15 May, 2012

Kebolehpasaran Pelajar: Agenda Kritikal UKM

Laporan Pengesanan Graduan KPT
Data rasmi KPT menunjukan Universiti Petronas (UTP) mencapai 99% graduannya yang bekerja selepas sembilan bulan tamat pengajian. Menariknya hanya 30% sahaja yang bekerja dengan syarikat Petronas manakala bakinya mendapat pekerjaan di pelbagai sektor kerajaan dan syarikat swasta secara temuduga terbuka. Ini mungkin berbeza dengan tanggapan ramai yang selama ini percaya UTP mengambil semua graduannya bekerja dengan Petronas dan anak-anak syarikatnya. UTP adalah universiti yang mencatat universiti paling tinggi kebolehpasaran mahasiswa di negara ini.

Taylor University mencapai 92% graduannya yang bekerja dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, Multimedia University mencatat 82%. Universiti Sains Malaysia mencapai 78% graduannya yang bekerja dalam tempoh yang sama. Menariknya bila satu- satu universiti bertaraf kebangsaan di Malaysia iaitu UKM telah mencatat peratusan yang  rendah di kalangan universiti perdana dan bertaraf penyelidikan iaitu hanya 68%!

Peratus yang rendah ini biasanya disumbangkan oleh prestasi tiga fakulti terawal di UKM iaitu FSSK, FPI dan FST (Pengesanan Graduan UKM 2009, 2010). Manakala Fakulti Perubatan dan Undang Undang mempunyai reputasi yang baik di mata majikan.

Persoalanya, apakah punca dan bagaimana peratusan ini dapat ditingkatkan (sekurang-kurangnya 80% graduan UKM berjaya memperolehi pekerjaan dalam tempoh enam bulan setelah tamat pengajian.

Banyak kajian telah menunjukkan punca utama kepada kegagalan seseorang graduan memperolehi pekerjaan (terutama temuduga kali pertama dengan majikan) ialah kegagalan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia. Istilah kemahiran komunikasi boleh diterjemahkan sebagai tahap pertuturan yang teratur, pemilihan perbendaharaan kata yang tepat, penyusunan ayat yang kemas serta gaya persembahan pertuturan yang menyakinkan (dalam kedua dua bahasa).

Faktor kedua yang menyumbang kepada kegagalan berkomunikasi berkaitan dengan kelemahan isi kandungan (content) dan juga kekurangan idea (aplikasi). Calon tidak mempunyai pengetahuan am dan spesifik yang tinggi, kurang berjaya mengaitkan apa yang beliau tahu dengan soalan majikan serta gagal menyakinkan majikan bahawa pengetahuan yang beliau ada sangat berguna kepada syarikat.

Selain itu penyediaan resume (CV) yang tidak menarik, pencapaian yang gagal ditonjolkan dalam CV serta gaya CV yang disediakan tidak menjurus kepada fokus syarikat. Misalnya apabila memohon jawatan di syarikat yang berteraskan rekabentuk grafik, design dan kreatif, cover CV yang disediakan pada peringkat awal sudah memberikan persepsi tentang graduan berkenaan.

Etika berpakaian juga menjadi isu dalam hal ini. tak perlu dihuraikan tentang keperluan ini. Semua graduan sudah semestinya faham dan maklum tentang etika berpakaian semasa menghadiri temuduga.

Kemahiran Utama Kebolehpasaran Graduan
Melihat kepada peratus pencapaian kebolehpasaran graduan UKM yang masih rendah, satu perancangan besar harus dilakukan dengan kadar yang segera. jangan sampai nanti sudah tertanam dalam pemikiran masyarakat umum bahawa "graduan UKM sukar mendapat pekerjaan", sedangkan hal ini bukanlah sesuatu yang bersifat mutlak. setiap tahun ada turun naiknya peratusan ini.

Pertama, perlunya usaha besar besaran mengangkat agenda kemahiran komunikasi sebagai antara yang paling utama dalam UKM. (dalam pengajaran pembelajaran dan juga aktiviti yang dianjurkan oleh pelajar). Peruntukan harus diselaraskan dan ditumpukan kepada usaha ini. Sistem pemantauan secara berkesan melalui penilaian berterusan berasaskan bimbingan harus dimulakan seawal mungkin.

Kedua, perlunya pusat khas (baca: Pusat Pembangunan Kerjaya dan Profesionalisme) yang membantu pelajar membina CV, mock interview, menganjurkan minggu kerjaya, Career Talk dan sebagainya untuk mewujudkan proses 'engagement' supaya berlaku antara pelajar dan majikan.

Ketiga, memperkasakan bukan setakat amalan keusahawanan tetapi terus kepada wujudnya "perniagaan pelajar". Program keusahawanan yang dilaksanakan di IPTA nampaknya seperti program yang tidak menghala secara khusus kepada perniagaan sepenuhnya tetapi lebih kepada usaha usaha awal yang bersifat kecil kecilan untuk mengalakkan nilai nilai keusahawanan diterapkan. Ini tidak cukup untuk membantu kepada mewujudkan perniagaan pelajar sepenuhnya. Sudah begitu lama program keusahawanan dianjurkan oleh IPTA dan sehingga kini belum ada tanda tanda yang jelas ia telah memberi impak kepada kebolehpendapatan mahasiswa. Sekadar hadiri beberapa seminar, bengkel dan kursus seterusnya menjalankan perniagaan 'main-main' secara konvensional. Masuk ke tahun akhir, bila pelajar mula sibuk dengan tesis maka semua aktiviti keusahawanan akan ditinggalkan begitu sahaja. maka itu perniagaan sebenar harus dimulakan di peringkat tahun satu lagi.

Kebolehpasaran pelajar sudah menjadi sesuatu yang kritikal di UKM. Perancangan dan tindakan segera harus dimulakan dengan melibatkan pelajar tahun pertama pengajian. Jika ini dapat dilakukan, diharapkan pada tahun 2015, peratus kebolehpasaran mahasiswa UKM akan mencapai 80% secara konsisten.

