11 December, 2014

SEKOLAH VERNAKULAR: APA PERLUNYA DITUTUP?

1. Saya tidak bersetuju sekolah vernakular dimansuhkan. Sekurang kurangnya atas tiga sebab.
Pertama, walaupun sekolah vernakular tidak tercatat di dalam perlembagaan, penubuhan sekolah vernakular Cina dan Tamil merupakan satu kontrak sosial yang telah berjaya kita amalkan sekian lama.

2. Kedua, sekolah vernakular telah diuruskan dengan baik, menunjukkan pencapaian yang baik serta satu model pen...didikan yang membuktikan pendidikan boleh diuruskan melalui perkongsian bijak antara ibu bapa, masyarakat dan kerajaan.

3. Ketiga, ketiadaan sekolah vernalukar akan menyebabkan sekolah kebangsaan akan hilang 'penanda aras' di dalam negara. Bagaimana kita akan katakan sekolah kebangsaan baik jika masyarakat tidak boleh bandingkan dengan sekolah vernakular? Membanding dengan sekolah luar negara masih relevan, tetapi berapa orang yang nampak perbandingan tersebut?

4. Oleh itu saya ambil pandangan agar kekalkan dan benarkan sahaja sekolah vernakular terus dilaksanakan. Apa yang perlu dilakukan sekarang? Kita harus mula berfikir dengan cara BLUE OCEAN STRATEGY. Lupakan tentang sekolah vernakular dan mula perkasakan sekolah rendah dan menengah kebangsaan. Perhebatkan kemudahan, tingkatkan amalan pengajaran guru, bina persekitaran sekolah kebangsaan yang lebih menyakinkan para ibubapa dan guru bahawa apabila anak anak mereka ke sekolah kebangsaan, anak anak mereka akan mendapat peluang yang lebih banyak, hebat dan menguntungkan masa depan. Mulakan amalan pendidikan percuma untuk rakyat.

5. Kita tahu ada sekolah sekolah kebangsaan yang hebat, berstatus premier, penuh dengan segala kemudahan dan guru guru yang hebat. Anak anak di sekolah ini bukan sahaja belajar bahasa Melayu, Inggeris dan Arab, malah diperkenalkan dengan bahasa Mandarin,Jepun, Korea, Perancis dan Sepanyol. Tetapi sekolah jenis ini sangat terhad. Malah lebih ketara sekarang, sekoah ini dipenuhi dengan anak anak dari kalangan orang berada, ahli politik dan keluarga kelas atasan.

6. Oleh itu, strategi politik Melayu yang memberikan tekanan supaya menutup sekolah vernakular adalah tidak tepat, kerana yang diperlukan ialah politik Melayu harus mula memberikan tekanan pada pihak kerajaan agar tindakan radikal memperkasakan sekolah kebangsaan mestilah dimulakan.

7. Pemerkasaan sekolah kebangsaan akan menarik perhatian ibubapa semua kaum untuk mendaftar anak anak mereka ke sekolah kebangsaan. Jangan buang masa berkonflik tentang sekolah vernakular, tumpukan masa, tenaga, idea dan wang untuk perkasakan sekolah kebangsaan.