07 January, 2012

Krisis Air, Semangat Air Dan Kisah Menangguk di Air Yang Keruh Dalam Kampus UKM

Sejak lima hari yang lalu, UKM mengalami krisis air yang cukup meruncing. Seingat saya ini antara krisis yang terburuk pernah warga UKM lalui sejak lima tahun yang lalu.Lebih lebih lagi warga di lingkungan pertama UKM.

Kolej Keris Mas antara yang paling awal mengalami masalah ini diikuti dengan Kolej Ungku Omar, Aminudin Baki, bangunan Canselori dan Masjid UKM. Fakulti juga turut terbabit tetapi kebetulan minggu peperiksaan baru bermula, pelajar kurang tertumpu di fakulti tetapi lebih banyak di kolej dan PTSL.

Kumpulan terakhir yang merasai masalah air ialah Kolej Ibrahim Yaakub dan Kolej Antarabangsa Ibu Zain. Kedua dua kolej ini mempunyai tangki air sendiri yang agak besar dan mampu menampung kuantiti air yang lebih banyak. Itupun ketiadaan air di kedua dua kolej ini selama dua hari terakhir sudah cukup menyiksakan.

Sehingga hari ini, persoalan mengapa tiada air masih menjadi tandatanya. Secara rasmi kenyataan Syabas merujuk kepada penurunan paras air yang drastik di empangan Semenyih menyebabkan beberapa kawasan menghadapi masalah bekalan air.

PMUKM ada versi lain, isu air ini pada mereka lebih sensasi dengan menggunakan istilah "pembongkaran". Kononnya ada konflik antara Syabas dan Abbas, dua syarikat pengurusan air di Selangor. PMUKM nampaknya bijak mengambil peluang untuk mensensasikan masalah air. Di saat tiada apa yang konkrit dilakukan oleh PMUKM di dalam membantu pihak pengurusan UKM atau membantu menenangkan pelajar, PMUKM nampaknya lebih berminat dengan 'politik air' antara Syabas dan Abbas Sdn Bhd!

Krisis air yang melanda UKM memang merumitkan. Semuanya terasa. Pelajar, pensyarah, pengurusan UKM, turut lebih terasa ialah pengetua yang tinggal dalam kampus. Bayangkan baju anak anak yang bersekolah bertimbun tidak berbasuh, dapur yang kontang air dengan bersusun pinggan yang tidak dapat dibasuh. Felo juga tidak ketinggalan. Krisis ini kita semua tidak jangkakan. Perubahan cuaca dan ketiadaan hujan menambahkan lagi masalah ini. Apa pun kita bersyukur nikmat air yang dianugerahkan oleh Allah datang kembali hari ini (Sabtu).

Apakah yang boleh kita pelajari dan insafi dari krisis air UKM ini?

1. Jika krisis air ini boleh kita anggap sebagai salah satu program pelajar atau kempen penjimatan air, ia memang telah memberikan impak kepada kita betapa pentingnya air dalam kehidupan kita. Jika selepas ini kita masih terus menerus membazir air kerana ketidakpedulian kita, jangan lagi kita terus menerus anjurkan kempen kempen penjimatan air yang lain. Inilah kempen paling hebat dan sangat mendalam kesannya untuk menginsafkan kita betapa pentingnya air. Seharusnya kita sangat insaf selepas berakhirnya 'kempen' ini, jangan sekali kali kita redha bila melihat pembaziran air berlaku, di mana mana juga.

2. Krisis air di UKM membuktikan betapa tingginya semangat kita satu keluarga antara pelajar UKM dan pihak pengurusan UKM. Kita saling bertukar maklumat, saling menasihati antara satu sama lain, saling mengajak kawan kawan mengucapkan syukur dan meningkatkan rasa sabar. Pihak pengurusan UKM khususnya TNC HEPA bertungkus lumus membantu sedaya upaya memastikan masalah ini segera di atasi, Begitu juga dengan pihak JPP UKM. Tidak terkecuali pihak SYABAS sendiri. Doa dan usaha semua pihak telah memudahkan banyak perkara. Lebih lebih lagi ketika minggu peperiksaan sedang berjalan.

3. Krisis ini juga memperlihatkan sikap sesetengah pimpinan pelajar yang langsung tidak berminat untuk bersama dalam membantu pihak pengurusan UKM demi kebajikan pelajar UKM. Malah dicarinya masalah dengan melaga lagakan pihak Syabas dan Abbas Sdn Bhd. Kita mungkin tak tahu apa sebenarnya masalah dalaman syarikat syarikat ini. Janganlah ada antara kita cuba menambahkan lagi 'panas' keadaan semata mata ingin mendapat keuntungan atas kesulitan ini. Sebagai badan perniagaan mereka pastinya tak akan berkonflik kalau itu boleh merugikan mereka. Seharusnya sebagai badan tertinggi persatuan pelajar di UKM, duduklah bersama dengan pihak pengurusan UKM, berfikir dan berbincang bagaimana untuk membantu sedikit sebanyak. Misalnya menjadi pusat penyampai maklumat jadual lori air ke kolej kediaman atau berbincang bagaimana untuk dapatkan air mineral atau osmosis dengan harga yang murah dari syarikat air untuk kebajikan pelajar. Atau jika berkebolehan tentunya berupaya mendapatkan sumbangan air mineral dari syarikat besar sebagai sebahagian program CSR syarikat.

Tentulah pelik bila di saat semua pelajar sibuk dengan peperiksaan, mereka masih ada masa ke SYABAS DAN ABBAS, tetapi langsung tidak ada masa walaupun sekejap untuk bertemu dengan TNC HEPA untuk menghulurkan kerjasama dan bantuan atas nama badan induk pelajar UKM. Atau ini maksudnya kepada perumpamaan 'menangguk di air yang keruh" seperti yang selalu kita dengari dari mulut orang tua tua.

Krisis air di UKM yang tak dijangka sememangnya mengecewakan kita semua tetapi memikirkan sikap segelintir pimpinan pelajar di UKM kadang kala lebih mengecewakan kebanyakkan orang di UKM.