Oleh: Anuar Ahmad
Minggu ini sekitar 50,000 pelajar baru mendaftar sebagai mahasiswa baru di IPTA seluruh Malaysia.
Berpuluh ribu yang lain akan mendaftar di lebih 500 universiti dan kolej swasta. Belasan ribu pula akan mula belajar di universiti luar negara di seluruh dunia khususnya di China, Singapura, Taiwan, Jepun, Australia, UK, Kanada dan USA. Maksudnya hampir 150,000 pelajar baru di negara ini akan melanjutkan pelajaran peringkat universiti secara keseluruhannya .
Pada 2017, Bank Negara melaporkan sekitar 204,000 graduan pelbagai peringkat (diploma, ijazah, ijazah tinggi) yang menganggur.Terkini, tiada rekod rasmi yang lengkap dari pihak kerajaan berapakah bilangan graduan yang menganggur. KPM pada 2018 melaporkan hanya 58% sahaja graduan bekerja (termasuk gaji di bawah kelayakan) selepas 6 bulan menamatkan pengajian.
Secara kasar, jika 58% dari anggaran 150,000 yang masuk universiti, maka setiap tahun akan ada hampir 70,000 graduan yang menganggur. Jika dicampurkan sejak lima tahun yang lepas, angka graduan menganggur diyakini sangat besar sekali.
Siapa yang ramai menganggur?
Laporan Bank Negara menunjukkan majoriti graduan yang menganggur ialah Melayu Bumiputera. Setakat ini isu pengangguran bukanlah satu isu yang besar pada graduan Cina. Mengapa majoriti graduan Melayu tidak dapat kerja? Mengikut Laporan Kajian JobMalaysia, majikan memaklumkan bahawa graduan menganggur (majoriti Melayu) mempunyai tahap komunikasi yang lemah , tidak menguasai bahasa Inggeris dan menuntut gaji yang tinggi.
Mereka juga dikatakan tidak pandai membawa diri (adaptability) Maka mereka dikatakan tidak sesuai diambil bekerja. Tetapi ada kajian menunjukkan ramai juga graduan Melayu yang menguasai Bahasa Inggeris dengan baik tetapi tetap juga menganggur.
Berapakah gaji yang dibayar pada graduan? Di kalangan graduan yang telah bekerja, hampir 2/3 menerima gaji di bawah 3000 ringgit (kelompok B40). Biasanya yang menerima gaji lebih tinggi ialah graduan yang bekerja di syarikat multinasional dan agensi swasta.
Paling ramai graduan menerima gaji bawah RM2,000. Majikan nampaknya 'tarik tali' dan tidak mahu membayar gaji yang sesuai dengan kelayakan sebagai graduan.
Data menunjukkan ada graduan yang menerima gaji di bawah gaji minima RM1,050.
Graduan Melayu perlu lakukan sesuatu apabila mula masuk universiti. Mereka pasti akan menganggur jika melakukan hal yang sama seperti senior mereka. Mereka harus cakna isu pengangguran graduan.
Pemimpin Melayu kena cakna isu graduan Melayu yang semakin kritikal ini. Graduan Melayu adalah peneraju kepimpinan bangsa Melayu pada masa depan.
Membiarkan graduan Melayu menganggur adalah satu musibah dan malapetaka kepada pembangunan ekonomi orang Melayu.
Janji sejuta pekerjaan oleh kerajaan harus dilunaskan walaupun secara beransur ansur. Setakat ini belum diumumkan secara rasmi berapa peratuskah peluang pekerjaan telah diwujudkan dari jumlah sejuta yang dijanjikan. Isu pengangguran graduan Melayu dan bumiputera membuktikan akan wujud jurang kekayaan di dalam masyarakat mengikut etnik pada masa akan datang.
Jika tidak diuruskan dengan baik, isu seperti ini akan menjadi seperti 'api dalam sekam' kepada negara. Apinya memang kita tak nampak, tetapi jika tidak dipadamkan, pasti membakar sampai habis semuanya.
Rujukan
https://vulcanpost.com/591984/malay-graduates-job-seekers-discrimination-malaysia/
https://umexpert.um.edu.my/file/publication/00006071_99752.pdf
https://www.jobstreet.com.my/career-resources/employers-fresh-graduates-unrealistic-expectations/#.XW5YnboRWEc