AJK MATK 16: Anda Berjaya Tunaikan Cabaran...Tahniah

Post kali ini saya ingin tujukan khas buat team MATK 16 IZISH. Terlebih dahulu izinkan saya merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan menganjurkan MATK 16 tahun ini dengan penuh gilang gemilang pada 13 Mei 2012 lepas.
Saya masih ingat dengan jelas mesyuarat kali pertama yang diadakan antara saya dan seluruh team MATK 16. Hadir bersama timbalan pengetua dan para felo kolej iZISH. Saya mengusulkan dua perkara untuk MATK 16 harus berbeza dengan MATK sebelumnya. Pertama, saya mencabar mereka di dalam mesyuarat ketika itu agar MATK 16 diadakan di luar kampus UKM. Bukan kerana DECTAR tidak ngah atau sebagainya tetapi semata mata untuk memberi cabaran baru pada team MATK 16, saya berharap cabaran ini akan dapat mendedahkan mereka situasi berorganisasi yang lebih 'tegang' sehingga mereka terpaksa bekerja lebih kuat dan sentiasa cekal menghadapi berbagai ujian untuk menjayakannya.
Kedua, saya mengusulkan supaya mereka merancang persembahan yang tidak hanya untuk berhibur semata-mata tetapi dimasukkan juga input pendidikan kepimpinan dan seumpamanya.
Saya menelah tentunya dua usul ini akan 'mengugat' keyakinan AJK MATK 16. Apatah lagi sejak sekian lama 'dinner' kolej kediaman UKM tidak pernah berubah format penganjurannya.
Benar telahan saya. Sebahagian daripada ajk MATK 16 seperti keberatan pada mulanya. Mungkin di dalam benak fikiran mereka berkata "Mengapa perlu bersusah payah, DECTAR kan dah ada? Dalam DECTAR segala kelengkapan dah tersedia. tak tahulah apa yang pengetua nak sebenarnya". Saya jangkakan begitulah 'suara hati' mereka.
International Students @ iZISH MATK 16

Bagaimanapun  saya ingin mengucapkan rasa bangga dan tahniah pada MEP, Pengarah MATK dan seluruh AJK tertinggi yang mengambil keputusan untuk cuba menerima cabaran ini. Mereka juga kelihatan pada mulanya agak risau kalau-kalau cabaran ini sangat berat untuk mereka penuhi.
Dari bulan ke bulan mereka mula bekerja. Saya pantau dan lihat dengan teliti pekembangan mereka. Para felo menjadi tempat di mana saya mendapatkan laporan serta mengetahui masalah yang mereka hadapi. Tentulah soal kewangan menjadi soal yang paling mencabar. Sewa Dewan Seri Endon Putrajaya sahaja sudah menjangkau angka yang sangat besar.
Selain itu, mereka juga berhadapan cabaran  untuk menyakinkan pelajar iZISH untuk bersama bukan sahaja sekadar menghadiri tetapi menyertai tema makan malam tersebut. Soal pengangkutan ke Dewan Sri Endon juga cabaran harus diselesaikan, begitu juga dengan merencanakan bentuk persembahan yang tidak hanya sekadar berhibur tetapi juga harus memberikan input pendidikan.
MEP@iZISH Dinner 2012
Beberapa kali juga saya didatangi oleh para AJK yang mengeluh berbagai masalah yang mereka hadapi. Jika saya bertanggungjawab memberikan cabaran, tentunya saya juga perlu bertanggungjawab memastikan mereka mendapat bimbingan dan motivasi. Itulah yang saya lakukan dari masa ke semasa.
Akhirnya terbukti pada malam 13 Mei 2012, mereka berjaya melakukannya dengan baik sekali. Malah tidak keterlaluan saya katakan ini antara MATK iZISH yang terbaik pernah dianjurkan. Kedua dua cabaran saya, mereka tunaikan dengan bergaya sekali. Saya percaya mereka dapat memahami dan menilai sekarang apa maksudnya 'satisfaction' yang sering saya katakan apabila mereka berjaya selesai melakukan sesuatu yang pada mulanya dianggap sukar dan mustahil.
Tentunya dalam apa juga kejayaan yang kita capai, akan ada 'rumah siap pahat berbunyi'. Itu lumrah yang tidak dapat kita elakkan. Malah saya sering mengharapkan ada orang sebegini wujud dalam kehidupan saya. Mereka ini penting untuk melatih psikologi, esteem dan kepercayaan saya pada diri sendiri. Jika manusia jenis ini tidak ada, pada siapa lagi yang saya harapkan untuk berlatih membina hati yang tabah dan cekal dalam menghadapi hari mendatang. Janganlah AJK MATK 16 marah atau kesal dengan sikap orang sebegini (kalau ada) tetapi ucapkan terima kasih pada mereka kerana memberi peluang untuk anda membina keyakinan diri.
Pada Team MATK 16, tahniah yang seikhlasnya dari saya...well done.

Anuar Ahmad
Retreat HEPA UKM 2012,
Allson Klana Resort
Seremban

13 May, 2012

IZISH Dinobat Sebagai Kolej Lestari UKM 2012


Hari ini iZISH telah dinobatkan sebagai kolej Lestari UKM untuk tahun 2012. Satu hadiah yang tentunya berharga kepada seluruh warga iZISH yang sejak awal semester satu dulu telah mula melaksanakan pelbagai iniasiatif kelestarian kolej. 
Usaha ini dirancang oleh pasukan felo kolej bersama pelajar iZISH yang berpayung di bawah kelab eko-lestari.
iZISH berjaya mengondol 4 kategori daripada sepuluh kategori yang dipertandingkan. Berikut adalah keputusan penuh pertandingan kelestarian kolej 2012.
1. Pusat Kitar Semula (PKS)-Mini terbaik : IZISH
2. Kempen Polisterina dan Plastik Sifar Berimpak: IZISH
3. Kempen Usaha Penjimatan Air dan Tenaga Berimpak:IZISH
4. Penghijauan Kolej Terbaik: KDO
5. Kempen Asap Rokok Sifar Berimpak: KAB
6. Pelan Tindakan Kelestarian Terbaik: KTHO
7. Gambar Terbaik: KRK
8. Video Terbaik: KAB
9. Laporan Aktiviti Kelestarian Terbaik: KTHO
10. Inisiatif Kelestarian Kolej Terbaik (Pemenang Keseluruhan):  
 IZISH
Semua hadiah ini bukanlah tujuan utama kepada usaha iZISH melaksanakan usaha kelestarian kolej. Paling utama ialah usaha membudayakan dan mendidik kehidupan yang lestari di kalangan warga iZISH. Ini sebenarnya jauh lebih sukar daripada usaha untuk memenangi apa jua pertandingan yang disertai.


