01 May, 2013

Mengapa Pesta Pantun UKM Semakin Hilang Serinya?

Malam tadi (29 April) telah berlangsung Pertandingan Akhir Pesta Pantun UKM 2013. Pesta Pantun merupakan salah satu aktiviti pelajar UKM yang panjang sejarahnya dan dianjurkan secara tradisi hampir setiap tahun, seingat saya sejak tahun 1985.

Dulu Piala Pusingannya adalah sumbangan Profesor Dato Dr Ismail Hussein (kini piala tersebut sudah menjadi milik IZISH setelah menjadi juara tiga kali berturut turut), kemudiannya Piala Pusingan kedua disumbangkan oleh Profesor Dr Noriah Mohammad (ATMA) dan sekarang piala pusingannya adalah sumbangan Ybhg Dato Seri Utama Rais Yatim.

Dulu acara ini adalah acara pertandingan interkolej. Sejak dua tahun kebelakangan ini formatnya diubah kepada pertandingan bersifat terbuka yang boleh disertai oleh pelajar melalui  fakulti atau pasukan pelajar yang tidak wakili kolej atau fakulti. Asalkan pesertanya adalah pelajar UKM.

Seingat saya, acara Pesta Pantun ini sangat meriah dan ditunggu tunggu. Setiap kali pelajar baru mendaftar di kolej, para senior (khususnya JAKSA kebudayaan) akan mula mencari bakat bakat baru untuk mewakili kolej dalam Pesta Pantun UKM. Mereka berlatih saban minggu kerana Pesta Pantun menggunakan format yang unik, di mana peserta perlu membalas pantun yang 'dijual' secara spontan, tanpa bantuan pen dan kertas.

Semuanya dilakukan dalam minda secara bayangan. Cukup-cukup mengujakan bila masa yang diperuntukan bagi 'membeli' pantun hanya 80 saat sahaja. Mana nak bina ayat maksud, mana nak cari ayat pembayang, juga mesti memilih tidak kurang 9 dan tidak lebih 11 sukukata dan rima yang mesti memenuhi hukum dalam berpantun.

Malah lebih mencabar bila pemilihan perkataan mesti ada logiknya..seperti tidak boleh "pokok rotan tegak berdiri (sebab pokok rotan menjalar!) atau jika pembayangnya menggunakan frasa-frasa yang sedih, tetapi ayat maksudnya tidak boleh menonjolkan rasa ria dan riang...dan banyak lagi hukum hukum pantun yang lain.

Oleh itu Pesta Pantun adalah acara berprestig yang bukan sahaja mengangkat budaya bangsa Melayu tetapi juga mencabar kreativiti serta keupayaan berfikir para mahasiswa. Tidak salah jika saya katakan seni berpantun adalah antara seni budaya Melayu yang mempunyai nilai estetika yang sangat tinggi dan pada masa yang sama juga bersifat membangunkan nilai moral dan kreativiti yang hebat sesuai dengan apa juga zaman.

Malangnya suasana malam semalam di Panggung Seni UKM agak 'sunyi' dan hambar berbanding suatu ketika dulu. Bilangan penyertaan pasukan pantun yang dulunya mencecah 16 pasukan (ada beberapa kolej termasuk IZISH yang menghantar 2 pasukan) sekarang hanya disertai oleh enam pasukan sahaja. Tiga kolej sahaja yang menghantar pasukan mereka. Selain IZISH, hanya Kolej Aminudin Baki dan Kolej Tun Syed Nasir sahaja yang mengambil bahagian sedangkan UKM mempunyai 12 buah kolej. Tiga lagi pasukan datangnya dari fakulti.

Jumlah penonton pertandingan akhir malam semalam juga sangat kurang berbanding dulu. Saya masih ingat dulu, gegak gempita Panggung Seni UKM dengan sorakan setiap kumpulan penyokong kolej yang bertanding apabila pasukan kolej mereka berjaya 'membeli'  pantun pihak lawan.

Suasana hangat berpesta pantun sudah tiada lagi. Tepukan penonton juga semakin malap dan lesu. Walhal, saya akui persiapan dan komitmen pihak Pusat Kebudayaan UKM sekarang jauh lebih hebat berbanding dulu. PUSKEB telah menyediakan pentas yang begitu cantik dengan konsep era 60an, diselang seli dengan persembahan nyanyian, yang dulunya langsung tidak ada. Begitu juga dengan hadiah yang lebih besar dan menarik. Sekalung tahniah buat Pusat Kebudayaan UKM yang telah memberikan sokongan kuat kepada penganjuran Pesta Pantun UKM.

