13 September, 2012

Antara Politik Kotor, Politik Sempit dan Politik Matang

Kononnya tarikh PRK UKM semakin dekat. Tarikhnya jika dirujuk dalam suratkhabar arus perdana adalah antara 20 Sept hingga 25 Sept 2012. Walaupun belum diumumkan secara rasmi 'demam'nya semakin terasa di kampus induk UKM. Kewujudan media online menambahkan lagi kemeriahan acara tahunan ini. Atas nama mendidik anak anak muda tentang erti demokrasi, hak dan tanggungjawab sebagai seorang warganegara, PRK UKM diadakan pada setiap tahun. Atas nama melahirkan pelapis pemimpin untuk kesinambungan kemajuan negara, PRK UKM tanpa gagal dilaksanakan. Walaupun pelbagai peristiwa buruk dan negatif pernah berlaku di waktu yang lepas dalam minggu minggu PRK kerana gagal emosi dan gejala provokasi, atas nama pendidikan agar mahasiswa celik politik, PRK UKM tetap diadakan. UKM percaya kesan baiknya jauh lebih besar berbanding kesan kesan negatifnya. Itulah prinsip yang dipegang oleh pihak pengurusan UKM bagi memastikan negara terus mempunyai pelapis menerajui negara Malaysia pada masa depan.

Maka itu, atas kebijaksanaan pertimbangan para pengundilah untuk memilih dan menentukan siapakah yang layak menjadi pemimpin mereka. Jika mereka secara majoriti memilih pemimpin yang bijak dan berkarisma maka keberuntungan itu balik kepada para pengundi. Jika majoriti pelajar memilih di kalangan pimpinan yang lemah, taksub, jumud dan tidak bijak maka kerugian itu juga akan terpulang kepada para pengundi.

Saya ingin kongsi beberapa perkara yang saya simpulkan sebagai politik kotor, politik sempit dan politik matang, dan tentunya dengan bahasa yang paling mudah untuk difahami oelh semua. Walaupun banyak kajian di negara ini dan di luar negara yang membincangkan hal hal ini, saya lebih suka menggunakan apa yang berlaku dalam politik pelajar UKM sebagai rujukan perbincangan.

Politik kotor bermaksud tidak mengamalkan prinsip prinsip murni peradapan dan kebudayaan manusia di dalam berpolitik (Kymlicka.2002). Sekitar tahun tahun 1980 sehinggalah sepanjang dekad pertama abad 21, budaya politik kotor kuat mencengkam cara ahli politik meraih undi di negara ini.

Penggunaan perkataan kotor berbaur lucah, pembohongan yang ketara, memaki hamun tanpa alasan yang kukuh, penggunaan ayat suci al Quran secara sewenang-wenangnya untuk disesuaikan dengan tujuan kotor berkempen, menabur fitnah, memprovokasi dengan tujuan menaikkan amarah pada lawan politik. Ini beberapa contoh yang dikatakan sebagai budaya politik kotor.

Cuba kita lihat sejarah seorang ahli politik dalam sebuah parti yang menggunakan ideologi Islamisme di dalam perjuangannya. Dulu beliau berjaya mengumpulkan puluhan ribu untuk datang mendengar ceramah politiknya. Ceramahnya penuh dengan maki hamun, nista penggunaan bahasa yang kasar dan berbaur lucah. Ceramahnya sangat digemari orang ramai ketika itu hatta para JKKK yang kononnya menentang perjuangannya pun ada yang datang untuk mendengar ceramahnya.

Itu dulu, selepas 2008, masyarakat semakin muak dan benci dengan ceramah ceramah sebegini. ahli politik tersebut juga sudah tidak lagi mengamalkan ceramah sedemikian rupa kerana beliau juga tahu citarasa masyarakat sudah berubah dan bencikan ceramah sedemikian.

Malah kajian akademik menunjukkan pengundi terutamanya wanita menolak pemimpin politik yang suka menggunakan pentas ceramah untuk berpolitik secara sembrorono dengan maki hamun. Malah hari ini di kalangan anak anak muda, mereka juga menolak dan sangat benci pada ahli politik yang berceramah politik tanpa isi yang kuat dan logik. Walaupun anak muda masih mendengar ceramah 'murahan' sebegini tetapi mereka sudah  tidak ada rasa hormat pada pemimpin sebegini.

Kita ingin sekali supaya politik kotor dibuang jauh jauh dari arus perdana politik negara. Biar siapapun pemimpin politik samada dari UMNO, PAS, PKR, DAP, MCA, MIC dan sebagainya, melakukan dan mengamalkan politik kotor adalah sesuatu yang tidak beradab dan harus dihapuskan terus budaya ini.

