12 March, 2013

Teruslah Bekerja MPPUKM, Pelajar Hargai Khidmat Anda..

Kalau pelajar perasan, sejak akhir akhir ini semacam berlaku satu 'perlumbaan' sihat antara MPP ASPIRASI dan MPP  "GMUKM". Mereka bekerja keras menyelesaikan isu vending machine, isu cafetaria, isu mesin basuh di kolej kediaman, isu jalanraya kampus yang berlopak dan sebagainya. Nampaknya akan semakin keraplah pegawai Jabatan Bendahari dan JPP dikunjungi oleh MPP dari kedua dua kumpulan ini. Lebih menarik, modus operandi mereka hampir sama, bila segala usaha mereka selesai, pasti akan segera 'dipaparkan' dalam blog masing masing, sebagai bukti mereka sedang bekerja untuk kebajikan pelajar UKM.

Tahniah untuk usaha mereka. Tentunya semua usaha ini akan menguntungkan pelajar UKM. Semakin kuat mereka bekerja maka semakin banyak yang pelajar raih. Kita tentu bangga punyai MPPUKM sebegini.

Tetapi kalau itu sahaja yang dilakukan, serasanya masih belum menepati tanggungjawab seorang MPP. Pada saya sekurang kurang tiga perkara yang mesti ada pada setiap MPPUKM. Pertama, sahsiah yang unggul, kedua, komitmen kerja yang berterusan dan ketiga, memiliki ilmu dalam memimpin misi yang jelas untuk mahasiswa UKM.

Berkaitan sahsiah, kita selalu merujuk MPP mestilah mempunyai perilaku yang bermoral tinggi (cara mereka bercakap, cara berpakaian, cara menghormati orang lain, bersopan santun), MPP juga diharapkan memiliki nilai dan pegangan agama yang boleh dijadikan contoh.

Tetapi kita juga harus melihat makna sahsiah dalam ertikata yang lebih luas. MPPUKM juga harus punya intergriti, berpolitik secara matang, mengutamakan keharmonian kampus, mementingkan nama baik UKM terpelihara, menolak politik songsang yang merosakkan pemikiran individu yang bersivil, memgemukakan pandangan dengan hikmah dan sebagainya. Sahsiah ini pada saya masih perlu dipertingkatkan, saya juga yakin seluruh mahasiswa UKM pasti ingin melihat budaya tinggi dan murni serta bersahsiah ini menjadi amalan MPPUKM.

Kita juga ingin melihat MPPUKM yang beristiqamah di dalam memberikan perkhidmatan kepada pelajar. BUkan sekadar di musim PRK UKM sahaja. Dan tentunya perkhidmatan mereka bukan sekadar sebagai 'broker' semata mata. Selesai sahaja JPP melakukan sesuatu penyelengaraan, berpusu pusu MPPUKM mengaku itu hasil usaha kerja mereka. Saya tidak salahkan usaha usaha ini. Ini juga usaha murni, mesti diteruskan.

Tetapi tentulah pelajar memerlukan MPPUKM mereka melakukan lebih dari sekadar seorang 'broker' atau penyampai berita penyelenggaraan JPP semata mata. Mereka tentu inginkan MPPUKM yang boleh meletakkan sasaran dalam bekerja. Jika manisfesto yang diberikan sebagai janji sudah diedarkan, maka WAJIB dengan sedaya upaya untuk menunaikannya. Jika tidak bersedia menunaikannya, janganlah MPPUKM berjanji..kerana janji anda akan dituntut nanti , dituntut bukan oleh seorang tetapi oleh ribuan pelajar UKM. Setiap MPP perlu ada perancangan jangkapanjang (setahun) tentang apakah yang ingin mereka perjuangkan, tentang apa yang ingin mereka capai.

Perkara ketiga pada saya baru sahaja bermula dan belum lagi menjadi budaya. Memiliki ilmu untuk memimpin misi dan visi untuk pelajar UKM. MPPUKM perlu menyediakan diri mereka dengan pengetahuan untuk memimpin pelajar UKM.  Maka acara seperti diskusi, debat, dialog dan ceramah harus mengisi ruang ruang masa MPPUKM. Program baru baru ini seperti "Real-Politic: Apa Kata Anda" yang dipanelkan oleh wakil Aspirasi, wakil "GMUKM" dan wakil PESEPSI adalah satu contoh yang baik.

Mereka juga harus boleh melemparkan pandangan dengan hujah yang baik, punyai data dan bukti. Mereka juga harus punyai kemahiran melihat sesuatu lebih tangkas berbanding pelajar yang lain. Mereka boleh menelah isu masa depan dalam kampus UKM dan boleh mencadangkan perubahan untuk menguruskan isu tersebut. Saya kagum dengan usaha MPPUKM dan juga pelajar yang boleh duduk semeja berbincang dan bertukar pandangan walaupun bukan dari kumpulan yang sama.

Politik masa depan ialah politik moral berasaskan ilmu. Politik murahan seperti fitnah dan pekikan pasti akan tetap berterusan kerana pasti akan ada ahli politik yang tidak mampu mendepani politik moral berasaskan ilmu akan terus mengamalkannya. Cuma pengundi akan nampak ketidakmampuan minda ahli politik 'murahan' sebegini dengan cepat.

MPPUKM harus bersedia dengan semua ini. mereka harus punyai sahsiah yang baik dan unggul, komitmen kerja yang tinggi dan ilmu pengetahuan yang dapat mendepani masa.

Semoga semua MPPUKM tahu pengundi yang memenangkan mereka mengharapkan ketiga tiga perkara ini dipenuhi..teruslah bekerja demi kebajikan pelajar UKM...mereka pasti menghargai usaha murni anda semua..para MPPUKM.