31 March, 2013

Membina Pelajar UKM Menjadi Mahasiswa Usahawan...


Artikel ini pada mulanya saya tulis sekembalinya saya dari kota London selepas menghadiri program di University Oxford, dan kemudiannya tulisan ini telah disiarkan di Utusan Malaysia beberapa hari selepas diberikan amanah memimpin Bahagian Akademik Kolej di Pusat Perkembangan Pelajar (PPP-UKM) pada 2009. Saya kemudiannya di jemput oleh KPT untuk beberapa sesi meja bulat bersama ahli ahli akademik yang lain dalam membincangkan perancangan pembangunan Usahawan di IPTA. Akhirnya, teras keusahawanan diterima menjadi teras utama kepada pembangunan pelajar di IPTA. Di UKM kita beruntung kerana pelaksanaan ko-kurikulum berasaskan Kontrak Pembelajaran memberikan peluang seluasnya untuk pelajar memilih apa aktiviti yang ingin mereka sertai bagi membangunkan softskills masing masing. Saya siarkan kembali tulisan ini di Blog Ilmu Mutu dan Budi untuk pelajar UKM meneliti dan membahaskan apakah kita sudah terkehadapan dalam menjayakan budaya keusahawanan pelajar di UKM...

  1. Beberapa bulan lalu ketika saya berada di kota London, media massa negara tersebut melaporkan Universiti College London (UCL) telah dinobatkan sebagai universiti yang paling tinggi kadar kebolehpasaran pelajar di United Kingdom. Kadar mula bekerja pelajar UCL selepas enam bulan pertama menamatkan pengajian ialah 94 peratus di ikuti dengan Universiti Oxford (92 peratus) dan Universiti Cambridge (91 peratus). Berbanding dengan negara kita, berdasarkan kajian pengesanan graduan IPTA, keempat-empat universiti terbaik negara yang diberikan status universiti penyelidikan mempunyai kadar kebolehpasaran antara 45 hingga 60 peratus sahaja.
  2. Menariknya, di media British juga pada hari yang sama melaporkan kerisauan dan komen oleh CEO British Telecom dan Pengerusi Tesco berkaitan sistem pendidikan tinggi England yang gagal melahirkan lebih ramai usahawan muda di kalangan pelajar universiti. Antara yang disentuh dua tokoh ini ialah perlunya konsep keusahawanan diberikan penekanan di dalam sistem pendidikan tinggi agar pelajar pusat pengajian tinggi bersedia untuk memulakan kerjaya sebagai usahawan selari dengan keperluan pasaran dan perancangan negara.
  3. Ironi juga bila sebuah negara maju yang memiliki antara universiti terbaik di dunia nampaknya majikan masih tidak berpuas hati dengan tahap kualiti pendidikan tinggi mereka. Semangat daya saing yang tinggi jelas tergambar melalui komen dua tokoh perniagaan tersebut.
  4. Laporan Tahunan Kesatuan Eropah (EU) untuk tahun 2009 menunjukkan United Kingdom berada di kedudukan ke lapan dan terakhir dari segi kualiti hidup di kalangan negara di Eropah. Oleh kerana pendidikan tinggi adalah asas kepada peningkatan kualiti hidup tidak sukar untuk difahami mengapa isu ini diketengahkan oleh media negara tersebut. Kualiti hidup di Perancis dan Sepanyol berada di tempat pertama dan kedua terbaik di kalangan negara di Eropah.
  5. Kita perlu melihat situasi ini sebagai isyarat untuk IPTA di Malaysia segera bertungkus-lumus meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara. Malaysia sebagai antara negara yang paling berjaya di kalangan negara membangun sedang berhadapan dengan persaingan yang sengit khususnya daripada Singapura, Vietnam dan negara- negara Arab di timur tengah. Tidak terkecuali oleh negara China dan negara-negara Bekas Kesatuan Soviet yang semakin berjaya membuka pasaran mereka.
  6. Pembukaan pasaran bermaksud persaingan akan menjadi lebih hebat. Kehendak dan keperluan majikan terhadap sektor pekerjaan menjadi semakin sengit. Jika mengeluarkan barangan, tuntutan kualiti pengeluaran serta penguasaan teknologi menjadi semakin tinggi. Pasaran baru ini akan membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada para graduan negara ini.
  7. Malangnya tahap pengangguran mahasiswa di negara ini masih tinggi. Setakat ini tiada laporan rasmi dikeluarkan oleh pihak kerajaan berkaitan kadar sebenar pengangguran mahasiswa. Laporan media sekadar menganggarkan sekitar lebih lima puluh ribu mahasiswa masih menganggur selepas tamat pengajian mereka. Makna pengangguran juga tidak jelas dan lebih menjurus kepada kumpulan mahasiswa yang tiadanya pekerjaan yang tetap. Maknanya graduan yang bekerja sementara, bekerja secara kontrak atau sekadar menerima upah harian masih dikelompokkan sebagai telah bekerja dan bukan menganggur. Malah graduan yang bekerja di bawah kelayakan ijazah, seperti bekerja operator pengeluaran di kilang atau kerani pejabat juga dianggap telah memiliki pekerjaan. Maka jika ini semua disemak semula tentu jumlah graduan yang tiada pekerjaan yang sempurna dan mengikut kelayakan akademik tentunya jauh lebih besar lagi.
