31 August, 2012

Wujudkah "Political Literacy" di kalangan Mahasiswa UKM?

Saya berpeluang menjadi moderator dalam forum kemerdekaan malam semalam di DECTAR UKM. Ahli panel forum ialah Prof Ulung Datuk Shamsul Amri dan Leftenan Jeneral Datuk Seri Zaini Mohd Said. Satu pengalaman yang berharga bila berpeluang bersama dua tokoh negara.

Salah satu isu yang menarik telah disentuh oleh Prof Ulung Dr Shamsul ialah tentang 'political literacy' atau celik politik yang semakin berkembang dalam masyarakat negara ini. Tidak seperti waktu dulu yang mana masyarakat melihat politik sekadar aktiviti membuang undi lima tahun sekali dan usaha menjadi ahli mana mana parti politik. Mereka ketika itu tidak ada upaya untuk membicarakan soal kepolitikan negara secara kontrusktif.

Itu dulu, sekarang semua mula berubah. Hari ini sudah kelihatan tak kira masyarakat bandar atau desa mula berupaya menilai, mengkritik serta menyatakan pandangan mereka tentang perancangan, perlakuan serta idea yang diberikan oleh mana mana parti politik atau ahli politik; dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Dulu, pemikiran mengkritik akan dikatakan sebagai pemikiran untuk menentang dan menolak. Hari ini budaya mengkritik sudah mula diterima sebagai sebahagian daripada isyarat bahawa rakyat ingin bersama sama dalam kepolitikan. Misalnya bila seseorang memberikan teguran atau kritikan itu tidak bermakna ia menolak dan tidak mengundi parti tersebut, tetapi kerana beliau ingin terlibat dalam kepolitikan parti tersebut. Hari ini, seseorang yang mengkritik parti UMNO, PAS atau PKR atau apa juga parti tidaklah boleh dikatakan menentang parti yang dikritik secara total sebaliknya ini satu dimensi baru kepada budaya celik politik.

Di UKM, adakah hal seperti ini sedang berlaku? Saya kira tidak berlaku, atau lebih tepat masih belum berlaku. Mengapa? tentunya kerana budaya untuk mengalakkan mahasiswa celik politik masih belum dilakukan. Mereka masih tidak menunjukan sikap ingin turut serta dalam kepolitikan tanah air. Pada saya tahap celik politik mahasiswa masih rendah. Tetapi tidak semuanya!

Tentu ada yang tidak bersetuju dengan saya. Apakah dengan sebegitu banyak program politik yang disertai mahasiswa, sebegitu banyak demonstrasi jalanan, begitu banyak piliharaya kampus di jalankan masih belum membuktikan mahasiswa cukup celik politiknya?

Saya ini katakan, fahami dahulu antara celik politik, buta politik dan kuda tunggangan politik. Secara ringkas celik politik boleh membawa maksud faham dan jelas tentang sejarah perkembangan politik tanah air, sedar dan tahu tentang undang undang khususnya perlembagaan negara, jelas dan tahu tentang dasar serta perjuangan setiap parti politik, faham akan halatuju, matlamat serta aspirasi masyarakat untuk masa depan dan kemudiananya berupaya meletakkan pilihan masing masing ditempat yang sesuai. Menjadi kuda tunggangan politik tentunya lebih seronok dan mudah untuk mahasiswa. Mereka tidak perlu tahu semua apa yang telah saya sebutkan di atas, tiada sejarah, tiada pelembagaan dan sebagainya. Cukup sekadar hadir beberapa program parti politik, dibenamkan dengan semangat perjuangan dan kembali ke kampus sebagai 'jentera' yang kononya mereka sanggup mati untuk parti politik yang dicintai.

Mahasiswa tidak berani untuk menyatakan pandangan sendiri apatah lagi jika pandangan tersebut mungkin berbeza dengan pandangan parti politik pujaan mereka. Mereka menjadi buta politik walaupun sangat aktif sebagai 'jentera'. Mereka menunggu untuk disogokkan dengan maklumat dan kata kata semangat dari parti yang mereka sokong sahaja tanpa ingin pun menyelidik, meneliti dan memikirkan apakah kebaikan dan keburukan tindakan mereka. Dan lebih sedih lagi bila mereka mula melihat ketaksuban mereka memberikan sokongan akan membuka peluang untuk mereka diberikan tempat atau 'jawatan kecil' dalam parti politik di luar sana.

Sudah sampai masanya mahasiswa berdiri sendiri sebagai satu kumpulan intelektual di negara ini. Mereka harus mempunyai idealisme dan prinsip perjuangan yang kukuh dan jelas. Dasar idealisme mahasiswa seharusnya meletakkan iman, ilmu, amal sebagai dasar perjuangan mahasiswa. Mempunyai keupayaan untuk memberikan pandangan secara konstruktif kepada pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang.

Tentunya tidak semua apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan itu buruk dan tidak semua apa yang dilakukan oleh parti pembangkang itu semuanya baik. Mahasiswa seharus berupaya menelitinya secara bijaksana dan rasional. Apakah ini sedang berlaku? Apakah setelah begitu luas keterbukaan pihak kerajaan di dalam menerima pandangan mahasiswa, mereka telah gunakan sebaiknya? Saya fikir masih banyak ruang yang belum diterokai oleh mahasiswa pada hari ini.

Maka itu pimpinan mahasiswa harus lebih membina budaya celik politik dalam kampus agar mahasiswa yang keluar dari UKM mempunyai kesedaran tentang pentingnya kertelibatan mereka dalam kepolitikan negara. Jika tidak, tidak ada bezanya mahasiswa yang bertahun tahun belajar di menara gading dengan orang lain!