14 March, 2013

Sisi Baru Transformasi Pembangunan Pelajar di UKM?

Bila berada di UKM, sebagai pelajar anda selalu mendengar tentang pembangunan pelajar. Malah antara universiti utama yang menerajui pembangunan pelajar di negara ini, UKM telah memulakan program LC pembangunan pelajar berjumlah 8 kredit. Universiti lain semuanya adalah antara 2-6 kredit sahaja. Mengapa persoalan pembangunan pelajar ini penting. Apakah dulu di era 1970an ketika UKM mula di buka soal pembangunan pelajar tidak penting? Apa pula yang berlaku pada era 1980an dan 1990an tentang pembangunan pelajar. Apakah tidak ada program pembangunan pelajar. Mengapa sekarang UKM bersedia memberikan kredit akademik sehingga 8 unit untuk pembangunan pelajar dan mesti dilengkapkan oleh para pelajar?

Sebenarnya telah banyak kajian yang dilakukan berkaitan pembangunan pelajar. Saya tidak berhajat menghuraikannya satu persatu. Cukuplah sebagai satu kesimpulan untuk saya katakan semakin hari, persoalan pembangunan pelajar menjadi semakin penting. Semakin hari, penekanan membangunkan diri pelajar menjadi urusan teras sesebuah universiti. Bukan lagi hanya sekadar soal pembangunan akademik sahaja.

Pembangunan pelajar dari perspektif yang terhad merujuk kepada pembangunan kemahiran insaniah (soft skills). Misalnya membangunkan kemahiran berkomunikasi, kemahiran membuat keputusan, kemahiran kerja berkumpulan, kemahiran mencari maklumat, kemahiran keusahawanan, kemahiran berfikir secara inovatif dan kreatif. Ada sesetengah universiti memasukkan kemahiran bahasa (lisan dan tulisan), kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran melakukan penyelidikan, kemahiran kepimpinan, kemahiran pengurusan diri dan sebagainya sebagai kemahiran insaniah.

Pembangunan pelajar juga boleh membawa maksud pembangunan profesionalisme dan pembangunan personal. Ada universiti yang mengasingkan kedua-duanya dan berkecenderungan memberikan maksud dan penekanan kepada hanya pembangunan profesionalisme sebagai maksud pembangunan pelajar.

UKM juga cenderung menggunakan prinsip yang sama dalam membangunkan pelajar. Maka disenaraikan 8 teras kemahiran insaniah untuk pelajar penuhi semasa menjalankan aktiviti atau program. Diharapkan melalui kaedah ini, semua kemahiran yang ditetapkan akan dikuasai oleh para pelajar UKM sebelum tamat pengajian mereka.

Saya lebih cenderung untuk melihat pembangunan pelajar dalam ruang makna yang lebih besar dan menyeluruh. Maka saya lebih bersetuju dengan penghayatan Falsafah Pendidikan Negara yang menetapkan perlunya diwujudkan keseimbangan dalam membangunkan pelajar dari segi tinggi kerohanian (agama dan moral), kuat jasmani (sihat tubuh badan), kukuh emosi (tinggi self-esteem dan tahan dayasaing), bijak intelektual (berilmu dalam bidang pengajian dan bukan bidang pengajian, tahu antara baik dan buruk, betul dan salah, berupaya mengaplikasikan maklumat) dan mahir sosial (memiliki kemahiran interpersonal dan intrapersonal, menguasai bahasa Melayu dan bahasa Inggersi/Arab dengan baik, memiliki kemahiran komunikasi dalam konteks, sopan dan beradab, mahir dalam acara rasmi dan beretika dalam majlis).

Mengapa saya melihat pembangunan pelajar harus lebih menyeluruh dari sekadar kemahiran insaniah (softskills)? Saya nyatakan sebab utamanya;

Selama ini usaha pembangunan pelajar di IPT adalah untuk menjawab persoalan kebolehpasaran (employability). Maksudnya universti akan dedahkan pelajar kepada program pembangunan diri supaya mereka dapat memenuhi kehendak majikan. Diharapkan dengan cara ini, graduan IPT akan lebih berdaya saing, memiliki kompentensi diri yang tinggi serta mahir. Maka mereka lebih mudah mendapat pekerjaan. Bagaimana pun kajian kajian mutakhir menunjukkan bukan kemahiran insaniah (softskills) sahaja yang ditagih oleh majikan tetapi yang lebih diinginkan ialah BAKAT dan INOVASI. Untuk menzahirkan bakat, seseorang pelajar tidak cukup dengan hanya menguasai kemahiran insaniah (soft skills) semata-mata.

