29 December, 2012

Pelajar UKM Perlu Lebih Hati Hati....

Setiap kali saya bertemu, berbual dan bertanya khabar dengan pelajar samada di kolej atau di fakulti, saya sering melihat kelakuan mereka. Sesuatu yang tidak dapat saya elakkan. Saya melihat cara mereka berpakaian, cara mereka mengemaskan rambut, pakaian yang mereka pakai dan cara pertuturan yang mereka lakukan. Tidak ketinggalan saya melihat apakah mereka itu jenis pemalu, rendah diri yang berlebihan dan tidak mempunyai 'keyakinan' untuk melakukan 'eye contact' dengan saya.

Jangan ingat saya sahaja yang melakukannya. Sebenarnya hampir semua orang termasuk anda juga melakukannya samada anda sedar antau tidak. Anda juga melakukan penilaian terhadap orang lain. Sebab itu kita akan kata 'bagus pelajar itu', 'sopan betul dia', 'wah,cantiknya dia', atau 'alangkah baiknya kalau aku secantik dia' dan berbagai lagi cara penilaian yang anda lakukan.

Saya seperti juga orang lain akan membuat persepsi bila berhadapan dengan pelajar. Bila berjumpa dengan pelajar yang mempunyai kemahiran bertutur dengan baik, lancar, yakin, punyai 'eye contact' yang berkesan, gaya berdiri yang baik, berjalan dengan kemas dan selalu tersenyum pasti saya akan mengatakan 'ini seorang pelajar yang berkeyakinan tinggi'.

Pada masa yang sama saya juga selalu berjumpa pelajar yang murung, tidak suka tersenyum, kelihatan lesu, berjalan dengan membongkok badan dan menundukkan kepala, berjalan dengan menyeret kasut sehingga mengeluarkan bunyi yang binggit, tidak ada kemahiran bertutur dengan baik dan tidak memandang wajah saya bila bertutur. Tanggapan saya selalu akan berkata " pelajar ini tiada atitud diri yang berkesan".

Jika anda dalam kumpulan ini, jangan merasa marah atau benci pada saya kerana SEMUA penemuduga juga akan melakukan persepsi yang sama pada anda bila anda melangkah masuk ke bilik temuduga nanti. Kalau anda ingin berniaga pun pelanggan anda juga akan melakukan tanggapan sedemikian. Anda tidak dapat lari dari kenyataan ini.

Oleh kerana semua penemuduga adalah orang yang biasanya sudah berpengalaman membaca perlakuan dan gaya dan isyarat badan seseorang calon, dalam masa 60 saat sahaja mereka sudah membuat keputusan samada untuk menolak terus atau menimbangkan seseorang calon yang ditemuduga. Jika mengambil keputusan untuk terus menimbangkan, mereka akan memerlukan beberapa minit lagi untuk samada menerima atau tetap menolak permohonan anda bekerja di syarikat mereka. Biasanya dalam tempoh 120 saat, seseorang penemuduga sudah membuat keputusan muktamad samada menerima atau menolak calon yang ditemuduga. Mudah bukan kerja mereka!

Mudah buat penemuduga tetapi sangat sukar buat calon yang ditemuduga. Untuk berjaya membina persepsi positif dalam masa 60 saat pertama, sebagai calon yang ditemuduga, anda memerlukan sesuatu yang 'outstanding' atau X factor. Cara anda berpakaian, cara kekemasan rambut dan solekan, personaliti luaran, gaya berjalan, cara bertutur memperkenalkan diri, penguasaan bahasa kedua dan ketiga, eye contact dan sebagainya akan berlaku pada tempoh ini. Tentunya semakin mencabar jika temuduga dijalankan dalam kumpulan di mana lebih dari satu calon ditemuduga dalam satu masa. Persaingannya tentu lebih hebat, yang lebih yakin diri pasti akan menonjol membayangi yang pendiam, yang tiada personaliti dan sebagainya.

Nasib anda di 60 saat yang kedua akan ditentukan oleh pengalaman anda. Soal akademik sudah tidak timbul lagi ketika ini. Itu telah diteliti semasa anda di pilih untuk datang ke temuduga. Di dalam bilik temuduga ialah masanya untuk anda menyakinkan penemuduga bahawa anda adalah pilihan yang paling tepat untuk syarikat mereka. Seolahnya rugilah kalau mereka lepaskan anda...

Apa yang ingin anda cakap ketika ini? Apa yang ingin anda 'highlight' tentang keupayaan anda? Apa kehebatan anda? Apa yang menguntungkan syarikat kalau memilih anda untuk bekerja dengan mereka? Apakah nilai tambah yang ada pada anda selain akademik, komunikasi yang berkesan, dan kekemasan fizikal? Apakah anda ada bukti tentang inovasi, kreativiti, pengiktirafan antarabangsa, marketing skills, problem solving semasa di kampus dan sebagainya? Sebab itu jangan diperkecilkan idea bagaimana menguruskan gangguan binatang liar di kampus atau projek kitar semula atau seumpamanya kerana mungkin jika anda telah berjaya menyumbang kepada selesaikan isu itu, majikan lebih berminat untuk mendengar cerita tersebut dari mendengar skor PNGK anda 3.50!

Atau kisah bagaimana anda telah berjaya mengumpulkan dana projek puluhan ribu ringgit semasa di kampus untuk tujuan kebajikan untuk mangsa bencana di dalam dan luar negara? Atau kisah banyaknya jaringan anda dengan para pegawai syarikat syarikat yang pernah bekerjasama dengan anda semasa menganjurkan aktiviti di kampus dulu? Paling asas pun berapa rakan baik anda yang buka dari kumpulan etnik anda sendiri ? Jika anda orang Melayu berapa ramai kawan karib anda yang berbangsa Cina dan India ?

Dunia di luar kampus akan menjadi semakin sukar...cabaran dan persaingan menjadi sengit. Kadang kala seperti tidak akan bersimpati dengan anda. Jadi berhati hatilah untuk terus berjaya di luar sana...