09 May, 2013

Orang Melayu, Orang Cina dan Orang Malaysia....

Hasil perbualan dengan rakan rakan rapat dari kaum Cina berkisar tentang pilihanraya 13, menjadi satu ramalan bahawa trend pengundi Cina untuk mula cenderung mengundi calon Cina akan berlaku, itulah yang saya dapat rasakan. Dan selepas keputusan piliharaya keluar nampaknya ia seperti ada sedikit sebanyak kebenarannya.

Sebenarnya trend ini bukan satu kesalahan, sebagai warganegara, sesiapa sahaja bebas untuk memberikan undi mereka kepada mana mana calon yang bertanding. Oleh itu untuk mengatakan orang Cina yang mengundi calon Cina dan tidak mengundi calon Melayu sebagai satu tindakan yang rasis, adalah sesuatu yang tidak benar sama sekali.

Pembesar Melayu...
Seperti dijangka, kerana undi Cina tidak lagi menunjukkan sokongan kepada parti melayu-Islam (UMNO dan PAS) secara siknifikan, tuduhan dan hujah melalui media massa dilemparkan kononnya orang Cina sudah menolak calon Melayu.

Saya masih belum dapat menerima hujah ini kerana tiada fakta yang spesifik menunjukkan keadaan ini benar benar berlaku. dan jika sekalipun berlaku, yakni orang Cina hanya mengundi calon Cina, itu tidak pernah dilihat sebagai satu kesalahan dalam apa juga dimensi nilai dan norma demokrasi yang dipraktikan di negara ini. itu hak individu.

Mereka harus menginsafi bahawa hak mengundi adalah hak kebebasan individu yang dijamin oleh perlembagaan negara. Hak mengundi bukan hak berdasarkan bangsa, etnik, suku kaum atau berkumpulan, hak mengundi dan hak untuk memilih adalah hak individu. kerana sifat individu itulah, terma 'undi anda adalah rahsia' terus dipertahankan intergritinya dalam mana mana piliharaya.

Jadi saya lebih suka melihat keputusan PRU 13 sebagai titik mula anjakan bahawa "orang melayu perlu mempertahankan hak dan maruah mereka, tetapi sama sekali tidak perlu menyerang hak dan kebebasan orang lain". Maksudnya jika pemimpin Melayu (PAS dan UMNO) merasakan parti mereka sudah tidak mendapat kepercayaan masyarakat Cina, maka adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk merangka bagaimana dengan semangat yang ada untuk segera mempertahankan hak dan maruah orang melayu, tetapi tidak boleh sama sekali menyerang atau menyalahkan orang lain (bukan Melayu) yang tidak memberikan undi kepada mereka.

Orang Melayu harus melihat isu kelemahan parti Melayu sebagai isu perpecahan antara mereka. Sebenarnya ini tidak ada kena mengena dengan orang bukan Melayu. Cumanya dalam kemajmukan politik, kelihatannya ada timbal balik antara politik orang melayu dan politik bukan Melayu. Eloklah orang Melayu menyelami kembali sejarah dan menginsafi 'kelemahan' mereka sebelum sewenang wenangnya menyalahkan mana mana pihak termasuklah pengundi bukan Melayu.

Secara sejarahnya, orang Melayu adalah penduduk asal Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia kemudiannya). Orang Cina hadir sebagai pedagang, kemudiannya atas kesungguhan bekerja, mereka mula diberikan peluang ekonomi oleh raja dan pembesar melayu untuk meneroka lombong lombong bijih timah, membuka ladang ladang lada hitam, getah dan sebagainya. Kerana kesungguhan dan kerja kuat mereka, orang Cina yang mulanya berdagang, mula diberikan peluang memulakan perniagaan di Tanah Melayu. Ini bukan diberikan secara percuma, mereka dikenakan bayaran berupa cukai dan sewaan oleh raja raja dan pembesar melayu.