Rujuklah beberapa buku misalnya oleh Profesor Bernie Trilling (2009), 21st Century Skills: Learning For Life in Our Times, terbitan Jossey Bass, yang menegaskan bakat dan inovasi akan menjadi teras kepada mengapa seseorang graduan masa kini akan diambil bekerja. Begitu juga buku oleh Prof Alan Guarino (2010), "Smart is Not Enough", terbitan Wiley Press, yang turut mengutamakan soal bakat dan inovasi. Kata beliau " The past is gone, the future is now and the talent age is upon us". Tambah beliau abad 21 akan menyaksikan bahawa bakat akan menjadi modal yang paling utama, bukan lagi teknologi canggih  dan juga modal kewangan. Sebuah lagi buku yang membawa pandangan yang sama ditulis oleh Prof William Schiemann (2012) bertajuk  "Reinventing Talent Management: How to Maximize Performance in the New Marketplace", yang juga diterbitkan oleh Wiley Press. Kajian beliau menunjukan di kala syarikat syarikat biasa mengalami kemerosotan untung akibat keadaan ekonomi yang merudum, sesetengah syarikat yang mementingkan soal pembangunan bakat dan inovasi kekal bersaing dan membuat keuntungan. Ringkasnya pembangunan pelajar hasrus menerima hakikat bahawa pemupukan dan penjanaan bakat dan inovasi pelajar akan menjadi sesuatu yang sangat kritikal dan perlu diuruskan berbading sekadar kemahiran insaniah (softskills).

Oleh itu dalam kita di UKM berfikir untuk melakukan tranformasi pembangunan pelajar, kita harus membuat pertimbangan yang memberikan keseimbangan kepada pembangunan tersebut. Ini harus menjadi kerangka utama pembangunan pelajar yang dipersetujui oleh semua pelaku (actor) dalam kampus. Dari pelajar, pensyarah, pegawai universiti dan sebagainya. Setiap usaha yang ingin dilakukan dalam konteks pembangunan pelajar harus memiliki kesimbangan yang mendalam sifatnya.

Ambil satu contoh, misalnya pembangunan pelajar dalam soal celik politik (political literacy). Political literacy harus diasaskan kepada kerohanian (politik nilai yang bermoral tinggi), juga kepada kebijakan intelektual (academic freedom), berhujah dengan bukti dan kajian, banyak membaca dan berbincang, serta menggunakan politik hujah dalam menyelesaikan pertikaian.  Begitu juga dengan penguasaan emosi yang tinggi (pelajar belajar tentang adab, sabar, tiada amarah) dalam menjalankan kegiatan berpolitik mereka. Provokasi dengan niat menyakiti hati lawan politik misalnya boleh dianggap sesuatu yang tidak mementingkan emosi. begitu juga dengan kemahiran sosial dalam berpolitik (bijak dengan seni mempengaruhi yang sihat, bijak berkomunikasi, berhujah, berdialog atau berceramah).

Pendekatan yang sama juga dengan program keusahawanan. Perlu ada elemen jasmani, rohani, emosi dan sosial yang seimbang dibangunkan dalam aktiviti keusahawanan tersebut. Tentu sahaja elemen moral juga penting dalam program keusahawanan, sukan (e.g mengikut peraturan permainan), kesenian dan sebagainya dan bakat serta inovasi disepadukan dalam program ini.

Oleh itu, pembangunan pelajar tidak boleh sekadar membangunkan kemahiran insaniah sahaja. Pembangunan pelajar sangat besar ruang lingkupnya. Menyediakan pelajar untuk kebolehpasaran dengan hanya melihat aspek-aspek kemahiran insaniah yang sempit akan menyebabkan graduan UKM tidak mampu menghadapi daya saing yang mencabar di luar sana. Kemahiran insaniah sahaja tidak memungkinkan pelajar UKM menguasai  soal intergriti, kualiti, academic freedom, pengurusan bakat, pembangunan jati diri, pemilikan patriotisme, peneraju kepada pembentukan masyarakat sivil dan sebagainya.

Maka transformasi pembangunan pelajar yang lebih menyeluruh sememangnya sangat diperlukan oleh kita di UKM. Jika ini dapat dilakukan, sekurang kurangnya kita sudah berjaya melebarkan makna pembangunan pelajar kepada sesuatu yang lebih luwes dan menyeluruh. Bukan lagi hanya sekadar bermaksud kemahiran insaniah (softskills) semata mata. Kita perlukan pembangunan pelajar yang benar benar membangunkan diri pelajar, sebagai sumber tenaga mahir, ahli masyarakat yang berkualiti dan juga sebagai insan yang kamil...