17 January, 2012

Pelajar UKM Jangan Jadi Malas...

Musim peperiksaan semakin sampai ke penghujungnya. Wajah wajah pelajar kembali bersinar selepas hampir dua minggu jiwa 'tertekan'. Nampak begitu lega melepaskan 'batu besar' di atas kepala sepanjang menjawab peperiksaan.Usaha sudah, 'berperang' di dewan peperiksaan pun sudah. Masa yang ada elok digunakan untuk meningkatkan lagi ibadat sunat dan berdoa agar mendapat keputusan yang terbaik dalam peperiksaan.

Saya menulis kali ini sebab tertarik dengan satu email dari pelajar saya. Secara ringkas email beliau berbunyi begini, "salam tuan, terlebih dahulu terima kasih kerana memberikan ilmu dan tunjuk ajar kepada saya dan rakan rakan sepanjang semester ini. Alhamdulillah, banyak yang telah kami belajar dalam kuliah tuan. Tetapi saya rasa tidak boleh menjawab dengan baik dalam peperiksaan. Sedih kerana tidak seperti yg saya harapkan. Saya akui banyak masa saya dihabiskan di facebook dan internet. Kadang kala walaupun banyak yang belum diulangkaji, saya tetap layan facebook. Nyesal pun ada kerana banyak buang masa di internet..."! Panjang juga emailnya.

Soal setakat mana kulaiti jawapan beliau dalam peperiksaan biarlah skema jawapan yg tentukan. Apa yang ingin saya kongsi ialah betapa masih terlalu ramai pelajar UKM ( juga semua IPT) yang sangat terikat dengan keseronokan sehingga lali dan lupa tentang masa depan, soal peperiksaan malah juga dalam ibadat solat.

Jika kita lalai, jangan kita salahkan Mark Zuckerberg bila beliau cipta facebook atau persoalkan mengapa ada orang cipta segala macam permainan atas talian. Juga mengapa ada yang pandai pandai cipta youtube dan marahkan jutaan org yang post klip video dalam youtube. Mengapa ada twitter atau segalanya. Jangan kita marahkan mereka. Soalnya adalah kita, ya kita, diri sendiri.

Jika hal berkaitan segala yg disebut di atas pun kita gagal uruskan dengan baik dalam kehidupan kita, bagaimana agaknya kita hendak uruskan kerjaya, keluarga dan ibubapa kita selepas kita graduan nanti, bagaiman pula dengan khidmat kita pada ahli masyarakat yg perlukan bantuan kita jika kita mempunyai displin diri yg lemah didalam mengejar kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Apatah lagi di dalam menegakkan agama suci Allah dengan jihad ilmu yang tidak dapat tidak, harus melampaui atau sekurang kurang setara dengan ilmu-ilmu yang dimiliki oleh masyarakat bukan Islam.

Kita patut bersyukur kerana adanya segala macam kemudahan ini memudahkan hidup kita dan keluarga. Kita juga patut bersyukur kerana dengan adanya internet, facebook dan segala macam teknologi ini memungkinkan kita melatih makna disiplin diri untuk diri sendiri. Melatih kita tentang menghargai masa. Melatih kita untuk memilih tentang apa yang baik dan buruk dalam hidup kita.

Mengapa saya berkata demikian? Kalau kita belajar tentang sosiologi pendidikan kita akan berjumpa dengan beberapa teori tentang kemiskinan dan pendidikan. Kata teori ini, kemiskinan boleh saja berpunca dari banyak sebab, dasar kerajaan yg tidak sesuai, persekitaran keluarga dan akibat warisan budaya. Tetapi disebut juga kemiskinan itu berpunca dari kemalasan atau tidak berminat untuk belajar. Makna malas ialah tiada disiplin dan matlamat dalam mencapai sesuatu. Malas belajar misalnya, bukan bermaksud langsung tidak belajar tetapi belajar tanpa disiplin dan matlamat. Malas bekerja juga begitu. Bukan bermaksud langsung tidak bekerja tetapi bekerja tanpa disiplin dan tidak bersungguh. Ada juga yg malas solat, maknanya bukan langsung tidak solat tetapi tidak istiqamah dalam mengerjakan solat.

Maka ini semua diistilahkan sebagai malas. Akibat malas maka mereka miskin. Malas kerja miskin pendapatan, malas belajar miskin ilmu, malas solat miskin ibadah, pahala dan keredhaan Allah swt.Ringkasnya malas juga ada kaitannya bila kita lebih mengutamakan apa yang seronok melebihi yang penting dan mustahak.

Akibat budaya malas, terbina dalam masyarakat apa yg dipanggil susulapis (stratifikasi) masyarakat. Ada yang kaya, sederhana dan miskin. Bagaimana ia terbentuk? Satu masa dulu mungkin org yang miskin adalah orang yang mempunyai faktor faktor malas/tidak minat belajar.

Biasanya kerana mereka tiada peluang pendidikan sehingga seperti jarak sekolah yg jauh, keluarga sangat miskin, tiada bahan bacaan, tiada sokongan ibubapa dan sebagainya. harus kita ingat malas itu sikap, bukan sumpahan atau warisan. Sikap ini dibentuk jika kita ada faktor faktor di atas.

Hari ini sebab malas/tidak minat belajar telah berubah dan semakin dinamik. Bukan soal jarak ataua kurang bahan bacaan lagi. Juga bukan soal kemiskinan yang sangat kritikal. Malas hari ini boleh sahaja disebabkan pelajar gagal mengawal nafsu dengan meletakkan yang seronok dahulu sebelum belajar. Menonton tv, facebook, youtube dan sebagainya. Maknanya cabaran untuk mengatasi kemalasan telah berubah antara dulu dan sekarang.

Kalau pelajar UKM masih tidak sedar akan hal ini maka mereka akan terus menerus malas pasti mereka akan kerugian. Misalnya menonton tv tak akan habis sampai bila bila. Menonton youtube yang berjuta juta bilangannya tak akan habis berpuluh puluh tahun. Setiap hari akan ada puluhan ribu post baru clip video di youtube. Face book tak akan tamat kisahnya.

Maka pelajar UKM harus bijak menguruskan diri mereka sendiri, utamakan masa solat, tumpuan bila masa belajar, bila pula masa beriadah. Selebihnya jika ada masa bolehlah gunakan untuk internet dan meluangkan masa untuk membaca dan bersosial dengan rakan rakan bagi tujuan yang baik.

Itulah maknanya menjadi mahasiswa. Bijak membezakan yang baik dengan yang kurang baik. Yang dapat membezakan yang baik dengan yang buruk. Semester depan akan bermula nanti. Mulalah mendisplin diri agar terus berjaya dalam pengajian di UKM. Jika diizinkan, boleh saya ingatkan sesuatu.. "Pelajar UKM jangan sekali kali jadi malas, demi masa depan anda sendiri".