Perjuangan mendidik warga iZISH agar menyayangi alam flora dan fauna memerlukan kesabaran serta istiqamah yang besar. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk meyakinkan anak anak iZISH bahawa kita boleh hidup harmoni dengan monyet di sekitaran iZISH yang berada dipinggir hutan. 
Bukan juga mudah untuk membina budaya supaya pelajar iZISH membuang sampah dengan cara yang betul seperti sentiasa memastikan tong sampah ditutup dengan betul.
Begitu juga amalan penjimatan air dan elektrik. Jika sebelum ini warga iZISH sudah terbiasa dengan 'kemudahan' sumber air dan elektrik tentunya sangat sukar untuk membawa mereka melakukan penjimatan kedua dua sumber ini secara optima dalam kehidupan seharian mereka.
Apa pun sedikit sebanyak usaha kempen di dalam agenda kelestarian iZISH diharap menyedarkan peranan warga iZISH berkaitan kedua sumber ini.
iZISH akan terus bertekad mengandakan usaha melestarikan kolej selari dengan Pelan Strategik IZISH 2011-2013. Semoga usaha ini akan berjalan lancar dan mendapat kerjasama sepenuhnya dari seluruh warga iZISH. Untuk pencapaian bagi tahun 2012, tahniah diucapkan kepada seluruh warga kerja yang telah menjayakan kelestarian iZISH.



12 May, 2012

Peranan Felo Kolej Kediaman Semakin Penting, Segeralah 'Bangun Dari Tidur'

Antara post 'Ilmu Mutu dan Budi' yang paling banyak menerima 'hit' dari pembaca ialah rencana yang bertajuk "Ramai Felo Kolej Yang 'Tertidur'. Kisah itu juga telah banyak membuka perbincangan antara saya dengan felo felo kolej kediaman bila kami bertemu dalam beberapa acara rasmi UKM.

Ada kalangan felo yang bersetuju istilah 'tertidur' sesuai digunakan untuk segelintir felo yang mereka kenali tetapi mereka tiada upaya untuk 'mengejutkan' felo felo yang sedang 'tidur' itu.

Di dalam usaha kepengetuaan kolej kediaman kini yang ingin meningkatkan peranan kolej kediaman sebagai sebuah kolej akademik (maksudnya kolej akan menjadi tempat pelajar melakukan aktiviti yang berkredit, ada progarm akademik, forum dan sebagainya) peranan felo tidak dapat tidak harus diperkasakan sesegera mungkin.

Institusi felo adalah tulang belakang pembangunan pelajar di kolej kediaman. Kolej yang memiliki pasukan felo yang komited, berkemahiran luas dalam penganjuran projek dan jelas fungsinya sebagai seorang felo semasa berada di dalam kolej pasti akan berupaya meletakkan kolejnya sebagai sebuah kolej yang cemerlang.

Bagaimanapun jika pasukan felo kolej tidak komited, kurang mahir dengan aktiviti pelajar (membimbing usaha untuk penajaan, protokol, prosedur permohonan dan pelaporan projek etc) pasti akan menggagalkan usaha kepengetuaan kolej tersebut untuk meningkatkan kecemerlangan kolej. Itu amat malang sekali...

Walaupun pembangunan pelajar sedang melalui proses tranformasi aktiviti di UKM, di dapati masih ada segelintir  felo yang tidak dapat menyelami halatuju tranformasi ini sebaiknya. Maka tentulah tidak menghairankan kalau ada program dan aktiviti pelajar yang menekankan hasil pembelajaran atau mempunyai skala besar dilihat sebagai sesuatu  yang membebankan oleh felo felo berkenaan.

Saya mengenali ramai felo yang komited dengan tanggungjawab mereka. Mereka sentiasa berusaha tanpa mengira waktu dan tenaga di kolej kolej untuk terus membimbing para pelajar. Semoga usaha mereka beroleh kejayaan.

iZISH bertuah kerana mempunyai pasukan felo yang komited, jelas peranan mereka serta mempunyai halatuju yang ingin mereka capai sebagai seorang felo dalam membangunkan pelajar iZISH. Setiap felo di iZISH mempunyai projek yang mendapat sentuhan bimbingan mereka sendiri. Ada yang menguruskan pentadbiran Unit Pembangunan Insaniah (uPIN), ada yang terlibat dengan nic kelestarian kolej, nic kesepaduan kolej, UKM Career Expo 2012, pengurusan pelajar antarabangsa iZISH, program keusahawanan (iZISH Corner) dan aktiviti kesenian pelajar.

Dengan dibantu Pelan Strategik IZISH 2011-2013 serta penubuhan uPIN, pasukan felo iZISH pastinya akan menjadi pelopor kepada usaha usaha baru kepada pembangunan pelajar. Semoga usaha mereka akan sedikit sebanyak 'mengejutkan' felo felo yang masih 'tertidur' di UKM. Terima kasih team felo iZISH atas usaha yang diberikan...

09 May, 2012

Setiap Pelajar iZISH Akan Terima Dokumen Transkrip Aktiviti Dari Pihak Kolej


Salah satu inovasi yang telah dilakukan oleh pihak pengurusan iZISH melalui majlis felo sejak sesi lalu ialah mengeluarkan satu dokumen yang dinamakan Transkrip Aktiviti Pelajar Kolej Antarabangsa Ibu Zain UKM kepada semua pelajar prasiswazah iZISH.

Bagaimana proses pengeluaran Transkrip Aktiviti Pelajar iZISH dilakukan?
Semua penyertaan pelajar dalam aktiviti yang didaftarkan di iZISH atau aktiviti yang mendapat kelulusan JPPEL akan di rekodkan senarai nama AJKnya oleh pengarah projek. Selepas tamat projek tersebut, senarai nama pelajar (mengikut projek) kemudiannya akan diserahkan kepada felo iZISH yang bertanggungjawab dengan sistem rekod aktiviti pelajar di Unit Pembangunan Insaniah (uPIN).

Langkah seterusnya, felo yang bertanggungjawab dengan penyediaan transkrip akan menyediakan satu senarai penuh nama mengikut aktiviti untuk disahkan di dalam mesyuarat Majlis Felo. Setelah itu, senarai penuh aktiviti, jawatan, hadiah, anugerah yang diterima dan pencapaian tertinggi seseorang pelajar akan dijadikan dalam bentuk transkrip aktiviti pelajar. Pihak pengetua kemudiannya akan membuat perakuan di transkrip berkenaan.

Transkrip ini akan diserahkan pada pelajar pada setiap hujung sesi. Pengumuman akan dibuat oleh  pejabat kolej lebih awal supaya pelajar dapat menerimanya sebelum peperiksaan akhir selesai. Harapannya dengan adanya transkrip ini, pelajar iZISH mempunyai kelebihan berbanding pelajar lain yang hanya mempunyai sijil aktiviti. Penggunaan transkrip ini memudahkan pihak majikan meneliti secara lebih menyeluruh potensi serta keaktifan pelajar iZISH.

