11 December, 2014

POLITIK DAN KEMISKINAN

1. Saya langsung tidak rasa gembira atau bangga apatah lagi kagum melihat berita-berita di media
bila ahli politik mana mana parti begitu ghairah menyampaikan sumbangan seperti beras, makanan, duit poket atau basikal kepada orang orang miskin di dalam kawasan DUN atau Parlimen mereka. Tapi saya rasa bangga, gembira dan bersyukur bila lihat ada ahli politik turun padang sampaikan bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana atau musibah.

2. Saya punya definisi yang berbeza antara orang miskin dengan orang yang ditimpa bencana/musibah. Jika seseorang ditimpa bencana seperti rumah terbakar, banjir, sakit yang kronik menerima bantuan beras, gula, tepung dan duit buat membeli ubat, itu adalah sewajarnya dan harus dipertingkatkan bantuan demikian.

3.Tetapi bila ada ahli politik mencari cari orang miskin dalam kawasannya, menyampaikan bantuan dengan begitu meriah pula bergambar untuk di "upload' ke FB, Instragram atau Twitter, ini menunjukkan beliau bukanlah ahli politik yang berjaya. Beliau sebenarnya ahli politik yang lemah dan suka mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain. Mereka sebenarnya "miskin politik"...

4. Pada saya, kemiskinan dalam masyarakat bukan bencana. Ia adalah sesuatu yang disebabkan kelemahan ahli politik atau pemimpin setempat menguruskan sumber yang ada. Jika ahli politik yang dipilih dalam piliharaya gagal untuk menjana kekayaan kawasannya dan ramai orang miskin dikawasannya, itu bukti kelemahan beliau sebagai seorang pemimpin.

5. Sepatutnya KPI seorang wakil rakyat ialah mengurangkan tahap kemiskinan di kawasannya, bukan sekadar bergambar dengan penduduk miskin sambil menyerahkan sekampit dua beras buat membeli undi. Lebih melemaskan bila mereka bergambar berlatar belakangkan rumah usang hampir rebah ke bumi. Wakil rakyat wajib ada agenda dan master plan untuk uruskan isu kemiskinan dalam kawasan mereka. Sekampit dua beras tak akan selesaikan masalah kemiskinan. Tetapi bantuan ini sangat membantu untuk mereka yang ditimpa bencana yang bersifat sementara.

6.Malaysia memerlukan wakil rakyat yang lebih baik dari itu. Wakil rakyat yang memahami kemiskinan bukan satu bencana tidak dijangka. Mereka tahu kemiskinan rakyat adalah berpunca dari kelemahan merancang dan mengurus. Kemiskinan ialah kelemahan melihat potensi ahli masyarakat dan kegagalan mengenalpasti sumber penciptaan kekayaan di kawasannya.

7. Wakil rakyat Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada kemiskinan rakyat untuk dijadikan modal politik mereka. Kemiskinan mesti dihapuskan atau sekurang kurang dikurangkan seminima mungkin.. Menggunakan bantuan kemiskinan seperti beras, gula dan kopi sebagai gula gula politik pada si miskin demi meraih undi simpati adalah politik kolot dan menjijikan. 'Si miskin harus diberikan pancing bukansekadar ikan sekor dua begitu...'. dan menjadi tugas wakil rakyat untuk mencari pancing pancing tersebut. Jika tidak maka gagal lah wakil rakyat tersebut.

8. Jika mana mana parti politik mahu terus mempunyai wakil rakyat yang hebat, berikan KPI yang jelas pada wakil rakyat mereka. Jika ada wakil rakyat yang menang pilihanraya tapi selepas lima tahun masih gagal capai progres indek KPI pembasmian kemiskinan di kawasannya, eloklah minta mereka berundur dan gantikan dengan pemimpin lain pula...yang lebih muda dan berdayasaing....

9. Semakin negara kita ke depan, kemiskinan tidak boleh digunakan lagi untuk tujuan raih undi politik. Kemiskinan adalah sesuatau yang mesti dikurangkan, tanpa mengira penyokong parti manapun si miskin itu.

10. Kemiskinan adalah penyakit dalam masyarakat, yang mesti diubati. Kerana miskin, anak anak tidak ke sekolah, kerana miskin berbagai penyakit melanda keluarga mereka, dan kerana miskin jenayah dan gejala sosial bermaharaja lela. Jangan politikkan kemiskinan... ia hanya akan merosakkan hidup masyarakat seluruhnya.