21 January, 2012

Siapa Tahu Bila Pilihanraya Kampus UKM 2012?

Sedang saya berjalan ke kereta selepas selesai solat jumaat kelmarin, saya disapa oleh bekas pelajar UKM. Secara tertibnya kita sebut sebagai alumni UKM. Beliau masih tidak bekerja tetap sebaliknya menjadi guru sementara mengajar Al Quran di pusat tuisyen Bandar Baru Bangi. Setahu saya sudah dua tahun beliau bergraduan. Walaupun sudah belasan kali mengisi borang jawatan kosong dan ada yang telah dipanggil untuk temuduga, nampaknya rezeki beliau belum ada.

Selepas bertanya khabar dan bertukar beberapa soalan, soalan beliau yang seterusnya agak menarik perhatian saya, "bila piliharaya pelajar UKM tahun ni? Gamaknya beliau masih berminat dengan politik kampus UKM.

Saya rasa sepanjang seminggu yang lalu, sudah beberapa kali saya ditanya soalan yang sama, "bila agaknya piliharaya kampus UKM kali ini? Semuanya saya jawab dalam nada yang sama, "cukup setahun PMUKM yang ada sekarang berakhir, tentu akan ada pilihanraya".Saya tahu jawapan itu mereka juga sudah tahu.Saya juga faham mungkin bukan itu jawapan yang mereka ingin dengar dari saya. Mereka inginkan jawapan yang lebih tepat, bilakah tarikh dan harinya. Mungkin lebih baik kita tunggu sahaja pengumuman rasminya nanti oleh pihak KPT.

Isu pilihanraya kampus ini menarik kepada saya bila kita berada ditengah tengah isu panas pindaan AUKU, isu Adam Adli dan menanti datangnya PRU 13.Tentu sahaja ramai yang meramalkan PRK UKM kali ini akan jadi PRK paling 'panas' pasca PRU 2008.

Tetapi selepas beberapa tahun meneliti isu PRK UKM dan perkembangan tentang piliharaya kampus, saya sudah sampai kepada satu kesimpulan yang agak jelas, sekurang kurangnya pada diri saya sendiri. Pada saya, piliharaya atau nama lainnya Pemilihan MPP semakin tidak relevan kepada mahasiswa terbanyak tetapi menjadi ketagihan kepada segelintir mahasiswa. Apa maksudnya?

Jika kita tinjau, kumpulan yang terlibat dalam piliharaya kampus semakin lama semakin merosot. Bilangan yang turun mengundi juga menunjukkan kemerosotan yang ketara sejak tiga tahun yang lepas di UKM. Dulu sebagai satu proses pendidikan, pelajar diwajibkan turun mengundi. Soal siapa mereka pilih adalah hak mereka. Asalkan mereka turun mengundi. Hari ini kewajiban itu seperti sudah tidak dipraktikkan lagi. Alasannya sebagai seorang pelajar yang sudah cukup dewasa, mereka boleh tentukan apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Akhirnya apa yang berlaku kebanyakan pelajar merasakan PRK sudah tidak relevan lagi, jumlah yang mengambil pandangan ini juga semakin lama semakin bertambah.Buktinya lihat sahaja penurunan peratus turun mengundi. Saya masih ingat dulu peratus turun mengundi mencecah 95% di kalangan pelajar. Sedangkan pada PRK tahun 2011 yang lalu, jumlah turun mengundi hanya sekitar 70% sahaja. Jumlah pasca siswazah lebih buruk lagi. Dari hampir 5 ribu yang berdaftar, kurang dari 200 pengundi (0.5%) sahaja yang turun mengundi! Ini menunjukkan semakin ramai pelajar yang sedar bahawa piliharaya kampus tidak memberikan manafaat lagi pada mereka seluruhnya.

Selepas PRK selesai dan MPP PMUKM mengangkat sumpah jawatan, semakin ramai pelajar yang merasakan keberadaan PMUKM seperti sudah tidak memberikan makna sebagaimana yang diharapkan. Dengan hanya berjaya menganjurkan beberapa projek bersaiz kecil bersifat dalaman, tiada langsung bertaraf antarabangsa atau regional (Asean misalnya), tambahan lagi soal kebajikan pelajar juga sekarang telah diuruskan sepenuhnya oleh pihak universiti melalui jabatan di bawah HEPA dan kolej kediaman selari dengan pelan tranformasi UKM.

Akibatnya PMUKM seolahnya seperti tidak berbaloi diwujudkan.Pelajar boleh terus berurusan dengan pihak jabatan perkhidmatan pelajar atau pihak kolej kediaman di dalam soal kebajikan mereka. Isu krisis air baru baru ini misalnya dikendalikan sepenuhnya oleh TNC HEPA sendiri. isu PTPTN, isu kediaman di kolej, isu prasarana dan isu keselamatan dikendali sepenuhnya oleh pihak UKM. Pelajar juga berpeluang membuat aduan terus pada pihak pengurusan tertinggi UKM termasuk terus kepada Ybhg Tan Sri Naib Canselor sendiri tanpa perlu melalui PMUKM.

