka!
Tentulah gangguan monyet sesuatu sangat merbahaya dan mesti dielakkan. Maka disinilah kewaspadaan diperlukan oleh setiap pelajar. Malah saya sering mengambarkan sesuatu yang positif pada anak-anak saya tentang kewaspadaan ini. Misalnya apakah di luar sana, di bandaraya, di bangi atau kajang, atau di mana-mana sahaja tidak ada makhluk 'manusia' yang lebih hina dari monyet memerhatikan kealpaan kita ? Bukankah isu monyet telah mendidik dan membina latihan kewaspadaan dalam diri kita?
Pada team 'Food Waste Phase Out' tahniah atas usaha anda. pastinya mendidik kawan kawan untuk menjayakan hal ini bukan sesuatu yang mudah. Sekurang kurangnya anda telah berusaha melakukannya..bukan sekadar mampu mengeluh, mengadu atau menyampaikan aduan semata mata.