  8. Mungkin ini bukan masalah pihak universiti apabila telah pun melengkapkan tanggungjawabnya apabila seseorang mahasiswa menamatkan pengajian mereka. Tinggal lagi apabila mahasiswa keluaran IPTA gagal mempunyai pekerjaan tetap, pihak universiti perlu juga melihat secara serius program pengajian yang sedang ditawarkan. Seolah-olah ilmu yang diperoleh sepanjang pengajian seperti gagal dimanfaatkan oleh mahasiswa untuk memasuki alam pekerjaan. Sama ada ilmu pengajian itu sendiri yang tiada nilai untuk kerjaya atau mahasiswa itu sendiri yang dihasilkan tidak cukup kompetitif, kita masih boleh sahaja mendebatkan nya.
  9. Apa yang pasti dan perlu segera dilaksanakan oleh pihak universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi ialah bertindak membuka ruang yang lebih kepada mahasiswa. Satu ketika dulu, Kementerian Pengajian Tinggi begitu bersungguh mewar warkan program kemahiran insaniah, kompetensi generik atau nama lain yang lebih sinonim ialah soft skills. Malangnya usaha ini nampaknya kurang menyerlah di IPTA tempatan.
  10. UKM nampaknya terkehadapan di dalam melonjakkan softskills pelajar bila mentransformasikan ko-kurikulum dengan mensyaratkan pelajar melengkapkan ko-kurikulum melalui penganjuran projek dan bukan lagi secara kuliah dan peperiksaan semata-mata. Tujuan soft skills ini diterapkan kepada pelajar agar nilai kebolehpasaran atau kebolehdapatan pekerjaan menjadi lebih tinggi. Malangnya terdapat beberapa universiti yang belum lagi mengerakkan soft skills di dalam hasil pembelajaran kegiatan pelajar sama ada di dalam program pengajian ataupun kegiatan ko-kurikulum pelajar.
  11. Oleh itu, sebagai alternatifnya, pihak KPT perlu menilai semula dan mula menggerakkan secara serius dan besar-besaran kemahiran dan  pendidikan keusahawanan di pusat pengajian tinggi. Kalau kita bertanya kepada pelajar IPTA apa yang mereka faham tentang konsep dan idea keusahawanan, rata- rata akan memberikan jawapan yang agak ketinggalan. Mereka memahami keusahawanan sebagai aktiviti menjalankan perniagaan. Maka tidak hairanlah apabila persatuan pelajar menjalankan perniagaan secara kecilan untuk memenuhi maksud dan tujuan keusahawanan tersebut.
  12. Mereka biasanya menjalankan perniagaan seperti menjadi agen perkhidmatan tambah nilai prabayar telefon bimbit, penjualan cenderahati, menjalankan program motivasi di sekolah, berniaga semasa hari keluarga kolej kediaman atau semasa pesta konvokesyen universiti. Jika yang lebih berminat untuk berniaga, ada yang menjadi orang tengah untuk membuat t-shirt program untuk rakan-rakan kampus. Itulah  sifat atau bentuk keusahawanan yang ada di IPTA sekarang. Semua pelajar nampaknya memahami itulah aktiviti keusahawanan. Pada mereka ilmu keusahawanan adalah perniagaan jual beli barang atau perkhidmatan. Tidak lebih daripada itu.
  13. Sebenarnya pelajar (juga pegawai Hal Ehwal Pelajar dan para pensyarah) perlu memahami konsep keusahawanan yang jauh lebih besar daripada itu, lebih sekadar jual beli barangan sahaja. Jika kita meneliti lebih mendalam konsep  ilmu keusahawanan di IPT, sepatutnya bermula dengan gabungan dua komponen utama iaitu kandungan pengajian dan kemahiran keusahawanan.
  14. Sebagai contoh seorang pelajar yang belajar di dalam jurusan sejarah di universiti seharusnya mempunyai kandungan (pengajian sejarah) dan juga kemahiran keusahawanan untuk mencipta pasaran berkaitan bidang pengajiannya. Penulis masih ingat kata-kata Mary Anne, (21 tahun) seorang siswi tahun dua pengajian Seni di Universiti College London semasa kami berbual semasa lawatan penulis di sana. Antara komen beliau ‘saya rasa sudah tidak masuk akal lagi untuk pihak universiti hanya menawarkan kursus pengajian tetapi tidak pula memberikan kemahiran kepada kami bagaimana untuk ‘menjual’ kepakaran kami selepas tamat pengajian”. Saya setuju dengan pandangan beliau terutamanya di dalam suasana pasaran kerja sekarang yang agak perlahan.
  15. Universiti seharusnya perlu menggabungkan kandungan pengajian dengan kemahiran keusahawanan pada semua pelajar secara bersepadu. Bayangkan, alangkah baik jika seorang pelajar yang belajar berkaitan seni seperti teater, tarian atau muzik akhirnya akan menjadi usahawan seni. Mereka berupaya membuka galeri seni dan juga kelas seni secara tetap. Begitu juga dengan seorang pelajar di dalam bidang geografi atau geologi, akhirnya boleh menjadi usahawan pelancongan, menjalankan perkhidmatan berkaitan alam sekitaran dan sebagainya. Sepatutnya semua kursus bukan kritikal (seperti perubatan) yang ditawarkan di IPTA perlu mempunyai komponen kemahiran keusahawanan sekurang-kurang satu pertiga daripada keseluruhan silibus kursus pengajian tersebut.
  16. Amalan sekarang ialah pihak pengurusan IPTA menerapkan kemahiran keusahawanan secara ad hocatau atas pilihan pelajar. Pelajar akan mendaftar untuk menjadi ahli kepada kelab- kelab usahawan di bawah HEP sama ada yang dibiayai oleh pihak universiti atau oleh pihak kementerian dan pihak korporat.Maka ada beberapa program seperti  Techno- Entrepreneur, Program Prosper dan Usahawan Muda yang dijalankan di beberapa buah IPTA. Program ini sifatnya tidak menyeluruh, biasanya dimonopoli oleh kumpulan pelajar yang mengkhusus di dalam pengajian ekonomi dan pengurusan perniagaan. Bagaimana pula dengan nasib pelajar di aliran sains sosial, pengajian Islam dan sains tulen. Mereka inilah yang sebenarnya lebih memerlukan kemahiran usahawan berbanding dengan kumpulan pelajar yang pertama tadi.
  17. Kemahiran asas keusahawanan yang ingin dibangunkan kepada mahasiswa perlu memenuhi konsep 3C iaitu Competitiveness, Creativity dan Communication. Semasa berada di Universiti Oxford, penulis perhatikan pelajar akan memperoleh kemahiran ini bukan melalui program ko-kurikulum tetapi di dalam kursus pengajian mereka.
  18. Melalui konsep tutorial perorangan secara mingguan (ini adalah keistimewaan Universiti Oxford dan Universiti Cambridge kerana masih mengekalkan amalan tutorial seorang pensyarah dengan seorang pelajar) pelajar di didik tentang budaya Competitiveness, Creativity dan Communication ini. Di sana idea tentang keusahawanan bukan berkaitan hanya ilmu jual beli barangan sahaja tetapi yang jauh lebih penting ialah membina budaya 3C ini sejak tahun pertama hinggalah tamat pengajian bersepadu di dalam kursus .
  19. Sudah sampai masanya kurikulum kursus bukan kritikal IPTA disepadukan dengan ilmu keusahawanan. Pengajaran dan pembelajaran di dalam dewan kuliah juga perlu memasukkan komponen perkembangan serta isu semasa berkaitan pasaran yang berkaitan bidang pengajian. Ilmu yang diperoleh di dalam dewan kuliah tidak lagi boleh bersifat statik dan diulang-ulang pada setiap sesi pengajian.
  20. Ilmu untuk pelajar tidak lagi boleh bersifat ‘bebas nilai terhadap pasaran’ kerana pelajar perlu membawa ilmu itu di dalam pasaran dan masyarakat di luar menara gading. Modul pelaksanaan penyepaduan kurikulum antara ilmu pengajian dan ilmu keusahawanan perlu dibina oleh KPT untuk membantu para pensyarah dan pegawai di IPTA.
  21. Semakin lama kita membiarkan ilmu pengajian di dalam kerangka lama, maka akan semakin ramai pelajar keluaran universiti tiada kemahiran keusahawanan dan isu pengangguran akan semakin berlanjutan. Amat malang jika seorang yang tamat pengajian dengan jayanya tetapi tidak mahir bagaimana untuk menggunakan ilmu yang dipelajari untuk menjayakan kerjaya dan kehidupan mereka.
  22. Semoga jangan kita ketinggalan untuk terus bersaing ketika mana semua universiti terbaik di dunia sedang bergerak pantas untuk meningkatkan kadar keusahawanan dan kebolehpasaran graduan mereka. Kita perlu lakukan sesuatu sekarang atau masyarakat akan mula hilang kepercayaan tentang kuasa pendidikan tinggi awam untuk menjayakan kehidupan anak-anak mereka.