Bagaimanapun, pada saya secara dasarnya penubuhan PMUKM adalah sangat penting, yang menjadi isunya ialah soal kepimpinan dan bagaimana pengaruh kepemimpinan PMUKM dapat menarik perhatian pelajar terbanyak di UKM.

Sepatutnya pada setiap tahun tindakan pertama PMUKM bila dilantik ialah mengenalpasti niche atau teras yang ingin mereka laksanakan dalam tempoh pentadbiran mereka. seterusnya merancang aktiviti yang harus sinergi antara satu sama lain. Dari projek sekecil kecilnya hinggalah kepada satu atau dua projek bertaraf antarabangsa.

PMUKM juga boleh mengusahakan jaringan sosial dengan universiti lain khususnya dengan universiti di luar negara. Mungkin ingin kita tanyakan, UKM telah mengadakan MOU dengan lebih 180 buah universiti di seluruh dunia, apakah ada diantaranya diambil peluang oleh pihak PMUKM mengembangkan jaringan sosialnya. Kalaupun tidak berminat dengan universiti di Eropah, China, Korea atau United Kingdom, pihak UKM juga ada MOU dengan beberapa universiti di Jordan, Oman, Arab Saudi dan Indonesia.

Pada saya, soal pemilihan MPP walaupun masih hendak diteruskan tidaklah menjadi soal besar, soal yang lebih meruncing ialah melahirkan seramai mungkin pemimpin pelajar yang hebat dan dapat menunjukkan bahawa UKM sebagai sebuah institusi yang berkemampuan melakukannya.

Bayangkan dalam 22 ribu pelajar UKM, akan pasti ada ratusan yang berbakat sebagai pemimpin. Malangnya sistem pemilihan MPP hanya membenarkan 35 orang sahaja yang dilantik atau dipilih. UKM memerlukan satu sistem pembangunan pemimpin pelajar yang lebih efisyen di dalam melahirkan lebih ramai pemimpin pada masa akan datang. Walaupun kita ada pemimpin pelajar peringkat kolej, fakulti dan persatuan, kebanyakkan mereka lebih bersifat temporal. Mereka tidak berhajat lebih jauh dalam menjadi pemimpin. Saya punyai seorang rakan bekas YDP kolej dulu, kini berniaga di pasar malam. Juga seorang lagi rakan yang menjadi setiausaha persatuan di fakulti, hari ini menjadi surirumah sepenuh masa!

Kita perlukan satu sistemdan mekanisme baru yang lebih baik. Bila sudah dikenalpasti bakat, kumpulan pelajar ini akan dibimbing secara bersungguh sungguh menjadi pemimpin, dikembangkan potensi serta didedahkan kepada pengalaman memimpin di dalam dan luar negara. Tanpa perlu melalui pemilihan MPP!

Maka sistem pemilihan MPP yang ada sekarang sudah tak dapat menjamin bahawa pelajar yang menjadi pemimpin adalah mereka yang sebenarnya di kalangan yang terbaik.UKM perlukan satu sistem lain yang lebih menyeluruh di dalam membangunkan kepimpinan pelajar.

Maka biarpun dilaksanakan pemilihan pelajar secara piliharaya, itu lebih bertujuan menjayakan sistem demokrasi dan melatih pelajar melaksanakan hak dan tanggunjawabnya. Itu soal hak dan suara pelajar. Maka harus diraikan.Di sudut yang lain, UKM juga perlu menimbangkan keperluan mewujudkan mekanisme baru di dalam melahirkan kepimpinan pelajar.

Saya pernah terlibat di dalam mewujudkan Kelab UNESCO DI UKM, dulunya juga pernah terlibat dalam mewujudkan kelab United Nation di UKM. Saya amat sedar bahawa cabaran paling besar ialah mendapatkan pemimpin yang berkarisma bagi menerajui kelab kelab ini. Soalnya mampukan PMUKM mengalaskan tanggungjawab ini? Sedangkan mereka sendiri tidak berupaya menganjurkan satupun projek yang bertaraf antarabangsa pada sesi ini?

Ini cabaran kini dan masa depan di dalam membangunkan pemimpin pelajar. Oleh itu sistem pemilihan MPP yang ada sekarang seperti sudah tidak dapat memberikan kita pemimpin yang kita harapkan. Sistem yang ada hanya mampu memberikan penyelesaian kepada soal mendidik demokrasi, mengundi dan seumpamannya sahaja.Tidak lebih daripada itu.

Oleh itu, pada saya biarlah pemilihan MPP berlangsung atas nama demokrasi, tetapi usaha melahirkan pemimpin pelajar yang berkualiti harus diteruskan dalam bentuk bentuk yang lain. Maka bilakah piliharaya pelajar di UKM nampaknya semakin tidak penting lagi pada saya dan sebahagian besar warga UKM, apa yang lebih penting dan menjadi matlamat utama sekarang, bagaimana untuk melahirkan seberapa banyak pemimpin pelajar yang berkualiti, berjatidiri kebangsaan, bersedia bergandingan dengan pihak pengurusan universiti dan insaf kepimpinan mereka mesti berteraskan kepada memperjuangkan agama Islam yang suci.

Semoga usaha ini akan mencapai matlamatnya. InsyaAllah.