27 August, 2012

Krisis Kecairan Idealisme Mahasiswa: Antara 'Celik Politik' dan 'Celik Parti' di IPT

Pindaan seksyen 15 AUKU 2012 secara langsung telah membenarkan pelajar di semua IPT negara ini berpolitik. Walaupun secara jelas pindaan ini masih tidak membenarkan parti politik masuk kampus, pelajar dibenarkan untuk berpartisipasi dalam politik di luar kampus. Mungkin nampak mudah di atas kertas untuk memahami fenomena ini tetapi di alam nyata adalah sangat sukar untuk membina sempadan apa yang dimaksudkan "pelajar boleh aktif berpolitik di luar kampus tetapi pada masa yang sama tidak membenarkan parti politik masuk ke dalam kampus". Kiasannya "seorang anak boleh menghisap rokok di luar rumah tetapi tidak boleh bawa rokok masuk ke rumah". Bukankah kesannya sama sahaja? Sekadar cukup kalau ibubapa tidak nampak perlakuan merokok anak anak, itu dianggap memadai?

Sejak dulu saya setuju AUKU di pinda. Malah itulah perjuangan mahasiswa pro kerajaan dan pro pembangkang sejak era 1970an lagi. Janganlah kita lupa sejarah ini seolahnya perjuangan ini hanya dimulakan oleh mahasiawa era 2000 semata mata.

Tetapi saya tak sepenuhnya bersetuju AUKU dipinda sehingga membawa kepada wujudnya budaya politik luar kampus menjangkiti politik dalam kampus. Pada saya, pindaan AUKU seperti tidak menyokong semangat sebuah universiti sebagai pusat ilmu dan pusat mendidik warganya. AUKU 2012 menyebabkan IPT sebagai institusi 'pendidikan politik' hilang peranannya.

Oleh itu pindaan  AUKU harus dalam bentuk mengangkat maksud universiti sebagai sebuah pusat pendidikan yang terhormat. Pindaan itu bukan sekadar untuk mencelikkan mahasiswa kepada mengenali parti politik tetapi yang lebih besar maksudnya ialah pindaan AUKU 2012 seharusnya mencelikkan mahasiswa tentang konsep ideologi politik, demokrasi, tanggungjawab, hak dan keamanan (social cohesion) atau ummah. Ini lebih besar dari sekadar masuk aktif dalam politik luar kampus. Apabila mahasiawa celik politik (bukan sekadar celik tentang parti politik), mereka akan mempunyai perspektif sendiri kepada apa juga isu dan dasar yang dilaungkan oleh pihak kerajaan dan pihak pembangkang. Mereka akan berdiri atas dasar dan prinsip yang jelas iaitu pemeliharaan hak, tanggungjawab, demokrasi dan keamanan ummah.

Kini pindaan AUKU akan membenarkan apa yang dulunya dilakukan secara bersembunyi, dilakukan secar terbuka. Hari ini semua parti politik sedang berlumba lumba membuka 'cawangan' di dalam kampus. Sebelum pindaan AUKU, hal ini juga telah berlaku tetapi secara 'senyap-senyap'.. Tujuannya menarik mahasiswa menjadi ahli parti mereka. Kesannya, mahasiswa mula hilang idealisme mereka tetapi akan menunggang idealisme parti parti politik di luar kampus. Ini satu krisis idealisme mahasiswa yang sangat menyedihkan. Mereka dalam jangka panjang akan hilang identiti perjuangan kemahasiswaan tetapi sekadar 'melukut di tepi gantang' dan menjadi pengikut mana mana parti politik sahaja.

Saya suka memanggil fenomena ini sebagai KRISIS KECAIRAN IDEALISME MAHASISWA dan bersedih dengan apa yang berlaku.