28 May, 2013

Bakal Felo Kolej UKM: Sila Tunjukkan Keupayaan Anda...

Felo yang hidup bersama pelajar dalam kampus pasti memahami
keperluan dan aspirasi pelajar UKM.
UKM sekarang mempunyai kira kira 150 orang felo. Setiap felo dibayar saguhati sebanyak RM300 sebulan dan disediakan penginapan fully furnished (rumah atau bilik). Ini bermaksud UKM membelanjakan RM45,000 sebulan atau RM540,000 setahun untuk felo. Tentunya pengurusan UKM khususnya pengurusan HEPA mengharapkan pelaburan ini memberikan hasil terbaik untuk kesejahteraan para pelajar di kolej kediaman.

Jika anda telah mengisi borang permohonan untuk menjadi seorang felo kolej kediaman UKM, anda tentu mengetahui bahawa bermula minggu lepas dan akan berterusan dalam beberapa minggu akan datang, para calon felo telah dan akan melalui sesi temuduga bersama pengurusan HEPA UKM. Ini adalah syarat utama sebelum anda layak dilantik sebagai seorang felo kolej kediaman. Ini amalan yang telah lama dijalankan di UKM, juga dihampir semua IPTA lain.

Tentu sahaja sebagai bakal felo, anda telah tahu apakah peranan asas felo. tentunya yang paling utama ialah tanggungjawab menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar di bawah jagaan anda. Ada kolej UKM yang menggunakan sistem blok sebagai 'sempadan tugas' seseorang felo menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar kolej. tetapi ada juga tidak begitu, disebabkan bentuk fizikal bangunan kolej yang tidak dibina rumah felo di setiap blok pelajar.

Selain tugas asas ini ini,  felo juga diberikan tanggungjawab hakiki untuk membangunkan kemahiran insaniah pelajar di kolej. Mereka perlu tahu dan faham konsep LC, 8 kemahiran insaniah dan 7 bidang teras aktiviti pelajar. Selain itu mereka juga harus mengambil tanggungjawab sentiasa menyedarkan pelajar dalam semua aktiviti akan peripentingnya softskills dalam kerangka kebolehpasaran selepas graduan. Dalam menjayakan peranan felo menjaga kebajikan, keselamatan dan pembangunan insaniah pelajar di kolej, tidak dapat tidak setiap felo seharusnya mempunyai beberapa kemahiran asas.

Pertama, mereka harus berupaya membina karisma untuk mendapatkan rasa hormat pelajar kepada mereka. Tentu sahaja seseorang felo yang bertingkahlaku buruk, nakal, selekeh dan tidak menonjol watak sebagai seorang  pemimpin tidak sesuai menjadi seorang felo. Jika sekalipun mereka dilantik, mereka akan melalui satu keadaan yang sukar untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang felo bila tidak dihormati oleh pelajar. Karisma felo juga boleh diperolehi dari sikap mengambil berat, penyayang serta sentiasa ikhlas membimbing pelajar.

Kedua, tanggungjawab felo untuk menjayakan pembangunan pelajar di kolej masing masing memerlukan mereka mempunyai pengalaman, pengetahuan serta kemahiran berorganisasi ketika belajar dahulu di peringkat pra siswazah. Seorang bakal felo yang mempunyai kemahiran berorganisasi, cekap mengatur dan menyelaraskan kerja, memahami prosedur dan peraturan mesyuarat, bijak membantu pelajar menyediakan proposal dan laporan projek serta  keupayaan berkomunikasi secara formal akan mempunyai banyak ruang untuk membangunkan pelajar. Manakala felo yang dulunya ketika belajar adalah seorang yang pasif, tidak beraktiviti, suka menyendiri, tidak bijak berkomunikasi serta tiada keupayaan memimpin tidak akan banyak membantu dalam usaha UKM memajukan pembangunan diri para pelajarnya. Jika pun mereka dilantik sebagai felo, mereka kurang berjaya memberikan input kepada keberkesanan penganjuran program peljar di kolej.