Pada masa yang sama pihak kolej juga akan menyimpan satu salinan transkrip aktiviti pelajar sebagai rujukan dan rekod kolej. Dengan cara ini pembangunan pelajar iZISH juga dapat dibimbing secara lebih baik. Malah penggunaan rekod transkrip ini juga lebih memudahkan pihak majlis felo iZISH untuk mengenalpasti individu pelajar yang difikirkan layak untuk menerima anugerah atau penghargaan di peringkat kolej di malam jamuan tahunan.

Transkrip ini dari masa ke semasa akan dipertingkatkan kualiti material dan rekabentuknya oleh pihak kolej. Semoga usaha pihak pengurusan kolej dan majlis felo iZISH ini dihargai oleh semua pelajar iZISH.

Pastikan anda (pelajar iZISH) mendapatkan transkrip anda sebelum bercuti nanti...

08 May, 2012

"Dinner College" di UKM Bukan Sekadar Untuk Makan-Makan

Saban tahun majlis jamuan makan malam tahunan dianjurkan oleh pelajar di UKM. Samada di peringkat kolej, persatuan fakulti, persatuan, program, pusat dan seumpamanya. Jika dihitung- hitung jumlah 'annual dinner' ini  menjangkau hampir seratus semuanya.

Bulan Mei ini saya dimaklumkan DECTAR telah penuh tempahan untuk dinner termasuklah oleh pihak kolej untuk anjurkan 'dinner college'. Ini adalah antara aktiviti tahunan yang paling bersungguh sungguh dianjurkan  di kalangan JAKSA kolej kediaman. Selain acara makan malam, di sediakan acara penganugerahan hadiah serta sijil pada pelajar yang berjaya dan cemerlang. Majlis dinner college ini juga diselang seli dengan persembahan kesenian oleh pelajar atau artis jemputan. Malahan tidak ketinggalan diadakan cabutan bertuah dan juga hadiah "Prince and Princess of The Night". Semua aktiviti ini diberikan laluan oleh pihak kepengetuaan kolej. "Asalkan pelajar gembira dan rasa dihargai, apa salahnya".

Elok juga di dalam 'kehangatan' menganjurkan dinner college ini, kita kembali kepada asas mengapa majlis ini dianjurkan. Saya berikan tiga tujuan asas yang utama, selebihnya biarlah pembaca yang tentukan. Harapnya bila pelajar melangkah masuk ke dewan jamuan nanti mereka akan dapat mengamalkan asas asas ini sebaiknya. Malah asas ini juga sebenarnya memberikan peluang untuk mereka memahami mengapa acara tahunan ini perlu dipertingkatkan prestijnya dari tahun ke tahun.

1. Dinner College sebagai majlis penghargaan kepada semua warga kolej yang berjaya.
Dinner kolej secara jelas bertujuan memberikan penghargaan kepada para kakitangan, felo, JAKSA, pelajar tahun akhir dan seluruh pelajar di kolej berkenaan. Melalui dinner kolej, pelajar yang hebat dan cemerlang diraikan dengan anugerah kecemerlangan akademik, sukan, kesenian, inovasi, khidmat masyarakat, keusahawanan, perucapan umum dan sebagainya. Tiada ruang lain yang lebih sesuai dan berprestij selain malam 'dinner college'. Malah dengan melihat rakan rakan mereka menerima anugerah, pelajar lain juga akan mula menanamkan keinginan untuk turut menerima anugerah pada tahun tahun berikutnya. JIka itu tujuannya janganlah penerima anugerah naik ke pentas hanya dengan selipar dan t-shirt tak berkolar sahaja.

2. Dinner College meningkatkan kemahiran softskills para AJK yang menganjurkannya.
Penganjuran dinner kolej sangat berbeza dengan penganjuran aktiviti yang lain. Tiga perkara utama dinner kolej ialah protokol, protokol dan protokol. Jika hal ini tidak dijayakan, dinner kolej yang sepatutnya berprestij akan bertukar menjadi makan malam di cafetaria sahaja. Maka AJK perlu melakukan banyak perkara untuk menjayakan 'dinner college'.
Pertama, mereka perlu membina pasukan AJK yang dapat menjana kewangan untuk perbelanjaan dinner college. Yuran pelajar sebanyak RM20 untuk aktiviti ini tidak lagi mencukupi berbanding 15 tahun dahulu bila kadar yuran ini diperkenalkan. Hari ini kos penganjuran dinner college telah meningkat berkali ganda.
Kedua, memastikan majlis berjalan dengan baik dan dirancang dengan penuh ketelitian. Sesuatu majlis makan malam memerlukan ajk memastikan semuanya berjalan lancar mengikut perancangan. Pematuhan masa bermula acara dan masa berakhirnya sesuatu dinner college adalah antara yang paling penting. Dinner college menuntut AJK melakukan banyak sumbang saran, perbincangan, latihan serta membuat keputusan yang cepat dan tepat.

3. Dinner College melatih pelajar menghormati etika dan protokol dalam sesebuah majlis rasmi 
Seseorang yang menghadiri majlis makan malam harus mempunyai beberapa kemahiran yang asas sesuai dengan tujuan majlis makan malam diadakan.
i. Apabila dijemput hadir maka adalah menjadi tanggungjawab mengesahkan kehadiran samada bersetuju atau tidak untuk hadir ke majlis tersebut. Elakkan membuat keputusan last minute.
ii. Seterusnya hadirkan diri sepertimana masa yang telah ditetapkan di dalam surat jemputan.
iii. Berpakaiannya seboleh mungkin mengikut tema yang diberikan supaya kita merasa sebahagian daripada majlis pada malam tersebut. Jika majlis menetapkan konsep elegance tentunya jeans dan t shirt tidak sesuai. Tetapi jika majlis menetapkan temanya 'heavy metal' (tema ini tidak digalakkan oleh penulis) maka jeans dan t-shirt mungkin boleh digunakan. AJK yang bijak memilih tema tentu boleh membezakan antara 'annual dinner' dan 'party dinner' sebelum menentukan sesuatu tema. Dinner college tergolong di bawah kategori 'annual dinner' manakala sambutan hari jadi pula dikategorikan sebagai party dinner.
iv. Satu perkara yang paling tidak sesuai dan harus dielakkan ialah bercakap-cakap dengan kuat semasa majlis perasmian sedang dilakukan atau semasa ucapan sedang diberikan. Pihak pengucap harus diberikan penghargaan oleh tetamu untuk mereka memberikan ucapan. Mereka telah menyediakan ucapan dan ingin para tetamu memberikan perhatian kepada ucapan mereka.
v. Makanlah dengan tenang dan menjaga ketertiban anda. Semasa makan anda boleh berbual bual kecil dengan rakan rakan di sebelah dengan suara yang sederhana.
vi. Jangan meninggalkan majlis sebelum tamat. Pihak penganjur juga harus memastikan acara tamat seperti masa yang ditetapkan. Amalan makan malam di negara ini majlis rasmi akan tamat sekitar jam 10.30 malam.

