02 January, 2012

Ke mana Akhirnya Pemimpin Pelajar Selepas Aktif Politik Kampus?

Jika kita percaya bahawa politik itu sesuatu yang statik, tekal atau tetap, maka kita tersilap. Jika kita percaya dalam politik itu hanya ada hitam atau putih sahaja maka kita juga akan tersilap. Politik itu sifatnya dinamik, sentiasa berubah, sukar dijangka, dan yang paling penting semuanya yang berlaku dalam politik berkaitan dengan peluang. Peluang untuk menang dan peluang untuk berkuasa. Hal ini tidak hanya pada politik negara, tetapi juga politik kampung, persatuan atau mungkin dalam keluarga!

Maka itu dalam politik negara kita selalu akan lihat amalan lompat parti, amalan mengubah dasar perjuangan dan amalan mengisytiharkan siapakah sekutu dan siapakah seteru yang sentiasa berubah rubah, bergantung kepada peluang untuk mendapat kuasa.

Dalam politik kampung pun sama, ada kelompok dan kroni. Ada penyokong dan musuh. Hatta dalam keluarga pun kadang kala ada juga yang cuba main politik untuk mendapat peluang, peluang kasih sayang dan perhatian.

Maka ternukil dalam sejarah politik negara banyak kisah kisah yang rakyat tidak pernah jangkakan. Di saat ABIM diterajui oleh DSAI yang begitu akrab dengan Allahyarham Datuk Fadzil Noor yang menerajui PAS, akhirnya DSAI bersekutu dengan UMNO, di saat dasar negara Islam tidak menjadi, PAS mengubahnya menjadi negara berkebajikan, di saat wujudnya team A dan Team B dalam Umno pada 1986, rupanya orang yang menentang Tun Mahathir pula yang berjaya menjadi Perdana Menteri selepasnya, di saat DSAI dilihat bakal menjadi PM, akhirnya beliau ditakdirkan menjadi ketua pembangkang di Parlimen. Begitulah juga kisahnya dengan Datuk Nakhaie Ahmad, pada satu ketika menjadi orang kuat PAS, satu masa berpindah pula ke UMNO. Kisah Ibrahim Ali,  Ruslan Kassim dan terbaru gelodak Datuk Dr Hasan Ali dan Ustaz Nasharuddin.

Banyak sekali kisah dinamik politik sebegini lebih lebih lagi pasca PRU 12 Mac 2008. Tak terhitung jumlahnya jika dikumpulkan semuanya yang berlaku dalam UMNO, PAS, MCA, MIC, PBS, Keadilan dan semua parti parti yang ada di Malaysia di peringkat cawangan, cabang, bahagian dan negeri.

Oleh itu, eloklah kita fahami bahawa politik tidak tetap sifatnya. Malah dalam mengejar peluang, prinsip perjuangan juga semakin tidak tetap sifatnya.

Kisah ini ada kaitannya dengan politik kampus di IPTA. Di dalam kampus juga ada kumpulan pelajar yang 'didalangi' oleh pemikiran politik partisan di luar kampus. Adakah ini baik? Saya fikir ada baik dan buruknya. Baik bila pelajar mendapat latihan sebenar tentang konsep organisasi kepimpinan politik dan boleh diaplikasikan oleh pelajar yang berminat untuk terus berpolitik di luar kampus.

Buruknya bila dalang berjaya 'mengambilalih seluruh idealisme perjuangan mahasiswa' dan mengantikannya dengan ideologi politik partisan mereka. Pada saat ini akan kelihatan mahasiswa tidak lebih sekadar 'juak-juak' politik partisan semata mata. Tiada lagi idealisme perjuangan mahasiawa, tiada lagi pemikiran asli pemimpin pelajar dan tiada lagi upaya untuk pimpinan mahasiswa cuba berbeza pandangan dengan politik di luar kampus.

Satu perkara yang menarik sejak dulu yang sering saya lihat telah berlaku dan akan terus berlaku ialah ramai di kalangan pimpinan pelajar yang begitu kuat menentang kerajaan semasa belajar, apabila tamat pengajian akan terus bekerja dengan ahli politik, bukan hanya dengan pihak pembangkang tetapi dengan parti pihak kerajaan. Malah ada di kalangan timbalan menteri, setiausaha politik, ADUN dan exco kerajaan negeri dulunya begitu kuat menentang pihak kerajaan tetapi hari ini menjadi tulang belakang kepada parti kerajaan.

Seperti satu amalan yang berterusan, pimpinan pelajar kampus yang disokong dan dilatih oleh pihak parti pembangkang, di latih supaya kuat menentang parti kerajaan dan bila tamat pengajian sebaliknya akan ditawarkan bekerja dengan ahli politik parti kerajaan. Menarik sekali senario ini, dilatih oleh parti pembangkang tetapi bekerja untuk parti kerajaan!

