19 November, 2014

10 Perkara Menarik Tentang PRK UKM 2014

Saya sudah kurang menulis tentang PRK UKM. Ada dua sebab yang melemahkan semangat saya buat masa ini. Pertama, sejak kebelakangan ini, pemimpin yang menang PRK seperti sudah tidak relevan lagi dalam kehidupan kampus. Pelajar lebih berminat beraktiviti di kolej, fakulti atau di persatuan persatuan (bukan semua persatuan aktif) yang berada di PUSANIKA. Mereka yang menang dan 'memerintah' kerajaan pelajar seperti hanya berada dalam kelompok mereka (bersifat eksklusif) dan tidak mengamalkan dasar buka pintu (inklusif) pada pelajar teramai di UKM. PMUKM sudah menjadi 'kelab ungu' pada kebanyakan pelajar UKM.

Kedua, saya secara peribadi merasakan pelajar yang masuk bertanding sebagai calon PRK mestilah sekurang kurangnya pernah menjadi pemimpin di mana mana peringkat samada aktiviti di kolej, fakulti atau persatuan. Atau pernah menjawat jawatan EXCO mana mana MEP, persatuan, kelab atau urusetia. Ataupun di kalangan mereka yang pernah memenangi dalam apa apa acara di peringkat universiti, kebangsaan atau antarabangsa. Pemerhatian saya menunjukkan (kebanyakan) calon yang bertanding tahun lepas adalah di kalangan mereka yang tiada langsung pengalaman berorganisasi. Soalanya, bagaimana untuk menjadi MPP UKM yang baik jika mereka tidak langsung ada kemahiran untuk berorganisasi dan beraktiviti di kampus. Apatah lagi berupaya untuk mempengaruhi pelajar lain ikut serta dalam aktiviti anjuran mereka. Sebab itu, saya rasa PRK ini tidak ke mana perginya. Ia hanya bersifat kelompok dan dianggotai oleh kalangan MPP yang tidak punya pengalaman untuk membawa pelajar UKM jauh  ke depan.

Apa pun, saya rasa elok juga saya menghangatkan blog ini dengan isu PRK kali ini (sekurang kurang supaya blog ini tidak dihumban ke sungai seperti yang diminta oleh seorang penyokong GMUKM di dalam FB mereka). Saya juga ingin berkongsi pandangan (ini pandangan peribadi dan tidak bersifat kajian) sebagai meraikan kemeriahan demokrasi PRK UKM 2014, maka saya senaraikan 10 perkara menarik (pada pandangan saya ) tentang PRK kali ini setakat hari ini (18 Nov 2014).

