17 December, 2012

Menjayakan MPP UKM: Bukan Sekadar Bermain Politik

 Semasa belajar di Universiti of London dulu, saya berpeluang terlibat dengan aktiviti pelajar melalui Universiti London Union (ULU) mewakili biro Asia Tenggara. ULU merupakan sebuah kesatuan induk pelajar di Universiti London dan dengan melibatkan diri banyak memberikan pengaruh kepada saya tentang cara dan bagaimana sepatutnya sesebuah kesatuan atau persatuan mahasiswa harus beroperasi.

Kami di ULU menguruskan sepenuhnya kesatuan pelajar universiti. ULU merupakan gabungan semua persatuan pelajar Universiti London yang mempunyai lebih 300 persatuan pelajar fakulti, institut, sekolah pengajian dan sebagainya.

ULU mempunyai pejabatnya sendiri (tetapi pejabat MPP UKM di PUSANIKA jauh lebih terserlah dari segi lokasi dan saiz lantai pejabat berbanding ULU yang terletak di aras 'basement' bangunan lama universiti). Bagaimanapun pejabat ini sentiasa sibuk dikunjungi oleh para pelajar. Banyak maklumat serta urusan universiti boleh diperolehi dari pejabat ULU. Tentunya pejabat ULU juga menjadi 'meeting point' untuk bertemu dengan rakan rakan sekuliah.

Dua perkara menarik tentang ULU ialah pertama, pejabatnya diuruskan oleh beberapa kakitangan (pekeranian dan pencucian) sepenuh masa yang gajinya di bayar oleh pihak ULU sendiri.

Keduanya, pendapatan utama ULU datang dari tiga sumber iaitu pertama, dana tetap dari pihak universiti yang kadarnya sekitar 30% sahaja. Kedua, sumbangan tetap dari persatuan alumni universiti yang merangkumi hampir 30%. Selebihnya diperolehi melalui perniagaan yang diuruskan oleh syarikat di bawah ULU.

Seingat saya tiga perniagaan utama ULU ialah perniagaan berkaitan travel & tours yang merangkumi perkhidmatan agen jualan tiket kapalterbang, program pakej percutian yang  mengunakan kad pelajar universiti (maksudnya ULU menjadi agen pendaftaran jika ada pelajar ingin bercuti di England, Scotland, Wales, Europe dan bahagian lain.Asalkan sahaja percutian tersebut membenarkan penggunaan 'student card' untuk mendapat harga yang paling murah.

Satu lagi perniagaan yang dijalankan oleh ULU ialah menguruskan cafe pelajar sendiri. Bukan sahaja cafe ini mengajikan pekerja sepenuh masa, segala galanya dari penyewaan, pembelian stok bahan mentah dan sebagainya diuruskan oleh para pelajar.

Cafe ini memberikan hasil yang cukup menguntungkan, pelanggannya bukan sahaja di klangan pelajar malah turut dikunjungi oleh para ahli akademik dan masyarakat sekitar. makanannya yang setanding dengan cafe lain di bandar London, pengurusan yang cekap serta perkhidmatan yang memuaskan. paling penting harganya lebih murah berbanding cafe cafe lain yang berdekatan.

Selain itu, pendapatan juga datang dari  penjualan buku buku, hasil dari jualan barangan cenderamata dari kedai souveneir milik ULU, sewaan tapak dari aktiviti jualan mingguan ala-flea market dan sebagainya. ULU tidak kekeringan pendapatan kerana bentuk perniagaannya adalah tetap dan mendapat sambutan para pelajar.

Oleh itu saya merasakan sudah sampai masanya MPP UKM mengerakkan ide untuk menjana kewangan mereka sendiri dengan menyediakan pakej pelancungan, homestay dan sebagainya sebagai satu bentuk perniagaan di pejabat MPPUKM. Selain itu ada baiknya dibangunkan cafe di depan pejabat PMUKM (nama lama MPPUKM) sebagai satu aktiviti tetap.

Keuntungan dari aktiviti perniagaan ini pastinya akan menampung keperluan MPPUKM melaksanakan aktiviti. Tetapi yang lebih penting, apabila melaksanakan perniagaan yang sesuai dalam kampus, MPPUKM akan dilihat bukan sekadar hanya aktiviti bermain politik  semata mata.