Dalam kampus juga harus sama. Jika ada mana mana calon PRK UKM nanti yang menggunakan amalan politik kotor, menggunakan perkataan yang kotor, mengaibkan, menfitnah (tuduhan tanpa bukti), menghasut emosi pelajar lain, menanamkan rasa benci dan seumpamanya, para pengundi harus menolak dengan tidak memberikan undi mereka pada calon calon sebegini.

Pengamalan politik kotor secara jelas menunjukkan betapa hina dan rendahnya sahsiah, pemikiran dan kesantunan seseorang calon PRK. Jika ada yang masih memberikan undi mereka pada calon sebegini, selayaknya mereka juga berada dalam kelompok rendah moral yang sama dengan calon tersebut.

Kategori kedua ialah amalan politik sempit (Andrea.2000). Berbeza dengan politik kotor, politik sempit mungkin tidak menggunakan bahasa yang kasar, kotor dan lucah dalam berkempen. Mereka juga tidak mengamalkan politik yang mengaibkan orang lain. Politik sempit bermaksud "hanya kami sahaja yang tahu", 'hanya kami sahaja yang betul' dan 'hanya kami sahaja yang sangat benar'.

"Orang lain yang berbeza pandangan dengan kami adalah salah, jahil dan harus ditentang". Amalan politik ini masih ada dan kuat dalam budaya politik kampus. Jika mereka memegang kuasa di PUSANIKA, mereka hanya bersama dengan kumpulan mereka sahaja kerana mencampuri dengan orang yang bukan dalam satu semangat yang sama dengan mereka adalah sesuatu yang salah.

Pimpinan juga tidak mahu ahli bawahanya terlalu banyak bersoal dengan cara dan keputusan yang telah mereka putuskan. Ini selalu dikatakan sebagai tidak bersifat istiqamah dalam perjuangan. Mereka menolak sepenuhnya pandangan orang lain termasuklan pandangan pihak  pengurusan UKM yang sentiasa berusaha untuk berbaik baik dengan mereka demi kebajikan pelajar UKM seluruhnya.

Kita ingin bangunkan politik matang (Kymlica:2002) di kampus UKM. Politik yang terbuka, menerima pandangan orang lain dan menghormati perbezaan pandangan. Menjadikan usaha menjaga nama baik UKM, memelihara falsafah UKM dan kebajikan mahasiswa sebagai asas untuk berpolitik dan menjadikan pengurusan UKM sebagai rakan kongsi mereka di dalam memeberikan perkhidmatan terbaik pada pelajar.

Seterusnya bersama sama menjadikan UKM universiti yang ternama di dalam dan luar negara. Mungkin ada keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan UKM yang pada mereka tidak sesuai, maka mereka boleh memberikan pandangan dan mencadangkan pilihan atau alternatif yang baru.

Inilah politik matang. Bila dibangunkan manifesto, mereka bukan hanya berjanji akan buat itu dan ini, tetapi secara objektif dan sistematik menjelaskan bagaimana proses untuk menunaikan janji manifesto akan dilaksanakan.

Pada masa yang sama mereka tidak memburukkan manifesto lawan politik sebaliknya menghormati para pengundi untuk berfikir dan membuat pilihan. Sebagai contoh, jika mereka berjanji perjuangan mereka adalah perjuangan berlandaskan Islam, maka secara objektif dan terang dijelaskan bagaimanakah Islam itu akan dimurnikan dalam kehidupan masyarakat pelajar kampus, tanpa perlu menuduhkan orang lain tidak Islam, hanya kami sahaja yang Islam.

Jika mereka ingin memperjuangkan supaya pelajar mempunyai jatidiri kebangsaan maka secara jelas mereka menjelaskan bagaimana proses tersebut ingin dilaksanakan. Sebagai contoh mudah, apabila IZISH ingin jadikan kolej tersebut mesra alam maka dibangunkan agenda kelestarian kolej. Dibangunkan pelan strategik kolej untuk membina agenda kelestarian.

Di didik dan dipupuk budaya menghargai dan memelihara alam. Dilakukan secara bersungguh sungguh dalam masa yang lama tanpa perlu berkata "hanya kami yang sayang alam, orang lain semua tidak sayangkan alam"

Maka pengundi berhak menyoal para calon PRK UKM  nanti apakah janji mereka jika menang PRK UKM dan yang lebih penting tanyalah bagaimana manifesto tersebut hendak dijayakan. Jika jawapan yang diberikan tidak menyakinkan, itu tandanya mereka tidak bersedia untuk tunaikan janji mereka. Jangan percaya sekadar berjanji dalam manisfesto kerana bila bila menang tidak pula berupaya mejayakan janji tersebut. Satu kerugian besar pada para pengundi PRK UKM.

Sumber
Kymlicka W. (2002), Contemporary Political Philosophy. 2nd Oxford University Press.
Brown A (1986), Modern Political Philosophy: Theories of Just Theory. Penguin Press. London