Program Kelestarian IZISH...
Ketiga, seorang felo yang baik juga merupakan mereka yang memahami perubahan masa. Jika dahulu di zaman mereka kebanyakkan projek bersifat dalaman dan kekeluargaan seperti hari keluarga dan lawatan sambil belajar, hari ini teras program pelajar mestilah berimpak tinggi. Misalnya program harus dibentuk secara jelas memberikan impak yang tinggi kepada pembangunan diri, penjenamaan nama baik UKM serta memberikan kesan kepada komuniti.

Oleh itu bakal felo perlu memahami aspirasi pemegang taruh graduan (ibubapa, majikan dan masyarakat) akan apakah bentuk graduan UKM yang ingin dihasilkan. Felo juga punya peranan yang besar dan memenuhi harapan mereka. Berdasarkan data terkini di JPPEL, program kerjaya, khidmat masyarakat, kesukarelewanan, keusahawanan dan kepimpinan semakin mendapat tempat di hati pelajar UKM.

Keempat, seperti mana mana institusi dan organisasi lain, walaupun felo adalah jawatan sukarela
(dengan saguhati disediakan oleh UKM), para felo tertakluk kepada peraturan serta etika kerja yang digariskan oleh UKM pada semua kakitangannya. Oleh itu menguasai serta memahami peraturan tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan sebagai seorang felo adalah penting. Soal integriti, profesionalisme serta kecekapan tidak boleh dikesampingkan oleh mana mana felo yang dilantik oleh pihak UKM.

Kelima, perubahan masa juga menyebabkan keupayaan mahasiswa berfikir pada hari ini lebih baik dan terbuka. Felo harus bersedia untuk menguruskan kepelbagaian pelajar kerana latarbelakang mereka sekarang semakin rencam. UKM bukan sahaja mempunyai pelajar dari pelbagai kaum, etnik dan agama, tetapi juga mempunyai pelajar antarabangsa dari pelbagai negara yang tinggal di kolej. Memahami budaya dan corak pemikiran pelajar hari ini sangat diperlukan dalam usaha menjadikan urusan felo lebih berkesan. Malah kita juga akan semakin ramai pelajar siswazah di kolej kolej kediaman dalam masa terdekat.

Jika anda berminta untuk berkhidmat sebagai seoramng felo, ambillah sedikit masa untuk fikirkan tentang tiga persoalan di bawah ini;
  1. Mengapakah pelajar UKM perlukan anda sebagai felo mereka? Apakah anda seorang yang boleh dijadikan 'role model'?
  2. Apakah keunikan dan kelebihan utama anda yang secara langsung akan menyumbang kepada pembangunan pelajar? janganlah berikan jawapan yang umum misalnya "saya baik hati" atau "saya seorang penyayang", bimbang anda diminta buktikan nanti! Jika anda menyatakan anda seorang sukakan cabaran dan boleh menyumbang kepada program 'outdoor" di kolej, buktikanlah apakah pencapaian peribadi anda. Mungkin anda sudah ke kemuncak Gunung Tahan, Gunung Kinabalu atau sebagainya. Ini akan banyak membantu anda nanti.
  3. Apakah input baru-inovasi-pendekatan yang akan anda cadangkan jika anda dilantik sebagai felo nanti? Jika anda seorang yang 'passionate'  bekerja untuk pembangunan pelajar UKM, pastinya anda akan ada banyak idea dan cadangan membangunkan pelajar UKM...
Di bawah pelan transformasi, UKM berazam akan menjadi antara universiti terbilang di dunia menjelang 2018. Masa yang ada sangat pendek, sekitar 5 tahun dari sekarang. Pelajar yang akan mendaftar di UKM pada September tahun ini akan menjadi kumpulan pertama bergraduan pada 2018, jika mereka melakukan pengajian empat tahun. Di sinilah para felo perlu diperkasakan sebagai wadah membangunkan pelajar yang akan menyambut 2018 nanti.

Oleh itu para bakal felo kolej UKM yang akan menghadiri temuduga...Sila tunjukkan keupayaan anda...