Majlis makan malam dianjurkan bukan hanya untuk kita 'makan makan' sahaja. Majlis ini memberikan peluang kepada kita belajar makna protokol, ketelitian kerja serta menghormati majlis rasmi. Apabila pelajar UKM keluar dan mula bekerja mereka pasti akan mula menghadiri pelbagai majlis jamuan di agensi tempat mereka bekerja. Malah mungkin mereka juga akan menjadi AJK bagi majlis tersebut.

Sesebuah dinner college yang gilang gemilang dan berjaya tidak hanya bergantung kepada bilangan tetamu yang hadir, makanan yang banyak atau persembahan yang tidak putus putus di atas pentas. Juga bukan hanya kerana cabutan bertuah yang berlonggok longgok. Dinner college menjadi sangat berjaya bila AJK mempunyai tema yang menarik, ketelitian kerja yang tinggi serta protokol yang mantap. Ia juga disokong oleh tetamu jemputan yang beretika tinggi, menghormati majlis serta berkerjasama untuk menjayakan dinner college tersebut.

iZISH Anjur Career Expo 2012 Demi Kebajikan Pelajar UKM


iZISH akan menganjurkan UKM Career Expo buat pertama kalinya di DECTAR UKM pada 18-19 Mei 2012.  Ini salah satu projek anjuran pelajar iZISH yang terbesar dan terakhir untuk sesi ini. Cabarannya juga tentulah sangat besar. Bayangkanlah pengurusan iZISH hanya berupaya menyediakan peruntukan RM500 sahaja (peruntukan aktiviti pelajar di semua kolej kediaman adalah sangat terhad). Selebihnya diusahakan sepenuhnya oleh AJK UKM Career Expo 2012 yang terdiri 100% para pelajar iZISH, lebih menarik bila 85 peratus daripada AJK projek ini adalah pelajar tahun satu. 
Kini tinggal 10 hari lagi acara ini akan berlangsung, sehingga kini team UKM Career Expo 2012 telah menunjukkan usaha yang cukup memberansangkan. Sudah 35 buah syarikat senarai utama bersetuju menyertai Career Expo UKM 2012.
Inilah Career Expo UKM pertama setelah tiga tahun tidak dianjurkan. Sejak tiga tahun itu juga pelajar UKM terpaksa 'menjenguk-jenguk' peluang pekerjaan di Hari Kerjaya UM dan juga UPM. Atas keinsafan tersebut saya memberikan galakan dan sokongan  pada team iZISH untuk menjayakan UKM  Career Expo 2012. Pada saya ini adalah untuk kebajikan semua pelajar tahun akhir UKM.
Harapnya program ini akan diteruskan pada tahun hadapan. Tetapi biarlah badan persatuan pelajar seperti PMUKM yang menjayakannya kelak. Mereka adalah badan induk yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga kebajikan seluruh pelajar UKM. Di iZISH, usaha ini kami lakukan setelah tidak ada sesiapapun yang ingin menjayakannya pada tahun ini. Semoga usaha murni oleh  team iZISH yang menganjurkan UKM Career Expo 2012 akan memberikan manafaat besar kepada seluruh warga pelajar UKM. Tahniah dari saya, buat team UKM Career Expo 2012 anjuran iZISH.
Di bawah ini adalah senarai syarikat dan penceramah yang telah bersetujui menyertai UKM Career Expo 2012 anjuran iZISH. Masih ada beberapa lagi syarikat yang dalam proses untuk turut serta.
Sila lawat facebook Career Expo UKM 2012 anjuran IZISH di:
https://www.facebook.com/UKMCareerExpo2012
Tahniah buat pasukan Career Expo UKM 2012 dari IZISH.








Speakers






Exhibitors






















07 May, 2012

Mengapa iZISH Anjur Jamuan Tahunan di Dewan Seri Endon Putrajaya?

Dewan Seri Endon Putrajaya
Sekali fikir mengapa perlu bersusah payah? Anjurkan sahaja jamuan Tahunan iZISH di DECTAR seperti tahun tahun yang lalu. Selain sewa dewannya yang sangat murah (sekitar RM 200), letaknya juga di dalam kampus induk UKM, tentunya akan memudahkan para ajk jamuan mengaturkan acara tahunan ini. Selain itu segala kelengkapan telah sedia ada di DECTAR, tanpa perlu kos tambahan pun.

Oleh itu mengapa tahun ini iZISH ingin anjurkan 'dinner college' di luar kampus, di Dewan Seri Endon yang letaknya di Putrajaya. Selain jaraknya yang jauh, terpaksa pula menanggung kos sewa dewan yang mahal, urusan pengangkutan bas serta peralatan teknikal yang terpaksa di sewa. Para AJK MATK terpaksa berhempas pulas menjana kewangan untuk menampung kos penganjuran. Yuran pelajar serta peruntukan kolej hanya sekitar 25% sahaja daripada kos keseluruhan penganjuran. AJK terpaksa mencari dana luar sebanyak 75% untuk menjayakan penganjuran malam jamuan ini. Apa rasional dan sebabnya MATK 16 ingin dianjurkan di sana?

Tentu ramai orang berfikir lebih baik wang yang ada gunakan sahaja di DECTAR. Itu lebih mudah dan itu lebih menjimatkan. Mungkin itulah pandangan ramai, tetapi tidak pada saya,  orang yang sering 'mencabar' keupayaan pelajar iZISH. Bukan kerana DECTAR tidak hebat atau bersejarah, DECTAR adalah satu dewan penuh keramat. Bagaimanapun untuk menjadi hebat seseorang pelajar perlu melalui pelbagai cabaran. Tentunya dibimbing dan disokong sepenuhnya agar tidak hilang arah dan motivasi.