Manakala pimpinan pelajar di kampus yang kononya pro kerajaan kebanyakannya akan diserapkan ke dalam kumpulan Tadbir dan Diplomatik. Jumlahnya kecil, sebahagian besarnya akan bekerja sebagai kakitangan biasa kerajaan. Ada juga sebahagiannya yang berwibawa akan turut juga ditawarkan menjadi setiausaha atau kakitangan ahli politik kerajaan. Jumlahnya sangat sangat kecil.

Maka itu, seperti satu permainan, politik kampus menjadi medan untuk para pemimpin parti kerajaan mengenalpasti siapakah yang berwibawa untuk ditawarkan bekerja dengan mereka. Tanpa mengira sangat samada dulunya pelajar itu penyokong atau penentang dasar dasar kerajaan.

Dalam permainan ini siapakah yang rugi sebenarnya?  Universiti? pensyarah? atau pelajar terbanyak? Saya fikir pensyarah dan universiti akan meneruskan tanggungjawab mereka tanpa menghiraukan sangat isu ini. Urusan menyediakan modal insan dan perkembangan ilmu melaui penyelidikan lebih menjadi fokus utama.

Yang pasti rugi ialah para pelajar terbanyak. Jika ingin lebih berterus terang, yang pasti benar benar rugi ialah pelajar Melayu sebenarnya. Mengapa? Saya mohon para pembaca menelahnya. Soal reputasi pada mata majikan, soal konsep kepembangkangan dan kaedah yang digunakan apabila membangkang.

Pada pemimpin pelajar, sekalipun mereka yang bertanggungjawab melakukan bangkangan kepada dasar dasar kerajaan, mereka akan tetap ditawarkan bekerja oleh parti kerajaan atau parti pembangkang, tetapi apa pula nasib pelajar pelajar yang lain.

Mungkin akan ada yang berkata, apa kena mengenanya antara budaya membangkang demi politik pelajar dengan soal pelajar mencari pekerjaan. Elok juga pembaca mendapat respon majikan terutamanya tentang apakah ciri ciri utama yang mereka inginkan pada pegawai mereka. Apakah mereka inginkan eksekutif mereka yang sentiasa membangkang apa sahaja jika tidak sesuai dengan mereka atau majikan mahukan seorang pegawai yang kreatif dan bertolak ansur.

Biasanya pemimpin pelajar yang suka membangkang tidak pernah fikirkan hal ini pun. Pada mereka soal reputasi dan soal keboleh pekerjaan tidak ada kena mengena dengan budaya yang mereka bina sebagai pemimpin pelajar. Mereka silap dalam hal ini. Mereka akan berada di IPT tiga atau empat tahun sahaja. Selepas itu semuanya akan keluar untuk meneruskan hidup masing masing. Hanya sebahagian kecil, sangat sangat kecil yang akan terus bermain dengan politik. Kumpulan terbesar graduan akan mula memikirkan untuk membina hidup, berkeluarga dan berjaya. Bukan hanya untuk diri mereka tetapi untuk membangunkan agama dan negara.

Saya tidak pernah berkata sebagai pelajar mereka tidak boleh berbeza pandangan atau berbeza pendapat. Malah dalam membina peluang dan kemajuan, perbezaan pandangan sangat diperlukan. Tetapi perbezaan itu harus diuruskan dengan baik dan tidak menunjukkan ketaksuban, berfikiran sempit dan menolak sesuatu yang tidak selari dengan cara dan amalan kita. Kita harus bersedia berada di tempat orang lain juga sebelum ingin membangkang atau berbeza pendapat.

Beberapa pimpinan pelajar yang saya kenal (termasuk rakan rakan sepengajian saya) yang dulunya menjadi pemimpin pelajar sangat tegar membangkang dasar kerajaan membuta tuli, hari ini telah pun bekerja dan berjawatan tinggi dalam syarikat GLC, tak ada masalah pun!

Memanglah pada mereka tidak bermasalah kerana latihan sebagai pemimpin pelajar meningkatkan kemahiran dan kewibawaan mereka. Saya mohon kita tumpukan pandangan kita kepada kumpulan teramai di IPT, pelajar Melayu siswi dan mempunyai prestasi yang sederhana (akademik dan softskills). Inilah kumpulan yang paling ramai tidak berpeluang mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas graduan. Puncanya selain lemah komunikasi, pencapaian akademik yang sederhana, mereka juga kadangkala dikaitkan dengan imej sebagai datang dari IPT yang mempunyai budaya membangkang secara melampau tapi tidak bersifat konstruktif dan membina.

Rujuk pengesanan graduan KPT dan juga persepsi majikan terhadap graduan untuk mendapat lebih lanjut faktanya. Lihat IPT mana yang paling terkesan dengan masalah kebolehpasaran mahasiswa. Mungkin juga ada yang berkata, soal perjuangan lebih besar dari mencari pekerjaan atau pendapatan. Kata mereka "Ulat dalam batu pun boleh hidup, inikan pula mahasiswa". Oleh itu pasti ramai yang tidak bersetuju dengan pandangan saya, hal ini juga baik kerana kita perlu meraikan perbezaan pandangan...untuk terus maju ke hadapan.