23 November, 2015

UPSR Bhg 1

(1) UPSR adalah satu ujian pencapaian yang penting. Tujuannya untuk memastikan anak anak di sekolah rendah mencapai tahap yang telah di tetapkan sebelum melangkah ke sekolah menengah.

(1) Tetapi sejak dulu saya tidak setuju dengan cara pihak sekolah, Kementerian Pelajaran dan media perdana meraikan pencapaian ini secara agak berlebihan. Kadang kala agak pelik juga pada saya. Ini hanya Ujian Pencapaian sahaja. Yang dapat A maknanya telah capai standard, yang tidak capai A maknanya perlukan intervensi supaya mencapai standard yang ditetapkan. Itu sahaja tujuan UPSR. Tetapi lain pula jadinya. Siap berkumpul di dewan ambil keputusan, panggil seorang demi seorang, kemudian yang dapat 5A dikumpulkan, diberikan ucap tahniah, bergambar dengan ahli politik, pengarah dan pengetua, ada pula yang diadakan jamuan kesyukuran khas. Dapat hadiah, bunga dan dipeluk tahniah oleh para cikgu. Media pula melapurkan agak berlebihan. Hari ini sahaja, dua mukasurat penuh akhbar Utusan Malaysia hanya tentang UPSR!! Begitu juga dengan beberapa akhbar utama yang lain.

(3) Di peringkat ibubapa, saya tidak nampak ini satu masalah. Tentu kita sebagai ibubapa gembira bila anak anak berjaya. Maka kita raikanlah kejayaan anak anak kita di rumah. Puji dan banggalah anak kita atas kejayaan dan usaha mereka. Mereka patut diraikan. 

(4) Tetapi di sekolah, mengapa anak yang dapat 5A telah diraikan secara berlebihan sehinggakan pelajar yang dapat 4A 1B atau yang kurang dari itu menjadi 'mangsa psikologi' pelabelan yang serius. Kalau ditanya berapa markah beza A dan B dalam UPSR, bezanya hanya 2-10 markah sahaja. 

(5) Tetapi hukuman psikologi yang dikenakan pada pelajar yang dapat 4A 1B sangat berat. Mereka dilayan macam manusia gagal. Apatah lagi yang dapat 4A 1B bila pulang ke rumah, disambut pula dengan wajah kecewa dari ibubapa.

(6) Setiap tahun hampir 500 ribu yang ambil UPSR, hanya 30 ribu sahaja yang dapat semua A. Ada hampir 50 ribu dapat 4A dan ratusan ribu yang lain dapat 3A dan 2A. Bayangkan bagaimana anak anak yang tidak dapat semua A menerima tekanan paikologi? Mereka masih terlalu muda untuk dilabelkan sebagai gagal...

(7) Saya pernah mengajar pelajar tingkatan satu dulu. Saya pernah dengar sendiri anak anak dalam kelas saya berkata " saya tak pandai cikgu, sebab UPSR dulu saya hanya dapat 4A saja". 

(8) Kelihatannya anak anak ini hilang keyakinan diri, hilang motivasi dan hilang kepercayaan pada potensi mereka, hanya kerana di sekolah rendah mendapat 4A dalam UPSR. Berbaloikah mereka dihukum begitu?