23 November, 2015

UPSR: Bhg 2

UPSR bermaksud Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. Matlamatnya ialah mengukur adakah anak anak di peringkat sekolah rendah sudah atau belum lagi mencapai tahap minima yang ditetapkan sebelum ke sekolah menengah. Dan jika belum mencapai maka langkah langkah intervensi pendidikan perlu segera diambil selepas UPSR, sebelum anak anak ini memulakan persekolahan sekolah menengah.

Bagi tahun 2015, seramai 38,344 (8.67%) pelajar mendapat keputusan semua A. Tahniah atas pencapaian mereka. Manakala 255,801 (57.6%) pula lulus UPSR minima sekurang kurang mendapat gred C dalam semua  matapelajaran. 

Di bawah sekali, terdapat seramai 152,262 (34.3%) pelajar yang dilabelkan oleh sistem pendidikan sebagai GAGAL dalam UPSR kerana hanya mendapat gred D atau E sahaja dalam semua matapelajaran UPSR.

Ada dua soalan untuk kita bersama fikirkan.

1. Mengapa dan siapa calon UPSR yang dapat gred D dan E ini? Dalam sidang media, hanya disebut sekolah yang dapat semua A sahaja, itu sahaja yang diberikan perhatian, mengapa sekolah yang banyak pelajar dapat gred D dan E tidak pula diberikan perhatian? Apakah ini kumpulan sekolah kawasan pendalaman? Atau sekolah yang terpinggir dari bantuan sebagaimana yang diperolehi oleh sekolah prestasi tinggi, sekolah kluster atau sekolah elit? Siapa kumpulan ibubapa pelajar yang mendapat gred D atau E ini? Buruh? Pekerja kilang? Petani dan nelayan? Kita tidak diberitahu.

2. Tujuan UPSR sebagai ujian pencapaian ialah memastikan intervensi dapat dilakukan pada yang pelajar yang pencapaian lemah. Jadi apakah agenda intervensi pada pelajar lemah selepas keputusan UPSR diumumkan? Amalan sekarang selepas UPSR, pelajar tidak lagi ada sebarang proses pengajaran dan pembelajaran kerana sukatan pelajaran telah tamat. Bagaimana dengan anak anak yang 'gagal' UPSR ini? Apakah anak anak ini yang mendapat gred D dan E akan terus juga ke sekolah menengah dalam keadaan mereka tidak mencapai tahap minima pendidikan sekolah rendah? Dan mereka akan kekal lemah di sekolah menengah nanti?