29 May, 2013

MAJLIS EKSEKUTIF PELAJAR (MEP) KOLEJ DAN ANDA



Kewujudan JAKSA di kolej kediaman UKM  bertujuan menjaga kebajikan pelajar kolej. Pada peringkat awal, JAKSA bertanggungjawab memastikan semua pelajar yang tinggal di dalam kolej mengenali antara satu sama lain. Kecuali Kolej Ibu Zain yang menggunakan Majlis Eksekutif pelajar sejak 1996 (sejak mula didiami pelajar) semua kolej lain menggunakan nama JAKSA sehingga tahun 2012. 

Mulai Februari 2013, nama JAKSA telah ditukarkan kepada Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) di semua kolej kediaman UKM. Nama MEP telah disahkan sebagai nama rasmi bagi jawatankuasa pelajar di peringkat kolej kediaman UKM oleh pihak pengurusan UKM. Ini tentunya sesuai mengambil semangat dengan usaha transformasi UKM ke arah sebuah universiti yang terbilang menjelang 2018. 

MEP adalah sebuah JAWATANKUASA yang dilantik. Oleh itu sifatnya adalah eksekutif. Fungsinya ialah sebagai pembantu-penyokong- malah boleh dianggap sebagai ‘kakitangan kolej’ yang membantu pihak kepengetuaan untuk mengurus tadbir kolej. Ini berbeza dengan PERSATUAN yang melalui proses pengundian melalui pemilihan dalam mesyuarat agung. 

MEP yang dilantik ditugaskan secara jelas untuk melaksanakan tugasan yang diberikan kepada mereka oleh pihak pengurusan kolej dan pihak pengurusan UKM. Jika JAKSA merujuk kepada fungsi kebajikan pelajar kolej, MEP mempunyai ruang lingkup yang lebih luas dan besar. Konsep kebajikan pelajar tidak lagi hanya berkisar soal bilik penginapan, kesihatan, keselamatan dan kebajikan tetapi telah melangkaui kepada persoalan kebolehpasaran, pembangunan softskills, jaringan industri dan khidmat sosial kepada komuniti luar kampus. 

Konsep Majlis Eksekutif Pelajar adalah bermaksud membuka ruang -ruang baru dalam meningkatkan kebolehupayaan pelajar tanpa meninggalkan urusan menjaga kebajikan asas pelajar di kolej kediaman. Istilah Majlis Eksekutif juga menuntut badan ini menjadi lebih sistematik, profesional dan berintegriti tinggi. Dokumentasi menjadi sesuatu yang sangat penting dan diutamakan. Bagi membantu proses memperkasakan dokumentasi MEP, IZISH telah menubuhkan unit dokumentasi di uPIN. Dalam jangka masa terdekat, bila sistem dokumentasi telah mantap, urusan ini akan diserahkan sepenuhnya kepada MEP untuk menguruskannya. Dokumentasi aktiviti, pengiktirafan, persijilan, menyertai pertandingan dan penganugerahan akan dilakukan oleh MEP pada masa akan datang. 

Majlis ini juga diberikan peruntukan one-off setiap tahun oleh pengurusan kolej. Sebagai sebuah majlis, ahli ahli eksekutif akan membuat keputusan sendiri bagaimana menggunakan peruntukan tersebut secara optima dan berhemah di dalam penganjuran aktiviti pelajar. Di IZISH, pihak pengetua tidak masuk campur dalam urusan penentuan bagaimana peruntukan yang disediakan akan digunakan. Itu sebabnya mulai 2013, MEP IZISH telah membuat keputusan yang tepat bila buat pertama kalinya di kalangan kolej kediaman, mereka akan membentangkan pencapaian serta laporan kewangan MEP sepanjang sesi ini pada semua pelajar. 

Ini merupakan langkah yang bijak dalam membina integriti dalam MEP. Ini bukanlah sesuatu yang WAJIB mereka lakukan sebagaimana persatuan atau MPPUKM yang mendapat mandat melalui pengundian, tetapi lebih sebagai satu proses memperkasakan integriti MEP di mata pelajar. 

UKM sudah menyediakan pelan strategiknya dan kita sedang berada di 60 meter terakhir larian 100 meternya. Setakat ini cahaya kejayaan sudah mula bersinar di hujung penamatnya. Rangking UKM semakin meningkat dan dengan unjuran yang ada sekarang, kita yakin UKM boleh mencapai tahap yang disasarkan pada 2018. Semua pihak dari pengurusan UKM, pensyarah, tenaga penyelidik dan kakitangan pentadbiran sedang bekerja keras sekarang. Maka kita akan sentiasa mendengar pelbagai program pengurusan kualiti, mod pengajaran baru (termasuk ifolio), learning Contract, program keusahawanan dan berbagai-bagai lagi sedang dilaksanakan. 

Jika kita tidak memahami kepesatan ini adalah satu isyarat bahawa UKM sedang maju ke depan dengan laju, kita pasti akan terpinga-pinga dan mengalah. Kita akan merungut dan menidakkan apa yang sedang dilaksanakan. Kita menjadi kelu dan seperti tidak bersedia untuk sama -sama berlari dengan visi UKM 2018. Inilah juga yang menjadikan MEP diangkat menggantikan JAKSA. Kita mengharapkan perubahan nama ini bukan sekadar perubahan kulit semata-mata tetapi juga isinya. Roh MEP dan roh JAKSA tidak boleh sama. Cara MEP bekerja dan Jaksa bekerja juga tidak boleh sama. Malah pemikiran serta budaya MEP juga tidak lagi boleh di kongkong sebagai mana Jaksa bekerja. 

MEP bekerja berasaskan tuntutan pemegang taruh (stakeholder) termasuklah pengurusan UKM dan pengurusan kolej. MEP harus bekerja meningkatkan keupayaan pelajar UKM selari dengan keperluan majikan dan aspirasi masyarakat.Majikan perlukan graduan yang kompeten, berdaya saing, mahir berkomunikasi dalam sekurang kurang dwi bahasa, bijak membuat keputusan yang tepat, rasional dan boleh bekerja dalam satu pasukan untuk mencapai matlamat syarikat. Majikan juga perlukan graduan yang cemerlang akademiknya serta inovatif. 

Di atas segala gala ini mereka perlukan graduan yang mempunyai bakat (talent). MEP punya peranan mencungkil kemahiran soft skills, pengetahuan dan bakat rakan -rakan mereka di iZISH. Ini peranan kedua selepas menjaga kebajikan kehidupan pelajar di kolej.Oleh itu sebagai warga iZISH, anda berhak mengambil tahu akan perancangan dan pencapaian setiap eksekutif MEP yang telah dilantik oleh pihak pengurusan HEPA. 

Begitu juga sebagai penghuni iZISH anda berhak tahu bagaimana usaha MEP menjana kewangan untuk menjayakan program-program iZISH sepanjang satu sesi yang lalu. Anda juga mempunyai hak untuk mencadangkan program- program yang anda fikirkan berfaedah untuk pelajar iZISH. Malah yang tidak kurang pentingnya, anda juga harus sentiasa bersama pasukan MEP untuk menjayakan aktiviti -aktiviti yang telah dirancangkan.

(Ini merupakan teks ucapan pengetua sempena ucapan serah tugas dan watikah perlantikan MEP iZISH 2013-2014 (Rabu 29 Mei 2013 di iZISH Arena).