Dengan peruntukan awal yang sangat kecil, AJK MATK 16 belajar bekerjasama, belajar membuat keputusan yang sukar, berlatih berkomunikasi dan berunding, berfikiran kreatif serta belajar menguruskan orang lain, diri sendiri dan paling utama masa mereka. Tentunya menganjurkan jamuan di luar kampus UKM menuntut para AJK MATK 16 bekerja lebih kuat kerana cabarannya yang jauh lebih sukar jika dianjurkan di DECTAR.

Pada saya, jika terpaksa memilih antara kos duit dan pembangunan pelajar, saya 100% tanpa teragak akan memilih pembangunan pelajar. Dalam membangunkan pelajar, tidak ada istilah membazir. Asal sahaja bukan untuk tujuan yang tidak jelas maksudnya.

Acara yang akan dianjurkan pada 13 Mei 2012 nanti tentunya gilang gemilang. Para AJK yang ketika ini sedang berkerja kuat pasti akan tersenyum puas melihat hasil kerja mereka. Meraka pasti datang berjumpa saya dan berkata, " Pengetua, lihat kami sudah berjaya menerima cabaran pengetua".

Tentunya saya juga akan tersenyum gembira atas kejayaan mereka  melalui segala susah dan senang  sepanjang menganjurkan MATK 16 sejak setahun lalu, Semua kesukaran ini akan  memberikan pengalaman yang cukup berharga, jauh lebih mahal dari kos penganjuran malam jamuan itu sendiri. Pada semua AJK Jamuan tahuan iZISH ke 16, ingin saya ucapkan tulus dari hati saya, "saya bangga dengan anda semua".

Sehingga tibanya malam gilang gemilang tersebut, teruskan usaha anda...

06 May, 2012

iZISH Berjaya Terbitkan Laporan Tahunan Kolej 2011-2012


Berkat usaha pasukan pengurusan kolej, kerja kuat pasukan felo dan para pelajar Majlis Eksekutif pelajar, buat kali pertamanya IZISH akan menerbitkan Laporan Tahunan Kolej 2011-2012. Biasanya hanya Institut, Fakulti dan Pusat sahaja yang menerbitkan laporan tahunan di UKM. Buat julung julung kalinya di kalangan kolej kolej kediaman UKM, IZISH akan memulakan tradisi menerbitkan Laporan Tahunan Kolej.

Laporan Tahunan ini penting dan siknifikan untuk diterbitkan atas tiga alasan. Pertama, sebagai rekod laporan aktiviti dan pencapaian warga IZISH sepanjang setahun yang lalu.

Kedua, laporan ini akan menjadi dokumen dan rekod rasmi segala perancangan dan pelaksanan pentadbiran dan kewangan di IZISH bagi sesi 2011-2012.

Ketiga, penerbitan Laporan Tahunan IZISH juga akan memberikan pengalaman berharga pada pelajar yang terlibat. Mereka akan belajar bagaimana sesebuah Laporan Tahunan diterbitkan. Pengalaman ini sangat berharga apabila mereka dilibatkan buat pertama kalinya di dalam penyediaan laporan tahunan syarikat atau agensi di mana mereka akan bekerja nanti.

Bertemakan iZISH: Passion Forward, laporan tahunan ini akan memaklumkan segala perancangan, aktiviti, pencapaian pada tahun 2011-2012 serta menjelaskan hala tuju IZISH untuk tahun 2012-2013. Turut dilaporkan pencapaian akademik pelajar IZISH sepanjang sesi ini. Begitu juga dengan pencapaian ko-kurikulum. Malah turut dilaporkan jaringan IZISH-industri dan IZISH-komuniti yang berjaya dilakukan oleh IZISH dengan agensi luar seperti NGO dan syarikat-syarikat.

Semoga dokumen pencapaian ini akan menjadi satu lagi inovasi IZISH sebagai sebuah kolej kediaman UKM dalam melonjakkan pembangunan pelajar. Seperti mana juga inovasi IZISH menerbitkan Pelan startegik IZISH 2011-2013 dan juga penubuhan Unit Pembangunan Insaniah (uPIN). Laporan ini juga akan diterbitkan dalam versi on-line yang akan dimuatkan di laman web IZISH.

Laporan Tahunan iZISH: Passion Forward dijangka akan dilancarkan pada Malam Anugerah Kolej ke 16 (MATK 16) yang akan dilangsungkan dengan penuh gilang gemilang di Dewan Seri Endon, Putrajaya.

Jumpa di sana...

03 May, 2012

Elak Burukkan Nama UKM


1.Semalam (Rabu 2 Mei 2012), saya menerima satu laporan yang saya kira penting untuk saya kongsikan dengan pembaca blog ini  yang berminat dengan soal pembangunan pelajar.

2. Kisahnya begini, pagi semalam team Career Expo UKM anjuran IZISH telah pergi ke New Strait Times, Kuala Lumpur untuk menemui pegawai bahagian penajaan jenama NST (namanya saya rahsiakan) seperti temujanji yang telah diaturkan lebih awal.

3.Di sana, setelah dijemput masuk ke pejabat untuk memulakan perbincangan, beliau telah memulakan dengan menceritakan  'bad experience'  beliau semasa berurusan dengan kumpulan pelajar UKM yang menganjurkan satu-satu projek terbesar anjuran pelajar di UKM tahun lalu (saya rahsiakan nama projek tersebut).

4. Malah beliau sudah serik untuk terus bekerjasama dengan para pelajar UKM selepas itu. Katanya" macam itu ke pelajar UKM, bukan sahaja tidak menunaikan apa yang telah dipersetujui semasa perbincangan awal dengan pihak saya, tiada ucapan terima kasih pun atas kerjasama yang telah NST berikan pada projek kumpulan pelajar tersebut". Saya percaya ini adalah pandangan peribadi beliau dan bukannya pandangan syarikat berkenaan.

5.Pengalaman buruk itu menyebabkan beliau tawar hati pada mulanya untuk terus memberikan kerjasama dengan program pelajar UKM. Berkali-kali team Career Expo IZISH memohon maaf kepada pegawai dan kakitangan yang bersama dalam mesyuarat atas perilaku kumpulan pelajar berkenaaan. Malah dilaporkan pada saya bahawa peringkat awal perbincangan, beliau sebenarnya seperti sudah tidak berminat untuk melakukan kerjasama dengan projek Career Expo UKM.

6. Bagaimanapun atas usaha dan kesungguhan team Career Expo, dipendekan cerita mereka berjaya mendapat tajaan ruangan untuk 'coverage' di NST, VARSITI Berita Harian dan Metro. Varsiti misalnya bersetuju untuk menyiarkan 'full page' Career Expo UKM 2012 anjuran IZISH selama dua minggu berturut-turut. Jumlah tajaan ini semuanya bernilai RM 26,000 (bukan tunai). Selain itu, NST juga bersetuju membuka booth pameran mereka di DECTAR, mengadakan sesi temuduga kerjaya serta turut bersetuju membawa beberapa personaliti untuk memeriahkan acara. Semuanya ditanggung sepenuhnya oleh pihak NST.