Budaya kerja keras orang Cina dalam bidang ekonomi
di Tanah Melayu sejak dahulu sudah diakui para pengkaji
Bila Inggeris menguasai Tanah Melayu, peniaga Cina juga perlu membayar cukai kepada pihak kolonial Inggeris. Malah hasil cukai (state revenue) yang dibayar oleh pelombong dan peniaga Cina inilah kemudiannya telah digunakan oleh pihak kolonial untuk membina jalanraya dan pusat pentadbiran kerajaan. Ini fakta sejarah, kita tidak boleh nafikan sumbangan orang Cina dalam pembangunan Tanah Melayu.

Oleh kerana orang Cina bekerja kuat mereka berjaya menguasai ekonomi dan mula membina jaringan perniagaan di seluruh Tanah Melayu. Orang Cina sejak abad ke 18 telah berjaya menubuhkan ribuan persatuan perniagaan Cina di negara ini. Tujuannya untuk membantu ahli-ahli persatuan menjalankan perniagaan. Hasil permuafakatan ini, masyarakat Cina berjaya menguasai kuasa majoriti dalam ruang ekonomi Tanah Melayu sehinggalah hari ini.

Sehingga di satu peringkat, sebelum perang dunia kedua, mereka menguasai lebih 50% kekayaan Tanah Melayu, selebihnya dikuasai oleh kolonial dan sebahagian kecil oleh kelas elit Melayu. Kadar cukai yang dibayar oelh mereka juga semakin besar, dan telah digunakan untuk meningkatkan kemudahan untuk masyarakat Tanah Melayu, khususnya di kawasan bandar.

Perang dunia kedua merencatkan penguasaan ekonomi mereka, dan hanya mula kembali berkembang selepas perang. Jika mereka berjaya menguasai ekonomi dari hasil usaha mereka, mengapa pula orang Melayu perlu marah dan cemburu pada mereka? Betul orang Melayu penduduk asal Tanah Melayu, tetapi dalam usaha menguasai kekayaan, sesiapa juga yang berusaha akan mendapat hasilnya!

Cumanya orang Cina harus insaf bahawa walaupun mereka berjaya menguasai ekonomi Tanah Melayu, kejayaan mereka ketika itu bermula dengan sifat berlapang dada dan menerima dengan tangan terbuka oleh orang Melayu untuk mereka membina kejayaan. Jika ini dihayati, sifat saling bersyukur berterimakasih akan meningkatkan hubungan antara orang Melayu dan Cina di negara ini.

Itu kisah penguasaan ekonomi. Bagaimana dengan penyertaan politik orang Cina? Penglibatan politik oleh orang Cina di negara ini hanya bermula apabila British memperkenalkan Malayan Union (MU) pada 1946. Bermula bila idea memberikan kerakyatan kepada orang Cina secara 'jus soli' dimasukkan dalam cadangan pelaksanaan Malayan Union. Walaupun MU gagal kerana ditentang hebat oleh orang Melayu, idea pemberikan kerakyatan kepada orang Cina tetap diteruskan. Menurut Tun Dr Mahathir, lebih sejuta orang Cina mendapat kerakyatan secara automatik hasil dari Perjanjian Persekutuan 1948.

Sebagai tanda terima kasih kerana orang Melayu sudi menerima orang Cina sebagai 'saudara senegara', orang Cina pula bersetuju supaya hak istimewa orang Melayu diwujudkan dalam perjanjian Persekutuan 1948 dan Perlembagaan Malaysia 1957. Dengan ini kedua pihak, Cina dan Melayu mempunyai hak keistimewaan masing masing. Orang Cina sejak 1948 sehingga bila bila pun akan terus menjadi rakyat Malaysia dari satu generasi ke generasi, dan orang Melayu pula diberikan hak keistimewaan sebagai penduduk asal (bumiputera) dalam perlembagaan negara.

Mesyuarat Membina Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu
pada tahun 1948 di Hotel King House Kuala Lumpur
Dengan pemberikan kerakyatan, orang Cina dan orang Melayu sama sahaja tarafnya. Mereka boleh mengundi, mereka juga boleh menjadi ahli politik dan mana mana yang terpilih akan masuk ke Parlimen atau DUN untuk membina dasar dan perundangan negara. Maka kewarganegaraan yang diperolehi oleh orang Cina dan India yang dipersetujui oleh orang Melayu telah menjadikan kuasa politik negara ini bukan milik orang melayu sahaja, tetapi dikongsi oleh orang Cina dan juga India.

