11 September, 2012

ASPIRASI-UKM Milik Semua Mahasiswa UKM

Saya masih ingat dengan jelas pada pertengahan tahun 2002, jabatan HEPA UKM yang dipimpin oleh TNC Prof Dato Salleh Mohd Yassin (sekarang Tan Sri) telah merasmikan urusetia Aspirasi UKM di pusanika.

Matlamat penubuhan Aspirasi UKM kukuh dan mendalam maknanya. Urusetia ini memikul amanah untuk memastikan semua pelajar merasa sayang dan cinta kepada UKM. Tidak ada batasan kaum, agama, bahasa atau maksud politik di dalam menubuhkan urusetia ASPIRASI ketika itu. Saya dapat melihat wakil wakil pelajar dari pelbagai fakulti ada di dalam urusetia ASPIRASI. Dari pelajar di fakulti Undang Undang di hujung kampus induk UKM sehinggalah ke Fakulti Pengajian Islam di hujung sebelah lagi.

Semua AJK ASPIRASI ketika itu merasakan inilah satu satunya persatuan yang boleh menjadi wadah dalam memartabatkan usaha meningkatkan kesayangan semua pelajar pada UKM tanpa mengira latarbelakang politik mereka. Saya sendiri sempat hadir beberapa program urusetia ASPIRASI bertemakan Islam dan Ummah bersama TNC HEPA yang dianjurkan oleh pelajar di Fakulti Pengajian Islam pada tahun 2003 dan juga hadir dalam beberapa program Aspirasi yang dianjurkan oleh wakil pelajar Tiong Hua.

Walaupun di UKM ada pelbagai kelab, persatuan dan JAKSA, masing masing punyai matlamat serta program yang tersendiri. Walaupun semuanya adalah pelajar UKM dan program di semua organisasi ini juga untuk UKM, kewujudan urusetia ASPIRASI lebih istimewa kerana wadahnya bertunjangkan falsafah Universiti dan menyokong kecemerlangan UKM.

Maka itu lagu ILMU, MUTU dan BUDI dijadikan lagu rasmi untuk dinyanyikan setiap kali diadakan perhimpunan atau program urusetia ASPIRASI. Visi urusetia ialah memartabatkan UKM yang berasaskan falsafah gabungan  iman, ilmu dan amal yang menjadi teras dalam falsafah UKM.

Seingat saya berbagai program dianjurkan oleh urusetia ini. Ada satu ketika, urusetia ASPIRASI mengedarkan riben kecil berwarna biru pada semua pelajar untuk disematkan di baju di dalam kempen "KAMI SAYANG UKM" yang dianjurkan selama seminggu di Pusanika.

Urusetia ini banyak menganjurkan program yang berusaha membentuk pelajar memahami sejarah penubuhan UKM, perjuangan membina UKM yang berindentitikan kebangsaan dan sejarah pemimpin awal UKM sejak dari tercetus idea menubuhkan sebuah universiti berbahasa pengantar bahasa Melayu pada tahun 1917 lagi.

Urusetia ini juga banyak menganjurkan aktiviti membina kefahaman kenegaraan seperti perbincangan tentang perlembagaan negara, kontrak sosial, politik semasa dan perjuangan Islam dalam masyarakat hari ini. Dengan menggunakan warna biru UKM sebagai warna rasmi urusetia, beberapa program di luar kampus juga berjaya dianjurkan atau disertai khususnya yang bersifat khidmat masyarakat. Banjir besar di Johor juga disertai oleh urusetia Aspirasi ketika itu. Masih saya ingat saya dan pegawai HEPA UKM bersama pasukan Palapes UKM merupakan pasukan pertama mahasiswa IPTA yang bergerak ke Pagoh dan Panchor dan kemudiannya di susuli oleh berbagai persatuan UKM lain termasuklah urusetia ASPIRASI.

Bagaimanapun keadaan mula berubah apabila beberapa pimpinan ASPIRASI ketika itu mengambil keputusan untuk bertanding kerana mereka dilihat mempunyai kewibawaan yang tinggi untuk memimpin pelajar UKM, maka bermulalah episod ASPIRASI mula berpolitik dalam PRK-UKM. Sebelumnya hanya kumpulan TSB dan MAMPU (sekarang telah ditukar nama kepada GMUKM) berlawan politik di kampus UKM.

Mulai 2003, calon calon urusetia ASPIRASI telah secara individu menawarkan diri sebagai calon. Oleh kerana prestasi yang baik serta falsafah perjuangan calon urusetia aspirasi yang berteraskan UKM, calon calon urusetia ASPIRASI telah berjaya menawan hari pelajar UKM. Mereka berjaya menguasai PMUKM dengan mengalahkan MAMPU yang tidak bersedia berkerjasama dengan kalangan pelajar bukan Islam ketika itu.

Kisah ini sudah sepuluh tahun berlalu. Telah banyak yang berubah pada hari ini. Urusetia ASPIRASI juga sudah menjadi wadah politik sepenuhnya. Hari ini tiada lagi mana mana badan pelajar yang bersedia menjadi barisan hadapan dalam menganjurkan program yang secara langsung bertujuan membina rasa sayang, bangga serta  bersyukur kerana berpeluang menjadi warga dan alumni UKM. malah lebi sedih bila ada persatuan pelajar yang sanggup memburukan nama UKM demi mengiakan arahan 'dalang dalang' politik mereka di luar kampus.

ASPIRASI harus kembali menjadi satu urusetia pelajar yang mengangkat martabat UKM. Mereka harus menjadi penyokong kuat segala usaha pengurusan UKM untuk meningkatkan citra UKM di dalam dan luar negara. Mereka juga harus menjadi 'orang kuat' yang akan berhadapan dengan sesiapa sahaja yang cuba memburukkan nama UKM. Mereka harus kembali membawa wadah dan matlamat utama penubuhan urusetia ASPIRASI UKM.

Saya merindui aspirasi yang dulu...semangat aspirasi yang mengatasi kepolitikan sempit dan mengutamakan citra UKM. Rindu ketika mana pelajar tahu membezakan antara kewajiban menjaga nama baik UKM dengan permainan dalam agenda pilihanraya kampus. Rindu ketika mana kepimpinan pelajar samada dari TSB atau MAMPU-GMUKM tidak akan sesekali membenarkan nama UKM dicemar oleh sesiapa juga hatta di kalangan ahli politik luar kampus.

Saya mendoakan akan ada pelajar yang berazam dan  akan bersedia membawa wadah memartabatkan UKM demi masa depan dan kecemerlangan universiti yang kita cintai ini...tanpa mengira samada mereka penyokong tegar TSB atau GMUKM...