28 November, 2012

Sudah Masanya Aktiviti Pelajar UKM Diperhebatkan

Tahun 2012 akan menutup tirainya sebulan dari sekarang. Sebagai refleksi, dua hari lalu, saya sempat meneliti senarai aktiviti pelajar UKM bagi tahun 2012. Tahniah pada seluruh pimpinan MPPUKM yang lalu, JAKSA Kolej, ASPIRASI, ISIUKM dan semua persatuan pelajar samada di fakulti atau di Pusanika kerana berjaya anjurkan ratusan aktiviti tahun ini. Berbagai aktiviti dari khidmat masyarakat, peningkatan kerohanian, inovasi, alam sekitar, keusahawanan, kebudayaan, sukan dan sebagainya berjaya dianjurkan. Juga dari peringkat blok kediaman hinggalah ke peringkat antarabangsa.

Melihat banyaknya aktiviti pelajar UKM samada dibiayai dengan peruntukan ratusan ribu ringgit dari pihak pengurusan universiti dan puluhan ribuan ringgit tajaan pihak luar kampus, tidak syak lagi pelajar UKM memang hebat menganjurkan aktiviti. Malah jika dikumpulkan, kita pasti terkejut entah berapa banyak projek pelajar yang menggunakan ribuan ringgit duit kocek mereka sendiri, semata mata memastikan projek anjuran mereka berjaya sepenuhnya.

Jika dikumpulkan 'man hours' atau jumlah masa bekerja yang telah diperuntukan untuk menjayakan projek ini, angkanya pasti mencecah ratusan ribu jam bekerja. Bagaimana pula dengan pengorbanan tenaga kudrat, masa rehat dan masa kuliah, semuanya terpaksa dikorbankan semata mata demi menjayakan projek mereka.

Selepas begitu banyak masa, tenaga, wang ringgit yang telah dikorbankan, tentulah tiba masanya mahasiswa bertanya pada diri sendiri soalan soalan berikut, dan mereka harus menjawabnya secara tulus dan ikhlas.

Ambil masa dan jawab soalan berikut:

1. Apakah projek projek yang telah dan sedang saya sertai telah BENAR-BENAR mengubah saya menjadi insan yang lebih mahir (mahir komunikasi, kerja berpasukan, membuat keputusan, kreativiti dan sebagainya) berbanding sebelum terlibat dengan projek itu?

2. Jika BENAR-BENAR mengubah saya, adakah perubahan tersebut kekal dalam diri saya sebagai satu perlakuan, tabiat atau budaya harian saya atau saya kembali kepada kelakuan asal saya sebelum berprojek?

3. Adakah perubahan dalam diri akibat projek tersebut telah meningkatkan prestasi akademik saya? 

4. Apakah keyakinan saya bertambah untuk berbincang dan berdiolog dengan pensyarah saya adalah sumbangan dari kegiatan dalam projek yang saya sertai?

5. Adakah nilai yang saya pegang lebih baik sebelum terlibat dengan projek itu? Adakah nilai ibadah, toleransi, sikap tanggungjawab, ikhlas, amanah, menyayangi orang lain semakin meningkat?

5. Bagaimana dengan kualiti diri saya? Misalnya pengurusan masa yang lebih baik, kekemasan diri yang lebih meyakinkan, kualiti berkaitan protokol, etika dan profesional mengikut konteks jauh lebih baik selepas saya menyertai projek?

Setiap dari anda WAJIB menjawab soalan ini..dengan penuh ikhlas. tak perlu sesiapapun membantu anda untuk menjawab semua soalan ini. Selepas menjawab, anda tahu di mana kekdudukan anda sebenarnya. Tak perlu juga untuk sesiapa pun mengetahuinya.

Saya sebut hal ini kerana semakin lama saya menjadi sedikit bimbang, apakah aktiviti pelajar UKM semakin hari semakin membina kemahiran, nilai dan kualiti diri mahasiswa UKM? Apakah dengan terlibat dalam satu dua aktiviti yang bercampur campur setiap semester akan mengubah diri pelajar menjadi lebih baik? Apatah lagi jika niat menyertai aktiviti tersebut sekadar melengkapkan kredit LC bukan membangunkan kemahiran, nilai dan kualiti diri sendiri.

