30 December, 2012

Sucinya Perjuangan Hak Mendapatkan Pendidikan: Tahniah HAM 2@IZISH

Majalah TIME keluaran Disember memang ditunggu tunggu oleh mereka yang ingin mengetahui siapakah yang dinobatkan sebagai "Person of The Year" bagi tahun 2012. Ramai yang sudah dinobatkan termasuklah Mark Zuckerberg dan Steve Job pada tahun- tahun yang lepas. Tahun ini agak menarik kerana bukan seorang tetapi lima orang yang dinamakan sebagai 'Person of the Year". Di tangga pertama seperti yang diduga ramai, Presiden Barrack Obama yang berjaya memenangi jawatan bagi penggal kedua mengalahkan Romsey.

Tokoh kedua ialah Malala Yousafzai, seorang kanak kanak yang cedera parah ditembak kumpulan Taliban di Pakistan. Tokoh ketiga juga sudah dijangka iaitu Tim Cook, CEO Apple yang mengantikan mendiang Steve Job. Tokoh keempat juga sudah diramalkan iaitu Mohammad Morsi, Presiden Mesir yang menjadi Presiden pertama di bawah sistem demokrasi terbuka dan tokoh kelima seorang ahli saintis fizik wanita berbangsa Itali, Fabiola Gianotti yang berjaya menemui sub atom partikel. Jumpaan saintis ini akan meningkatkan secara keseluruhan kajian bidang fizik sub atom yang dikatakan telah dimulakan sejak 50 tahun yang lalu.

Setiap tokoh ini mempunyai kelebihan masing masing, yang paling penting sumbangan meraka sangat siknifikan kepada perkembangan manusia global bagi tahun 2012.

Mungkin yang lain sudah dikenali ramai. Tetapi mungkin tidak ramai yang mengenali siapakah Malala Yousafzai. kanak kanak ini menjadi pilihan majalah Time untuk berada di kedudukan kedua hanya selepas Barrak Obama, meninggalkan CEO Apple, presiden mesir dan saintis terunggul di awal abad ke 21.

Siapakah Malala Yousofzai? Apakah sumbanganya? Beliau baru berumur 14 tahun bila satu pagi pada 9 Oktober 2012, sekumpulan anggota Taliban naik ke bas sekolah yang dinaiki Malala, memanggil namanya dan tanpa belas kasihan menembak di kepalanya. Akibatnya Malala telah mengalami kecederaan parah sehingga terpaksa dibawa ke hospital di Birmingham UK untuk melalui pembedahan. Tempurung kepalanya yang pecah akibat tembakan terpaksa digantikan dengan kepingan titanium. Otaknya juga membengkak dan terpaksa dibedah beberapa kali. Apakah yang telah beliau lakukan sehingga kumpulan Taliban sanggup melakukan pembunuhan ke atasnya?

Malala Yousufzia merupakan kanak kanak luar biasa. Ketika berumur 2 tahun setengah, beliau sudah diletakkan di dalam kelas untuk pelajar berumur 10 tahun. Pada umurnya 11 tahun, Malala telah memberikan satu ucapan 'berani mati' di hadapan para media yang bertajuk " How Dare the Taliban take away My Basic Right to Education?"yang mengecam puak taliban yang menhalang anak anak perempuan di Afganistan mendapat pendidikan di sekolah. Pada umur 15 tahun beliau telah diiktiraf sebagai masyarakat dunia sebagai pejuang kepada mendapatkan hak pendidikan untuk kanak kanak perempuan di Pakistan dan Afghanistan.

Tindakan beliau mendapat tentangan daripada puak Taliban. Sebelum kejadian pada 9 Oktober 2012, beliau dan keluarga beliau telah beberapa kali menerima ancaman bunuh dari anggota kumpulan Taliban. Sebabnya hanya kerana beliau hadir ke sekolah dan mengajak kawan kawan perempuannya supaya jangan berhenti sekolah.

Puak Taliban sentiasa mengugut pelajar perempuan dan keluarga mereka supaya jangan ke sekolah. Tetapi semangat juang dan keberanian Malala telah mengenepikan ancaman keselamatan terhadap dirinya. Beliau terus menerus pergi ke sekolah ketika semakin ramai pelajar perempuan lain mula berhenti sekolah.

Kedegilannya menyebabkan beliau menjadi sasaran puak Taliban. Tetapi keberanianya tidak pernah tergugat. Ketika terlantar di hospital Birmingham, beliau dilaporkan masih meneruskan usahanya dengan menelefon kanak kanak perempuan di Pakistan dan Afghanistan menyampaikan pesanan supaya jangan sekali kali berhenti bersekolah.

Tentunya beliau akan dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan dalam masa terdekat. sehingga Disember 2012, seramai 500 ribu orang telah menandatangani memorandum mencalonkan beliau sebagai penerima hadiah utama tersebut.

Beliau masih muda, terlalu muda. Tetapi semangat dan kesedarannya tentang pentingnya pendidikan melangkau umur dan tahap pengalaman hidupnya. Malala memberikan inspirasi kepada kita tentang betapa besarnya makna pendidikan. Setiap orang kanak kanak berhak mendapat pendidikan. Sekurang kurangnya pendidikan asas.

Semalam, para pelajar IZISH turun ke Sungai Lalang, Semenyih untuk melaksanakan tanggungjawab mereka memberikan kesedaran tentang makna dan hak pendidikan kepada anak anak masyarakat orang asli di sana. Satu usaha yang selari dengan apa yang dilakukan oleh Malala Yousufzai di Pakistan sana. Tinggal lagi perjuangan kita di Malaysia tidak sesukar apa yang terpaksa di lalui oleh Malala di Penshwar.

Usaha para Izishian ini adalah sesuatu yang terpuji dan harus diteruskan pada masa depan. Laporan UNDP (2010) menunjukkan lebih kurang 40,000 kanak kanak di Malaysia (khususnya di kalangan anak anak masyarakat orang asli) yang tidak bersekolah. Ada pula yang tercicir selepas setahun dua berada di sekolah. Begitu juga dengan masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak di kawasan pendalaman. Juga kumpulan kanak kanak gelandangan di badar bandar besar seluruh negara. Mereka masih perlu dibantu.

Sesungguhnya perjuangan hak mendapat pendidikan adalah sesuatu yang suci dan pasti akan dirahmati. Tahniah team Hak Asasi Manusia II untuk tahun 2012...