7. Saya tinggalkan dulu tentang kejayaan team career Expo UKM 2012 anjuran IZISH melunakkan perasaan penaja sehingga akhirnya  berjaya mencapai matlamat mereka di NST. Tahniah untuk mereka. Apa yang lebih merisaukan saya adalah kisah ini menunjukkan wujudnya sentimen atau persepsi yang tidak baik di kalangan majikan atau pihak industri tentang kelemahan pelajar UKM akibat perbuatan dan carakerja pelajar UKM sendiri. Ini mungkin satu contoh terpencil atau mungkin juga contoh yang sebenarnya banyak berlaku sejak sekian lama.


8. Apabila pelajar menganjurkan program, biro yang tidak dapat tidak mesti diwujudkan ialah penjanaan kewangan atau nama lain yang selalu digunakan ialah AJK pemasaran. Kumpulan pemasaran ini biasanya akan keluar ke Bangi, Kajang atau ke Kuala Lumpur untuk membuat pemasaran dan mencari penaja untuk menghasilkan dana projek. Saya juga telah bincangkan dalam entri blog ini beberapa ketika dulu  tentang "Tujuh Cara Mendapatkan Kewangan Projek Pelajar".

9. Sebenarnya, sejak awal 1980an lagi kaedah pemasaran yang sering digunakan oleh pelajar UKM ialah mendapat sumbangan dari kedai ke kedai ala pengakap sekolah. Paling paling hebat, meminta sumbangan dari ahli politik dan orang orang kaya di Kajang. Ini kaedah lama yang sudah tidak sesuai lagi di universiti pada masa sekarang. Konsep pemasaran telah banyak berubah. Hari ini pelajar perlu bersedia melalui empat peringkat dalam membuat pemasaran iaitu;
 i) cadangan pemasaran,
 ii) membuat perbincangan awal,
 iii) sesi perbentangan serta akhirnya;
iv) melakukan perundingan apabila meneriama tawaran penajaan dari pihak syarikat.

10. Seringkali rakan rakan saya di syarikat menyatakan pelajar yang berjumpa dengan mereka akan berkata "Syarikat tuan akan mendapat pelepasan cukai", "logo syarikat tuan akan dicetak di banting dan banner" atau "syarikat tuan akan mendapat keberkatan dengan menaja program kami". Saya dan ramai orang tahu itu semua. Pemilik syarikat lebih tahu tentang hal itu. Apa yang ingin mereka inginkan dengar ialah bagaimana dengan memberikan tajaan RM5,000 akan meningkatkan pulangan kepada syarikatnya?

11. Misalnya adakah program ini akan diberikan liputan media peringkat dalam UKM, Bangi, Selangor atau kebangsaan. Bagaimana dengan menaja aktiviti pelajar UKM, syarikat berkenaan dapat adakan 'engagement' dengan pihak universiti (pensyarah, pentadbir UKM etc) atau 'engagement' dengan pihak KPT atau jabatan-jabatan kerajaan lain yang mereka dapat adakan perbincangan perniagaan seterusnya.

12. Di UKM setiap tahun hampir 1000 projek dianjurkan setiap tahun. Separuh daripada jumlah itu melibatkan aktiviti pemasaran di syarikat syarikat. Amat malang bila kumpulan pemasaran ini gagal membawa imej serta persepsi yang baik kepada para pihak industri dan syarikat di luar sana. Bayangkan kalau yang pergi membuat pemasaran tidak boleh berkomunikasi dengan baik, etika berpakaian yang lemah, tidak menguasai bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan baik dan tiada keyakinan diri. lebih malang proposal yang dibawanya tidak jelas, format yang tidak tersusun dan yang paling utama tidak dapat menerangkan apakah faedah yang akan syarikat dapat apabila memberikan tajaan pada projek berkenaan.


13. Begitu juga dengan kemahiran menggunakan telefon untuk tujuan pemasaran aktiviti. Sebagai orang yang inginkan dana, kitalah yang seharusnya belajar kemahiran untuk memberi keyakinan pada pihak syarikat. Cara pertuturan dalam telefon (pembukaan dan penutup), cara perundingan serta strategi mendapat keputusan terbaik harus mempunyai kemahiran.

14. Jika anda berjaya mendapat tajaan, itu baik untuk projek anda, tetapi ia juga baik kerana anda berjaya membina reputasi pelajar UKM di mata syarikat. Jika anda gagal mendapat tajaan kerana kelemahan anda, ini juga akan menyebabkan pelajar UKM mendapat tempias dan persepsi negatif di mata majikan. (Saya sedar tidak mendapat tajaan juga boleh disebabkan oleh faktor lain seperti syarikat tidak punya peruntukan, program tidak selari dengan jenama syarikat atau sasaran pasaran yang bukan untuk generasi muda seperti mahasiswa- itu harus di terima sebagai bukan kelemahan kita sendiri).

15. AJK Pemasaran projek adalah DUTA kebolehpasaran mahasiswa UKM. Kehebatan anda membawa persepsi yang positif di kalangan majikan tentang graduan UKM. Di IZISH misalnya, telah dianjurkan "Bengkel Pemasaran Projek Pelajar" sejak dua tahun yang lalu. Kumpulan sasarannya ialah bakal bakal JAKSA dan juga pengarah kelab IZISH. Di dalam bengkel ini, peserta diberikan modul latihan komunikasi interpersonal berkaitan pemasaran, kemahiran perbentangan produk/projek untuk penajaan, kemahiran perundingan dan penyediaan surat pengahrgaan dan laporan eksekutif projek untuk penaja yang telah bekerjasama.

16. Para peserta disedar apabila mereka ke syarikat untuk berbincang, membentangkan dan berunding berkaitan pemasaran projek, mereka bukan hanya pergi sebagai AJK projek tetapi sebagai DUTA pelajar UKM. Merekalah  yang akan membina persepsi tentang graduan UKM di mata majikan. IZISH tidak mempunyai peruntukan yang besar untuk menganjurkan bengkel yang lebih kerap bagi manafaat lebih ramai pelajar UKM. Jika ada, tentunya usaha meletakkan persepsi positif majikan kepada graduan akan boleh diusahakan secara berterusan. Bayangkan jika bengkel ini dianjurkan dengan kualiti yang tinggi dan menghasilkan  perserta yang berkemahiran tinggi dalam membuat pemasaran aktiviti pelajar, kita pasti dilandasan yang baik.  Kalau pelajar yang ada kemahiran pemasaran berjumpa dengan majikan di 200 syarikat setahun, sudah tentu 'duta duta ini' akan berjaya memberiakn persepsi positif pada para majikan bahawa UKM mempunyai graduan yang terbaik di negara ini.