Jika di abad 18 dan 19 orang Cina telah berjaya menguasai ekonomi Tanah Melayu atas usaha kuat mereka dan disokong dengan tangan terbuka oleh orang melayu, bermula pilihanraya pembandaran 1955, orang Cina juga telah bersama sama dalam membina lanskap politik negara ini. Kini, sejak merdeka pada 1957, samada anda Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Siam dan sebagainya, anda semua adalah sama sahaja. anda warganegara Malaysia. Itu asasnya.

Tetapi kerana politik, asas ini mula dipertikaikan. Pada anda yang mahu berfikir, anda akan memahami pertikaian ini. Namanya pun bermain politik, maksudnya  satu "permainan seni mempengaruhi untuk mendapatkan kuasa". Masing masing ahli politik cuba meraih undi dari rakyat. Tentulah berbagai cara harus digunakan.

Tetapi semakin 'celik politik' di kalangan rakyat, akan semakin sukar untuk ahli politik sewenangnya 'mempengaruhi' rakyat. Jika dulu dengan hanya ceramah berdegar-degar, rakyat sudah 'terbeli' untuk memberikan undi, hari ini rakyat sudah mampu mempersoalkan mana hujah, mana fakta, mana sumber dan apakah implikasinya kepada kehidupan mereka kepada ahli politik?

Jika dulu rakyat tunduk bila berhadapan dengan pemimpin politik, hari ini rakyat sudah faham pemimpin politik adalah 'hamba' kepada kesejahteraan rakyat, bukan lagi tuan. Mana mana pemimpin politik yang berkhidmat sambil lewa, sombong, tidak jujur, kurang cekap dan membazir akan pasti ditolak oleh rakyat. Oleh keran untuk mempengaruhi rakyat, soal hubungan orang melayu dan orang Cina tidak pernah sunyi dalam permainan politik Malaysia.

Ahli politik yang tidak bertanggungjawab suka menggunakan isu perkauman untuk membina kebencian antara kaum di negara ini. Strategi "divide and rule" dengan menggunakan isu perkauman sejak dahulu seringkali menguntungkan mereka, walaupun jangka panjangnya merugikan kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.

Jika anda bertanya apakah akan terjadi selepas ini, saya akan secara tegas mengatakan, semua ini perlukan anak anak muda Malaysia untuk memberikan 'nasihat' kepada generasi ahli politik tua yang suka menggunakan isu perkauman dalam berpolitik. Anak anak muda harus bertegas menolak politik perkauman, dan berusaha membina 'trust' antara anak muda Cina, Melayu dan India demi masa depan mereka sendiri.

Nyata, zaman mereka sudah berbeza dengan zaman ahli politik yang sudah berusia lanjut. Politik perkauman mungkin sesuai di era 70an dan 80an, tetapi tidak sesuai lagi di era ini. Dulu orang Melayu di kampung bertani, orang Cina di bandar berniaga dan orang India di estet, sebagai buruh ladang. Mereka tidak bertemu secara aktif seperti mana hari ini.

Hari ini orang Melayu, Cina dan India sudah bercampur gaul di pejabat, di kedai kedai dan juga bekerja di syarikat syarikat. malah juga di media sosial. Mereka juga telah gunakan bahasa Inggersi sebagai bahasa komunikasi yang seperti sudah berjaya membina perpaduan antara mereka (kita pastinya sangat kecewa kerana bahasa Malaysia masih tidak jelas kejayaanya sebagai bahasa komunikasi harian untuk perpaduan pada generasi muda Malaysia, BM nampaknya hanya sekadar berjaya menjadi bahasa rasmi sahaja).

Maka pada orang India, orang Melayu dan orang Cina... insaflah dan sama samalah kita menjadi orang Malaysia...jika itu yang anda benar benar mahukan.