Sebab itu sejak dulu saya sangat cenderung agar aktiviti pelajar UKM menggunakan model PALAPES, PBSM, SUKSIS atau Kor-SISPA. Selain dijalankan secara teratur dan sistematik, setiap pelajar berpeluang samarata di dalam keterlibatan mereka dalam beraktiviti. Mereka akan melalui satu persatu aktiviti secara terancang dan kontruktif. Tiada konsep 'last  minute' atau 'ikut suka mana yang sempat' di dalam mereka beraktiviti. Malah bentuk pengiktirafan dan penilaian yang dilaksanakan dalam PALAPES, PBSM, SUKSIS atau Kor-SISPA juga jelas serta mempunyai tahap reabiliti dan validiti yang baik.

Oleh itu saya selalu mengharapkan dan membayangkan bentuk aktiviti pelajar UKM harus ditranformasikan dengan menggunakan model badan badan beruniform di UKM. Misalnya jika ada pelajar yang melaksanakan aktiviti keusahawanan, pelajar akan mula menjalankan perniagaan samada di kolej, pusanika, teres niaga, fakulti atau di luar kampus secara berterusan dan konsisten. Maka berniagalah mereka dari tahun satu hingga tahun akhir. Selain melengkapkan 8 kredit LC, pembinaan kemahiran, nilai dan kualiti diri boleh disusunkan secara lebih terancang.

Begitu juga jika ada pelajar minat dengan khidmat masyarakat. Mereka akan mula menganjurkan aktiviti dalam kampus dan di sekitar bangi pada tahun satu. Bila di tahap yang lebih tinggi, mereka akan mula beraktiviti hinggalah ke antarabangsa di tahun tahun pengajian seterusnya. Tentunya akan ada pelajar UKM yang akan ke Gaza, India, Indonesia. Tibet. Myanmar, Afrika dan sebagainya untuk melaksanakan khidmat masyarakat. Begitu jugalah dengan inovasi, kebudayaan, sukan dan sebagainya.

Jika ini dilaksanakan, saya membayangkan pasti nanti ramai pelajar UKM yang bila bergraduan bukan sahaja dianugerahkan ijazah pengajian mereka, tetapi juga akan ada yang diiktiraf sebagai leftenan muda, Ketua Inspektor Polis, Penolong Penguasa JPAM, Jurulatih Bertauliah PBSM. Jika dalam bidang sukan pula akan ada yang memperolehi sijil kejurulatihan profesional sukan, jika dalam bidang kesenian pasti ada antara mereka akan dianugerahkan sijil jurulatih profesional tarian. muzik dan sebagainya. Jika dalam usahawan mereka akan ada syarikat berdaftar sendiri. Jika dalam bidang inovasi, akan ada pelajar UKM bila graduan nanti punyai prototaip ciptaan mereka yang boleh dikomersialkan. Malah pada pimpinan pelajar yang aktif berpolitik di dalam kampus, mereka jika masih berminat boleh sahaja menjadi calon sayap Pemuda atau sebagainya untuk pemilihan dalam parti parti politik di luar kampus. Ilmu politik di kampus yang diperolehi sejak tahun satu pengajian sepatutnya digunakan untuk memberikan kebaikan kepada ahli ahli parti masing masing.

Pada saya inilah makna sebenar kepada apa yang dimaksudkan sebagai hasil akhir aktiviti berimpak tinggi pelajar UKM. Kita sepatutnya sudah mula meninggalkan aktiviti 'olok-olok' dan picisan. Kita harus mula menganjurkan sesuatu aktiviti yang boleh diteruskan selepas tamat pengajian.

Cabaran di luar kampus selepas bergraduan tentunya hebat sekali. persediaan pelajar UKM juga pastinya harus seiring dengan cabaran di luar sana. Istilah 'majikan yang terlalu memilih', 'persaingan yang hebat' dan 'expectation' yang tinggi perlu dihadapi oleh mahasiswa UKM. Selain kecemerlangan akademik yang akan membantu graduan UKM, aktiviti berimpak tinggi juga pasti meningkatkan siap siaga pelajar UKM.

Maka sudah sampai masanya aktiviti pelajar UKM diperhebatkan mulai tahun depan...dengan kaedah dan cara yang lebih mendepani cabaran dan tanggapan masyarakat luar kampus.