  1. Kemenangan sekian lama GMUKM tanpa bertanding di Fakulti Pengajian Islam adalah satu rekod. FPI kekal sebagai kubu kuat GMUKM. Walaupun khabarnya ada cubaan 2 calon bebas ingin bertanding, di saat akhir menarik diri kerana tidak yakin dengan sokongan pengundi FPI. Saya yakin GMUKM akan selesa dengan apa yang berlaku di FPI. saya rasa cukup sukar untuk ASPIRASI menembusi kubu kuat GMUKM ini. Soalnya, jika keadaan ini berterusan apakah demokrasi yang ingin diraikan oleh mahasiswa akan benar benar telus dan bebas boleh wujud di FPI? Atau demokrasi sebenarnya telah mati di FPI sejak sudah tiada lagi pertandingan di kerusi FPI? 
  2. Fakulti Pendidikan yang dulunya kubu kuat GMUKM semakin kurang kukuh. Walaupun masih dianggap 'simpanan tetap' GMUKM, memenangi kerusi FPend bukanlah semudah dulu lagi. 
  3. ASPIRASI mula mengukuhkan pengaruhnya di KKL. Semakin ramai pelajar di KKL yang serasi dengan angin perubahan yang di bawakan oleh ASPIRASI. Ini tidak berlaku dulu di KKL.
  4. Ada MPP ASPIRASI sesi lepas yang bertanding semula. Ini memberikan kekuatan tambahan kepada team ASPIRASI yang mengabungkan tenaga baru dan tenaga yang berpengalaman. Dengan prestasi cemerlang MPP Aspirasi ini pada sesi yang lalu, laluan untuk mereka mengulangi kemenagan pada kali ini nampaknya lebih mudah.
  5. Aspirasi tahun ini membawa slogan CALON PERUBAHAN, satu slogan yang menarik, tetapi perlu dirungkaikan secara detail apakah agenda perubahan yang ingin dibawa? sekurang kurangnya apakah perubahan yang paling besar akan berlaku jika ASPIRASI menang nanti?
  6. Selepas tiga tahun agak hambar, ASPIRASI tahun ini nampaknya begitu bersedia. Tetapi mereka terpaksa bekerja kuat untuk menghadapi pasukan GMUKM yang pasti bersungguh sungguh untuk mempertahankan kuasa mereka. Sebaliknya, GMUKM tahun ini yang bermula dengan 'perselisihan dalaman' nampaknya masih tidak pulih sepenuhnya. Kemeriahan GMUKM pada hari penamaan calon agak suram berbanding sesi lepas. Ternyata pemimpin GMUKM sesi ini (maaf saya belum ingat nama penuhnya) nyata tidak selantang pemimpin GMUKM yang lalu sdr Abdullah Sani.
  7. Budaya 'rasuah rasuah' telah bermula di dalam PRK UKM. Pengedaran barangan seperti pen ungu, air mineral berlogo sebagai hadiah dan jamuan kecil adalah titik mula kepada penularan budaya kotor ini.
  8. Calon Umum GMUKM seperti dimonopoli sepenuhnya oleh pelajar FPI, 8 dari 11 adalah dari FPI. Peratus yang sedikit sahaja yang diberikan pada pelajar fakulti lain. Ini sesuatu yang agak janggal. Kerana UKM punya 12 fakulti semuanya. Mungkin pelajar FPI yang dicalonkan adalah proksi atau GMUKM memang tidak ada pilihan/kekuatan di fakulti fakulti yang lain,apa pun biarlah pengundi yang tentukan pada 20 November ini.
  9. Semakin jelas kekuatan GMUKM datanganya dari jentera siswi. Sejak hari penamaan lagi kelihatan pelajar siswi yang lebih mendominasi GMUKM. Begitu juga kempen dan konvoi yang ramainya siswi. Tak begitu ramai pelajar siswa yang ikut serta. Ini agak berbeza berbanding dulu. Mungkin kerana FPI (kubu kuat GMUKM) sekarang lebih ramai pelajar wanita? Atau semakin kurang kekuatan lelaki di dalam GMUKM, hanya pimpinan mereka yang boleh tentukan.
  10. Seperti amalan tahun tahun yang lalu, provokasi seperti slogan kezaliman dan ketidakadilan pentadbiran UKM mula digunakan oleh GMUKM untuk menutup kelemahan sendiri. Menarik seperti apa yang berlaku di beberapa kolej dua hari lepas, bila peraturan universiti mensyaratkan supaya mana mana calon yang ingin membentangkan manifesto di kolej perlu memohon kebenaran. Mengapa perlu memohon? Ada sebabnya. Semua tahu, ada dua pasukan yang ingin segera membentangkan manifesto mereka. satu Aspirasi dan satu GMUKM. Ada lebih 60 calon yang bersemangat mahu membentangkan manifesto mereka di kolej. Bayangkan jika semuanya datang serentak ke kolej? Bayangkan dalam kehangatan kempen PRK ada yang berniat jahat menimbulkan provokasi sehingga membawa kepada konflik yang tidak terkawal di kolej? Maka itu, peraturan memohon kebenaran dari pihak kepengetuaan ini diwujudkan. Dengan adanya sisitem permohonan ini, pihak kepengetuaan boleh menyusun secara adil mengikut giliran untuk semua calon berpeluang membentangkan manisfesto masing masing. Calon hanya ada tiga hari untuk berkempen, jika tidak disusun secara kemas, pasti akan berlaku ketidakaturan dalam soal pembentangan manifesto ini. Malangnya, apa yang berlaku di KDO, KAB dan KPZ agak mendukacitakan. Pasukan GMUKM secara sengaja telah engkar peraturan ini dan sengaja melakukan provokasi dengan melibatkan pihak pengurusan kolej. Mereka juga menuduh pengurusan kolej telah melakukan ketidakadilan dan kezaliman pada mereka. Sedangkan pihak pengurusan kolej telah memaklumkan dengan bukti bukti bahawa telah berlakukannya keengkaran di sebelah GMUKM dalam menghormati peraturan universiti. 
Pilihan di tangan para pengundi... mengundilah dengan bijaksana..demi kebaikan dan peribahan kualiti kehidupan kampus anda yang lebih baik.