11 December, 2014

MELAYU MASIH BEGITU....

1. Pada tahun 1885, Frank Swettenham, Residen Inggeris di Selangor telah menulis sebuah buku bertajuk Malay Sketches (Perihal Melayu).

2.Tulisan ini berkaitan pemerhatian beliau tentang orang Melayu. Antara lain disebut orang Melayu adalah satu kaum yang suka bermain main dalam pekerjaan mereka. Mereka tidak bersungguh bekerja untuk memajukan diri. Beliau juga menulis sikap melayu yang mahu kerja yang dapat upah yang cepat. Juga sikap melayu yang suka pada hal hal merebut kuasa hatta di peringkat menjadi ketua kampung sekalipun. Orang Melayu juga pada beliau suka membesarkan benda benda benda yang remeh temeh dan tidak mahu melihat perkara lebih penting.

3. Orang Melayu bila bersengketa sesama sendiri, suka menjemput orang luar menyokong mereka. Sejarah perebutan kuasa orang Melayu di Perak dan Selangor membuktikannya. Pemimpin Melayu sanggup bersama kumpulan kongsi gelap Ghee Hin Dan Hai San bila bergaduh sesama sendiri. Akhirnya kuasa hilang kepada Inggeris.

4. 130 tahun kemudian, Prof Dr Muhammad Abdul Khalid pula menulis sebuah buku bertajuk "the Colour of Inequality"(2014). Di dalam kajian empirikal beliau, bangsa Melayu nampaknya telah hilang banyak yang dulunya milik mereka. Ekonomi 100 peratus milik Melayu, sekarang tinggal 20 peratus sahaja. Kuasa politik yang dulunya 100 peratus milik Melayu sekarang tinggal sekitar 61 peratus sahaja (kerusi Melayu dalam parlimen). Bilangan melayu miskin paling ramai dalam negara ini. Bilangan bangunan dan hartanah milik Melayu sangat rendah khususnya di bandar besar. Syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia hanya tak sampai 1/3 milik 100% bumiputera.Tanah simpanan Melayuberjuta ekar pun kini sudah tinggal hanya 12 peratus sejak mula diperkenalkan pada tahun 1932. Itupun hampir semuanya tanah pimggir hutan yang belum dibangunkan.

5. Ada pihak yang salahkan UMNO menyebabkan ini semua berlaku. Saya rasa tidak benar sepenuhnya. Tepuk sebelah tangan tak kan berbunyi. Hakikatnya, bangsa Melayu seluruhnya yang suka bertelagah sesama sendiri adalah puncanya. UMNO, PAS, PKR adalah penyumbangnya. Kerana melayu suka bertelagah maka masing masing terpaksa bergantung pada bangsa lain mencari kekuatan. Akhirnya, Melayu menjadi bangsa yang semakin lemah kerana tidak putus putus seronok merebut kuasa.

6. Apa akan ada lagi bangsa Melayu 100 tahun akan datang? Apakah akan ada lagi tanah rezab Melayu, kuasa politik Melayu? Ekonomi Melayu? Akan adakah lagi Perhimpunan Agung Umno atau Muktamar Pas?

7. Jika dilihat tulisan "Perihal Melayu" oleh Sir Frank Swettenham 130 tahun yang lalu, beliau telah memberikan jawapan yang jelas bahawa tidak akan ada lagi kuasa Melayu di negara ini 100 tahun akan datang. Kecuali Bangsa Melayu seluruhnya segera berubah. yang pada saya mustahil Melayu akan berubah...

Hanya Allah yang lebih mengetahui...