12 January, 2012

Siri 1: 10 Isu Yang Harus Dijawab Oleh MPP-GMUKM dan MPP-ASPIRASI Sebelum PRK UKM 2012:

Untuk lima post seterusnya di blog ini, pembaca berpeluang untuk meneliti dan memikirkan sepuluh isu utama yang harus dijawab oleh PMUKM-GMUKM sesi ini dan juga Aspirasi sebelum bermulanya PRK UKM 2012. Semoga jawapan jawapan yang diberikan oleh kedua belah pihak akan membantu para pengundi membuat pilihan mereka nanti. Bagi berlaku adil, blog ini akan membuka ruang comment untuk pihak GMUKM-PMUKM dan Aspirasi memberikan penjelasan dan menjawab isu-isu berkenaan. Mana mana individu yang berminat juga dialu-alukan untuk memberikan pandangan mereka dalam ruang comment tersebut. Bagaimanapun sebarang pengunaan perkataan yang tidak sopan serta bertujuan menjatuhkan reputasi mana mana individu mohon dielakkan. Semoga penjelasan dan jawapan akan membuka hati para pengundi untuk mengundi calon pilihan mereka dalam PRK UKM 2012.

Isu (1) yang perlu dijawab oleh GMUKM-PMUKM: KEGAGALAN PESTA KONVO KE-39

i) Pesta Konvokesyen kali ke 39 anjuran PMUKM- GMUKM dikatakan mengalami kerugian yang besar. Ini adalah kerugian pertama selepas kerugian yang terakhir berlaku pada sesi 1986-87. Kegagalan ini dikatakan dari kelemahan pengurusan MT dan juga nasihat yang kurang berkesan oleh PMUKM-GMUKM pada MT Pesta Konvo. Beberapa pihak (peniaga dan pencetak) dikatakan masih menuntut agar hutang mereka dilunaskan sepenuhnya oleh pihak urusetia PMUKM. Bagaimana pun sehingga hari ini, laporan lengkap kerugian dan juga laporan penganjuran projek masih belum dibentangkan oleh urusetia Pesta Konvo pada pihak JPPEL dan Bendahari UKM. Pihak pelajar UKM  berhak sebagai ahli PMUKM untuk mendapat penjelasan sejauh manakah besarnya isu kerugian Pesta Konvo ke- 39. Adakah benar begitu?

ii) Sambutan pelajar ke Pesta Konvokesyen yang hambar. Rata-rata pelajar mempersoalkan mengapa sambutan pelajar untuk Pesta Konvokesyen tahun ini hambar. Selain isu jualan barangan yang seperti pasar malam, program dan pengisian Pesta Konvo ke 39 juga dikatakan gagal menarik sambutan pelajar Cina dan India. Juga di kalangan pelajar antarabangsa. Benarkah begitu?Bagaimanapun arahan menghormati waktu solat telah mendapat sambutan baik dari para pelajar dan pengunjung dan diharapkan berkekalan.

iii) Tiada peluang untuk pelajar bukan Melayu berorganisasi dalam MT Pesta Konvo jelas bila hanya seorang sahaja pelajar Tiong Hua (jawatan yang kurang peranan) dan tiada pelajar India yang dilantik sebagai MT Pesta Konvo sesi ini. Sedangkan semua pelajar tahu Pesta Konvo yang lepas lepas berjaya mendapat penajaan Maxis dan Digi hasil kerja kuat pelajar Tiong Hua. Adakah benar begitu?

Isu (2)  yang perlu dijawab oleh ASPIRASI: KEGAGALAN MPP ASPIRASI MENONJOLKAN KEPIMPINAN DALAM PMUKM

i. Walaupun bilangan MPP Aspirasi adalah agak besar (walaupun bukan majoriti) dalam PMUKM, rata rata pelajar merasakan MPP Aspirasi gagal menonjolkan diri dalam memberikan perkhidmatan kepada para pelajar. Mereka dilihat terperangkap dalam biro biro yang dibentuk oleh MT PMUKM. Misalnya walaupun mereka diletakkan di dalam biro kebajikan atau perpaduan PMUKM, mereka tidak mampu menonjolkan usaha mereka di dalam menjaga kebajikan pelajar UKM. mereka dilihat kurang aktif dan lebih bersikap 'mendiamkan diri' sebagai tanda protes kepada kepimpinan PMUKM. Malangnya sikap protes ini diterjemahkan sebagai lemah oleh para pelajar UKM. Adakah benar begitu?

ii) Tidak ada program yang berjaya dianjurkan oleh MPP Aspirasi sehingga berjaya menarik pelajar untuk memberikan sokongan kepada mereka. Sebaliknya MPP Aspirasi lebih bersikap tunggu dan lihat dengan apa yang dianjurkan oleh MPP GMUKM. Benarkah begitu?


** Pihak GMUKM-PMUKM dan Aspirasi diharapkan menjawab isu ini dengan berhemah agar pelajar mempunyai peluang untuk meneliti dan membuat keputusan. Tanpa penjelasan dan jawapan, isu ini akan pasti  meningkatkan lagi telahan para pelajar bahawa ianya benar benar berlaku sehingga tidak mampu dijawab oleh pihak pihak yang berkenaan.