Maka istilah 'keluarga angkat' sering disebut sebut oleh pelajar UKM. Saya juga masih ingat ada seorang rakan sekuliah saya yang punyai lapan keluarga angkat kerana pada setiap semester beliau akan turut serta dalam program khidmat masyarakat.

Saya yakin aktiviti sebegini akan masih relevan tetapi pelajar UKM perlu segera menerokai aktiviti baru untuk mendepani kehidupan mereka selepas bergraduan. Salah satu yang saya percaya pelajar UKM boleh terokai ialah aktiviti PERNIAGAAN ON-LINE secara kecil kecilan tetapi secara serius, berkualiti dan berkomitmen tinggi.

Di IZISH, saya sudah mula mengerakkan usaha ini, walaupun baru bermula dan secara perlahan lahan tetapi akan dipastikan berterusan. Saya juga secara peribadi telah menetapkan sasaran pada sesi 2014-2015 depan, akan ada 20% pelajar IZISH (sekitar 80 orang) mempunyai perniagaan 'on line' mereka sendiri. Hari ini jumlahnya sudah sekitar 10 orang, berjalan secara kecil kecilan, ada yang sudah mula serius tetapi ada yang masih mencari cari kekuatan dalam barangan dan perkhidmatan mereka. Saya berazam untuk segera merangka strategi bagaimana semangat 'usahawan muda' UKM boleh "diledakkan". Mereka perlukan sokongan dan bimbingan untuk menjayakan cita cita mereka.
Saya sudah melihat ada pelajar yang memulakan perniagaan kuih, perkhidmatan kereta menghantar dan menjemput pelajar dari stesen komuter (dari siswi untuk siswi), perniagaan tudung, perniagaan make-up, perkhidmatan percetakan, tempahan makanan, t-shirt bercetak. Ada juga yang cuba cuba menjalankan perniagaan fotografi, baikpulih laptop dan komputer dan sebagainya. Saya ucap TAHNIAH dan berbangga dengan pelajar IZISH yang ingin mencabar diri mereka dalam online business. Nanti mereka akan belajar erti perniagaan dan persaingan, strategi dan kreativiti. Keterujaan dan keletihan.
Bagi menjayakan semangat ini, saya dan felo IZISH telah mulakan tiga agenda keusahawanan di UKM. Pertama, menganjurkan Youth Business Challenge (YBC) yang telah dilaksanakan dengan jayanya minggu lepas, kedua menganjurkan Beauty With Brains (BWB) yang mendedahkan sepenuhnya pelajar kepada peniagaan online dan ketiganya menwujudkan "UKM Virtual Mall" (UVM) yang akan menjadi hub perniagaan online pada pelajar IZISH dan UKM seluruhnya.
Bayangkan jika ada 100 orang pelajar UKM mendaftar dan mempunyai ' kedai maya' di dalam UVM ini. Bila UVM benar benar matang dan berjaya, saya yakin setiap hari pasti ribuan pelajar UKM akan masuk dan 'shopping' di UVM ini. Kerja kerja awal telah dilaksanakan dalam usaha mewujudkan UVM di UKM, yang pertama seumpamanya di IPTA negara ini.
Inilah antara bentuk aktiviti UKM pada masa depan. Pelajar UKM harus berupaya dan berani meneroka cabaran baru, peluang baru dan percaya mereka boleh lakukan. Saya punya kepercayaan bahawa pelajar UKM hebat dan boleh jayakan apa sahaja. Dan kepercayaan ini tidak pernah berubah sejak dahulu lagi...