Saya melihat fenomena ini sebagai sesuatu yang membimbangkan. Saya setuju dengan pandangan rakan saya yang menjadi ketua Juri Pesta Pantun UKM, Encik Abdullah Che Ya, pensyarah UKM yang melihat penyertaan yang semakin berkurang sebagai sesuatu yang membimbangkan (Beliau ialah Naib YDP Persatuan Mahasiswa Persuratan Melayu FSSK ketika saya sebagai YDP persatuan tersebut. Persatuan PPM ini telah saya hidupkan kembali atas bimbingan Prof Dr Sahlan Mohd Saman yang ketika itu Timbalan Dekan FSSK, dan sekarang persatuan ini terus aktif dengan nama baru Persatuan Mahasiswa Pengajian Melayu FSSK).

Apa puncanya sekarang, Pesta Pantun UKM semakin kurang sambutan dari pelajar kolej kediaman UKM. Saya berikan dua sebab utama. Anda boleh bersetuju atau boleh juga tidak bersetuju, kedua-duanya saya raikan. Pertamanya, pada saya inilah kesan 'kebijaksanaan' pelajar mengendalikan Kontrak Pembelajaran (LC), keduanya ini adalah kesan bila format pertandingan yang dibuka kepada bukan kolej.

Isu LC telah beberapa kali saya bincangkan. Semakin hari pelajar UKM semakin 'bijak' dalam mengaturkan bagaimana mereka menyelesaikan beban ko-kurikulum 8 kredit mereka melalui LC. Mereka mula tahu dan selalu diajarkan oleh para senior mereka supaya dalam melaksanakan LC, lakukan yang mudah mudah dan yang senang senang sahaja. Misalnya, mereka 'dinasihatkan' oleh para senior supaya dapatkan LC untuk projek lawatan amal, atau anjurkan hari keluarga di kolej (biasanya akan ramai pelajar menjadi 'penumpang' atau 'sleeping partner' di dalam program tersebut), dan jangan sekali kali cuba untuk terlibat dengan aktiviti yang berat tanggungjawabnya serta memerlukan komitmen masa dan tenaga yang tinggi.

Misalnya, pelajar seboleh bolehnya tidak akan sertai untuk  menjadi pembahas, penari kesenian, pelakon teater atau pemantun. Juga jangan menjadi atlet yang memerlukan latihan yang intensif untuk mewakili kolej atau universiti. Atau pelajar cuba mengelak dari menganjurkan aktiviti seperti seminar atau bengkel yang memerlukan pelajar membentangkan kertas kerja dan sebagainya. Ini semua adalah program yang sangat berat dan mengambil masa. Lebih baik lakukan program yang mudah dan one-off sahaja.

Akibatnya, 'kebijaksanaan' yang dilakukan ini telah menjadikan aktiviti pelajar UKM mula bersifat remeh, picisan dan tidak lagi berterusan. Sifatnya sudah ad-hoc dan semakin dilakukan secara ringkas dan tidak lagi berimpak tinggi.

Tetapi saya juga akui masih ada segelintir aktiviti di mana pelajar UKM yang benar benar memahami bahawa mereka seharusnya bukan melengkapkan LC, tetapi yang lebih diutamakan mengapa mereka menganjurkan aktiviti untuk meningkatkan softskills. Secara langsung ini juga akan melengkapkan LC mereka.

Maka kumpulan yang faham tujuan dan prinsip LC yang sebenar akan terus menganjurkan aktiviti yang berkualiti tinggi, mempunyai impak yang baik kepada pembangunan softskill, berorientasikan kebolehpasaran dan meningkatkan reputasi dan nama baik UKM. Tetapi jumlah aktiviti sebegini semakin mengecil di UKM.

Sebab kedua mengapa Pesta pantun semakin sunyi ialah jika dulu progranm ini bersifat interkolej kini tidak lagi. Kita harus faham, salah satu yang agak unik di kalangan kolej kediaman ialah semangat pertandingan yang cukup tinggi antara mereka. Semangat bersaing secara positif ini menjadi satu motivasi kepada semua kolej berusaha untuk bertanding dan melihat kolej mana yang paling hebat.

Tetapi bila format ini diubah sejak dua tahun lalu, membenarkan pasukan bukan kolej juga terlibat, penyertaan kolej menjadi semakin kurang. Apatah lagi sejak dua tahun lepas yang menjadi johannya bukan dari kalangan kolej kediaman lagi tetapi yang mewakili fakulti. Ini juga menjadi faktor yang mengurang motivasi pasukan kolej dalam pertandingan  Pesta Pantun UKM.

Kita sangat berharap Pesta Pantun ini akan kembali subur di UKM. Sekurang kurangnya sebagai sebuah universiti bertaraf kebangsaan, Pesta pantun melambangkan citra UKM dalam memartabatkan pantun warisan bangsa.

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa