15 January, 2012

Siri 2: 10 Isu Yang Harus Dijawab Oleh MPP-GMUKM dan MPP-ASPIRASI Sebelum PRK UKM 2012

Isu (3) yang harus dijawab oleh MPP-GMUKM dan MPP-Aspirasi pada semua pelajar UKM ialah apakah projek atau aktiviti yang besar, sangat berjaya dan paling memberikan impak kepada kebajikan semua pelajar UKM telah dicapai oleh MPP-GMUKM dan MPP-Aspirasi.

Isu ini penting dan perlu dijawab kerana untuk menjayakan pemilihan kampus sehingga terlantiknya MPP PMUKM, pihak pengurusan UKM telah membelanjakan puluhan ribu ringgit wang universiti. Jika tiada apa pun yang telah MPP PMUKM sumbangkan secara siknifikan kepada kebajikan pelajar UKM, maka itu satu kerugian pada semua pelajar UKM. Adalah lebih baik jika wang sebegitu banyak diberikan kepada pelajar UKM yang miskin dan sangat memerlukan bantuan. Ratusan pelajar akan dapat dibantu dengan menggunakan wang pengurusan pemilihan MPP PMUKM.

Kos yang besar ini terpaksa dikeluarkan meliputi cetakan kertas undi, kos kursus calon, kos bayaran untuk petugas, kos logistik dan sebagainya. Ini semua adalah peruntukan yang berkaitan dengan pelajar UKM. Demi memberikan pendidikan berkaitan demokrasi dan melatih kepimpinan untuk pelajar, maka peruntukan ini disediakan oleh UKM.

Justeru itu seluruh pelajar berhak bertanya apakah sumbangan MPP PMUKM kepada kebajikan mereka yang paling siknifikan dan besar. Tentulah bukan sekadar kejayaan memohon pemasangan 'vending machine' yang boleh dilakukan oleh persatuan pelajar yang tinggal di asrama penuh. Atau sekadar bergambar beramai ramai di depan JPP, Syabas atau meninjau ninjau ibarat "lawatan sambil belajar" ke loji rawatan air Syabas dan Abbas!

Sebagai perbandingan (sebenarnya tidak adil tetapi untuk renungan semata mata kerana JAKSA jauh lebih kecil daripada PMUKM), apabila Jaksa Kolej Antarabangsa Ibu Zain dilantik tiada kos besar yang ditanggung. Sekadar jamuan mee goreng semasa proses menerima watikah perlantikan. Bilangan mereka hanya 14 orang sahaja berbanding 33 orang dalam PMUKM. Mereka ibarat persatuan yang sangat kecil berbanding PMUKM yang besar. Tetapi mereka jauh lebih terkehadapan di dalam menganjurkan program dan aktiviti berimpak kepada pelajar berbanding PMUKM.

Jaksa Ibu Zain menerajui usaha menyokong program HIMPUN sebagai tanda menentang gejala murtad. Malah pertama kali dalam sejarah kepimpinan pelajar di UKM, JAKSA Ibu Zain berjaya menyatukan ISIUKM, ASPIRASI dan PMUKM. Saya  fikir MPP-PMUKM tidak mempunyai kemampuan untuk memulakan penyatuan sebegini.

Jaksa Ibu Zain hanya diberikan peruntukan aktiviti sebanyak RM 12,000 sahaja untuk menjayakan hampir 30 aktiviti sepanjang sesi ini. Bagaimanapun mereka berjaya meraih lebih 100 ribu ringgit daripada sumbangan syarikat korporat dan kementerian untuk menjayakan projek mereka di Ibu Zain. Atas usaha mereka sendiri sepenuhnya! PMUKM mendapat peruntukan puluhan ribu ringgit daripada bendahari UKM, soalnya berapa pula yang berjaya MPP PMUKM kumpul hasil tajaan luar dari syarikat korporat dan kementerian!

Soal kerjaya adalah soal utama kebajikan pelajar UKM. Jaksa Ibu Zain akan anjurkan bersama tajaan syarikat multi nasional dan Job Streets program UKM CAREER EXPO pada bulan Mei 2012. Jaksa Ibu Zain ambil iniasiatif ini selepas tiada pihak (sepatutnya PMUKM) yang ingin membantu pelajar tahun akhir UKM dalam mencari peluang pekerjaan sebelum bergraduan.

Begitu juga dengan program kebudayaan bercirikan kebangsaan. FESTKIB akan diadakan dengan menjemput belasan IPTA, IPTS dan puluhan buah sekolah ke UKM bagi festival kebudayaan kebangsaan. Apa yang PMUKM sesi ini lakukan untuk memartabatkan budaya murni kebangsaan?

Begitu juga dengan program Hak Asasi Manusia (HAM ) pada bulan April 2012, memperjuangkan hak masyarakat antarabangsa yang tertindas. Apa yang PMUKM lakukan untuk memberikan pendidikan kepada pelajar UKM berkaitan isu isu antarabangsa?

Malah dalam hal yang kritikal seperti gangguan monyet juga JAKSA Ibu Zain berjaya kurangkan masalahnya dengan usaha bersepadu, penjadualan sisa makanan, kempen dan amalan kelestarian. Apa pula yang PMUKM lakukan sedangkan ianya isu kebajikan pelajar UKM seluruhnya. Aduan semata mata tak akan ke mana sedangkan banyak yang boleh dilakukan oleh PMUKM untuk membantu pelajar menangani isu gangguan monyet di UKM.

Begitu juga dengan isu kelestarian alam yang dijadikan agenda utama atau niche Jaksa Ibu Zain. Sehinggakan jika membincangkan isu kelestarian alam hasil sumbangan pelajar, pasti akan dijuruskan kepada usaha pelajar di Ibu Zain. Apa pula tema atau niche PMUKM sesi ini tentang alam sekitar ciptaan Allah swt?

Maka jika PMUKM yang begitu besar organisasinya dan luas bidang kuasanya berbanding Jaksa tidak boleh dikaitkan dengan apa apa pun yang penting sebagai satu badan induk pelajar, seluruh pelajar tentunya berhak bertanya berbaloikah wang mereka yang diperuntukan untuk kebajikan mereka digunakan untuk memilih MPP PMUKM. Oleh itu MPP PMUKM harus menjawab isu ini sebagai memberikan pencerahan pada seluruh pelajar UKM.

* Mungkin satu satunya yang akan disebut berkali kali selepas ini oleh MPP PMUKM sebagai program yang sangat berjaya ialah program bertajuk' Kiamat 2012'.