Semua pelajar mempunyai tanggungjawab menaikkan nama baik dan citra UKM dan pada masa yang sama elak burukkan nama UKM.

01 May, 2012

Pelajar UKM Perlu Cabaran Yang Lebih Besar

Majalah IZISH 2011
Saya mempunyai pemikiran yang agak 'agresif' bila bercakap soal pembangunan pelajar. Saya suka memberikan cabaran dan memprovokasi pelajar supaya melakukan sesuatu yang lebih mencabar jika mereka ingin menguji potensi mereka. Hanya dengan melakukan sesuatu yang lebih mencabar, pelajar akan tahu keupayaan dan kebolehan sebenar mereka. Dengan melakukan sesuatu yang bukan 'biasa-biasa', mereka pasti membina keyakinan diri yang tinggi dan mereka akan mula percaya pada diri mereka sendiri.

Di IZISH, Majlis Eksekutif Pelajar atau JAKSA sering menjadi 'mangsa' kepada pemikiran agresif saya. Saya sering mencabar mereka melakukan sesuatu yang sukar dan bukan biasa-biasa. Di dalam memberikan cabaran tentulah saya juga perlu mengukur sejauh mana sesuatu cabaran harus diberikan. Tidaklah sampai cabaran ini akhirnya akan merosakkan motivasi serta keyakinan diri mereka.

Ada beberapa contoh yang boleh saya lihat cabaran saya berjaya disahut sejak setahun yang lalu oleh MEP IZISH.

1. MEP Kerohanian menjayakan Minggu Hak Asasi Manusia (HAM). Kebiasaannya Biro Kerohanian JAKSA seringkali beraktiviti tentang keagamaan yang bersifat ritual (majlis berbuka puasa, solat hajat, ceramah agama dan seumpamanya), kali ini mereka menerima cabaran menganjurkan Minggu Hak Asasi Manusia yang memberikan pendidikan tentang peri pentingnya kita sebagai hamba Allah berjuang mengekalkan keamanan sejagat dan menentang sebarang diskriminasi dalam kehidupan. Ini adalah juga anjuran ISLAM. Program sebegini di luar kebiasaan bagi biro kerohanian kolej. Dengan bertemakan "Selamatkan Palestin' AJK HAM berjaya menganjurkan dengan cemerlang sekali. Tentunya bukan aktiviti yang biasa-biasa bagi sebuah kolej kediaman menganjurkan acara yang sebegini besar dengan penglibatan begitu ramai orang secara keseluruhannya samada bersama jabatan kerajaan, orang awam dan NGO (kutipan sumbangan, konsert, pameran, tayangan video, ceramah, seminar, konvoi) di UKM dan sekitar Bangi dan Kajang.

2. Festival Seni IZISH yang melibatkan puluhan pasukan kebudayaan berkampung di IZISH. Penyertaan pihak pelajar IPTS dan IPTS, sekolah dan NGO kebudayaan. Berbagai aspek keseniaan di gabungkan  dalam FESKIB 2012. (tarian, musik, lakonan, seni tampak dan fotografi)

3. Career Expo 2012 melibatkan 40 syarikat multinasional, GLC dan senarai papan utama. Melibat penaja emas dari Maybank dan Uda Holding, penaja perak dari CIMB dan Shell. Buat kali pertama sebuah kolej kediaman menganjurkan Career Expo yang besar dalam sejarah 42 UKM. Malah mendapat sambutan dari pelbagai media untuk menjadi rakan media.

4. Penganjuran Makan Malam Tahunan Kolej di Dewan Seri Endon Putrajaya pada 13 Mei 2012. Bukannya kerana dewan DECTAR tidak menarik dan bersejarah tetapi demi menerima cabaran saya, AJK jamuan tahunan IZISH  bekerja keras untuk mendapat tajaan dan sumbangan menjayakan cabaran ini.Tentunya  sangat sukar tetapi kini mereka tahu potensi mereka dan mereka pasti gembira kerana boleh melaksanakannya.

5. Program keusahawan IZISH Corner yang bermula dari sifar, kini berjaya boleh menjana kewangan mereka dengan baik sekali. Malah pasukan keusahawanan kolej ini telah berjaya menyakinkan diri mereka bahawa keusahawanan adalah sesuatu yang menarik dan mendatangkan keuntungan yang boleh dibanggakan.

Banyak lagi cabaran cabaran yang telah MEP IZISH jayakan di dalam 34 projek yang telah dianjurkan sejak setahun yang lalu. Semua ini tentunya dengan kesungguhan team felo yang sudi bersama membimbing pelajar. Tahniah buat MEP dan terima kasih buat pasukan felo IZISH. Itu kisah di peringkat kolej.

Di peringkat UKM, tentunya pelajar juga perlukan cabaran yang lebih besar untuk cemerlang. Misalnya;

Istana Budaya
1. Bila lagi kita ingin melihat pelajar UKM yang hebat dalam bidang keseniaan (teater, musikal dan tarian) membuat persembahan di Istana Budaya? Sukar tetapi tidak mustahil.

2. Bila lagi pelajar UKM akan ke luar negara melakukan program khidmat masyarakat atas nama UKM sebagaimana hebatnya mereka di persada tempatan? Misalnya team UKM yang dianggotai oleh bakal doktor, jurutera, kaunselor, pendidik, pendakwah, ahli perniagaan, peguam dan sebagainya bergabung mewujudkan pasukan sukarelawan antarabangsa UKM.

3. Bila lagi pasukan debat UKM akan mengadakan debat persahabatan dengan pasukan Harvard, Cambrigde, Yale atau Oxford? Tentunya bukan di Malaysia tetapi di tempat mereka samada di UK atau di US.

Semua ini sukar tetapi tidak pernah mustahil untuk dijayakan. Hanya setelah melakukan dan menjayakan sesuatu yang sukar, pelajar akan tahu apa sebenarnya kebolehan mereka. Di dalam usaha pembangunan pelajar, jika masih melakukan yang biasa-biasa sahaja, bimbang akhirnya menjadi sia-sia sahaja.