25 October, 2019

"CUBALAH...KAMU FIKIR AKU TAKUT?"


Sepanjang bulan Ogos 2019 ini, seluruh rakyat Malaysia ditontonkan bagaimana Perdana Menteri dan sebahagian Menteri didesak secara terbuka oleh para pemimpin parti dalam komponen Pakatan sendiri. Isu tulisan Jawi, Zakir Naik, Lynas adalah antara yang paling ketara.

Sebenarnya sikap pemimpin parti komponen yang mendesak pemimpin kerajaan secara terbuka dalam parti komponen yang sama ini bukan baru.

Sejarah menunjukkan telah ada peristiwa yang hampir sama berlaku sejak pilihanraya umum negara yang pertama selepas merdeka pada 1959.

Pada Ogos 1959, genap 60 tahun yang lalu dikisahkan telah berlaku pertentangan dan desakan secara terbuka pemimpin MCA yang diketuai oleh Dr Lim Chong Eu terhadap pemimpin UMNO iaitu Tunku Abdul Rahman.

Puncanya Dr Lim Chong Eu menuntut tambahan kerusi sebanyak 40 kawasan untuk pilihanraya pertama Malaya selepas merdeka yang akan diadakan pada 19 Ogos 1959.

Alasan Dr Lim Chong Eu  ialah bilangan penduduk kaum Cina telah bertambah berbanding pilihanraya 1955.

Memang betul. Pertambahan penduduk kaum Cina telah berlaku dalam jumlah yang besar apabila Malaya merdeka pada 1957, kerana orang Cina dan India telah mendapat kerakyatan secara jus soli.

Hasilnya penduduk kaum Cina telah bertambah kepada 35.6% pada 1959 berbanding hanya 11.2% pada tahun 1955. Lebih satu juta imigran Cina mendapat kerakyatan penuh ketika itu.

Dalam sejarah politik Malaysia, hanya PAS (PIMP sebelum 1973) adalah parti yang secara tegas menolak peruntukan Jus Soli dilaksanakan di Tanah Melayu.

Parti lain seperti Parti Negara tidak juga menyokong Jus Soli tetapi tidak lantang seperti PAS.

Malah pada pilihanraya umum 1959, salah satu janji dalam manifesto PAS ialah akan menolak dan menghapuskan perlaksanaan Jus Soli di Malaya.

PAS berpendirian semua pemberian kerakyatan pada imigran harus melalui proses permohonan biasa. Bukan diberikan secara automatik melalui peruntukan Jus Soli.

Peruntukan Jus Soli pada 1957 telah menyebabkan berlaku pertambahan lebih sekali ganda warganegara dari kaum Cina iaitu kenaikan 120%  berbanding sebelum merdeka.

Oleh kerana pertambahan penduduk Cina yang sangat ramai dan secara mendadak ini, Dr Lim Chong Eu menggunakan peluang ini untuk mendesak Tunku supaya memberi lebih banyak agihan kerusi kepada MCA khususnya di kerusi kawasan bandar.

Pada pilihanraya 1955 sebelumnya, MCA telah mendapat  agihan 15 kerusi sahaja dari Perikatan.

Pada pilihanraya 1959, MCA menuntut tambahan 25 lagi kerusi untuk menjadikan 40 kerusi untuk orang Cina.

Jumlah kerusi yang dipertandingkan di seluruh Malaya pada 1959 ialah 104 kawasan.

Desakan Dr Lim Chong Eu kepada Tunku dilakukan dengan cara menulis satu surat 'dua tuntutan'.

Tuntutan pertama, Dr Lim Chong Eu  telah mendesak untuk Tunku memberikan 40 kerusi pada MCA.

Tuntutan kedua,  Dr Lim Chong Eu menyatakan bahawa MCA tidak bersetuju dan menolak Laporan Pelajaran Razak 1956.

Pemimpin MCA yang lain merasakan surat Dr Lim Chong Eu  terlalu 'lembut' dan apologetik.

Oleh itu, sebahagian dari mereka telah membuat keputusan mengadakan kenyataan akhbar bahawa jika Tunku tidak bersetuju dengan permintaan MCA untuk mendapatkan 40 kerusi, pemimpin MCA mengugut akan keluar dari Perikatan.

Mereka mengancam bahawa calon MCA akan bertanding akan tiket bebas atau di atas tiket parti lain dan bukan lagi atas tiket Parti Perikatan di bawah pimpinan Tunku jika kedua-dua tuntutan mereka ditolak.

Selepas menerima surat berkenaan, Tunku pada mulanya menjadi serba salah.

Beliau tahu MCA mempunyai kekuatan untuk parti Perikatan mendapat sokongan orang Cina.

Tanpa MCA, sokongan pada Perikatan pasti akan merosot dengan banyak.

Akhirnya Tunku mengambil keputusan mengadakan mesyuarat tergempar UMNO untuk membuat keputusan berkaitan tuntutan MCA.

Menerima tuntutan MCA bermakna 40 kawasan pilihanraya akan diserahkan pada MCA dan Laporan Pelajaran Razak mungkin akan dimansuhkan.

Menolak pula bermakna sokongan orang Cina pada Parti Perikatan akan jatuh merudum. Perikatan kemungkinan besar akan kalah dalam pilihanraya umum 1959.

Jika anda di tempat Tunku Abdul Rahman, apakah keputusan anda? Menerima atau menolak tuntutan MCA?

Setelah selesai mesyuarat tergempar UMNO, dan atas persetujuan sebulat suara ahli UMNO, Tunku telah menulis surat pada Dr Lim Chong Eu memaklumkan bahawa tuntutan MCA ditolak sepenuhnya.

Tunku  juga mencabar Dr Lim  jika MCA mahu keluar dari Parti Perikatan, UMNO  tidak akan menghalang.

UMNO dan MIC akan terus kekal sebagai komponen dalam Parti Perikatan untuk pilihanraya umum 1959 yang tinggal beberapa hari sahaja lagi walaupun tanpa MCA.

Tunku Abdul Rahman sebenarnya telah memberikan isyarat yang cukup jelas pada kepimpinan MCA. Isyaratnya  "Cubalah... Kamu fikir aku takut?"

Dr Lim Chong Eu dan kepimpinan MCA terkejut dengan keputusan Tunku Abdul Rahman dan ahli UMNO.

Mereka tidak menjangka yang tuntutan mereka akan ditolak bulat-bulat oleh Tunku.

Mereka lebih menjangkakan yang Tunku akan berunding dengan pihak MCA dan proses tawar menawar agihan kerusi akan berlaku.

Melalui tawar-menawar tersebut, kepimpinan MCA mengharapkan akan ada pertambahan kerusi walaupun mungkin akan berkurangan dari 40 yang diminta oleh MCA pada peringkat awal. Rupanya mereka tersalah langkah.

Akhirnya, dalam keadaan terkejut, Dr Lim Chong Eu  sebagai presiden MCA setelah berbincang dengan Tun Tan Cheng Lock (penasihat MCA) telah membalas surat memohon maaf serta memohon Tunku menerima kembali MCA di dalam Parti Perikatan.

Selepas membaca surat Dr Lim Chong Eu, Tunku mengarahkan Dr Lim Chong Eu menarik balik semua tuntutan jika mahu kembali kepada Parti Perikatan.

Tunku juga membuat keputusan bahawa senarai nama calon pilihanraya untuk kerusi MCA akan ditentukan sepenuhnya oleh beliau sendiri.

Tunku juga menuntut Dr Lim Chong Eu mengugurkan semua kepimpinan MCA yang bertanggungjawab membuat tuntutan tambahan kerusi dan menolak Laporan Razak.

Berikutan tindakan itu, kepimpinan Jawatankuasa kerja Pusat MCA marah dan menentang keputusan Tunku.

Beberapa pimpinan tertinggi MCA seperti Yong Fung How dan Too Joon Hing mengambil keputusan memboikot Perikatan dan meletak jawatan mereka dalam MCA.

Tunku telah bersedia lebih awal dan terus mengemukakan senarai calon MCA untuk bertanding di bawah tiket Perikatan.

Semua calon MCA yana disenaraikan oleh Tunku adalah dipastikan bebas dari kumpulan yang membuat tuntutan.

Malah Dr Lim Chong Eu sebagai  presiden MCA sendiri telah digugurkan namanya sebagai calon Perikatan oleh Tunku.

Nampaknya Tunku Abdul Rahman betul-betul bertegas dalam peristiwa ini. Ketegasan beliau datangnya dari sokongan sebulat suara ahli dan kepimpinan UMNO.

Semua ini berlaku kurang dua minggu dari tarikh pilihanraya 19 Ogos 1959. Sangat kelam kabut Parti Perikatan ketika itu.

Akhirnya pilihanraya umum  berjalan pada 19 Ogos 1959.

Apabila keputusan diumumkan, walaupun Parti Perikatan masih membentuk kerajaan pusat, Parti Perikatan mengalami kemerosotan sokongan yang sangat besar.

Pada pilihanraya 1955 sebelumnya, peratus sokongan pada Perikatan ialah 81.7%, tetapi pada 1959, sokongan pada Perikatan merosot kepada hanya 51.5% sahaja.

Walaupun Tunku Abdul Rahman dan ahli UMNO tahu, menolak tuntutan MCA akan melemahkan sokongan pengundi khususnya pengundi Cina pada Perikatan, atas nama prinsip perjuangan UMNO mempertahankan kuasa politik Melayu, tuntutan MCA terpaksa mereka tolak.

Ahli dan pemimpin UMNO juga sebulat suara menolak tuntutan pemansuhan Laporan Pelajaran Razak demi memastikan kedudukan Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa pengantar di dalam sistem pendidikan negara.

Pemimpin Melayu UMNO ketika itu telah bersedia untuk hilang sokongan orang Cina dalam pilihanraya 1959 tapi mereka  sama sekali tidak rela mengkhianati dan lari dari prinsip perjuangan UMNO-demi agama, bangsa  dan tanahair.

Begitulah sekelumit kisah para pemimpin politik Melayu yang terdahulu dari kita.

"Sejarah adalah guru yang terbaik"

****
Rujukan
Ramlah Adam, 2009, Biografi Politik Tunku Abdul Rahman Putra, DBP, mukasurat 297-299.

Heng Pek Koon (1996), Chinese Responses to Malay Hegemony in Peninsular Malaysia 1957-96, Journal of Southeast Asia Studies, Volume 34, No 3, December.