01 October, 2013

Alur Ilmu UKM Semakin Lesu?

Anak Sungai Cheonggyecheon, di tengah bandaraya Seoul, Korea Selatan.
Di bandaraya Seoul Korea, terdapat sebuah anak sungai kecil yang merentasi bandaraya ini dari timur ke barat, dan masyarakat Korea menamakan anak sungai sebagai Cheonggyecheon. Sejarahnya, selepas perang dunia kedua, sungai ini merupakan antara sungai paling tercemar di dalam dunia.  Industri berat dan budaya hidup tidak terurus penduduk Korea era pasca perang menyebabkan percemaran sungai ini sangat serius. Selama lebih 50 tahun tidak ada sesiapa yang ingin mengubah atau menyelesaikan isu percemaran sungai ini.

Tetapi mulai tahun 2003, transformasi mula dilakukan hasil usaha Dato Bandar Seoul Lee Myung Bak dengan sokongan ahli majlis pembandaran Seoul, kini sungai ini telah menjadi antara tarikan pelancungan di bandaraya ini. Telah mula di buka pada 2005, berbagai aktiviti street performance, pameran dan jualan diadakan sepanjang sungai ini. Bagaimana sebuah sungai yang dahulunya dibiarkan tercemar dan kotor kini telah ditransformasikan menjadi pusat rekerasi dan aktiviti masyarakat bandaraya Seoul dan pelancung, sememangnya sesuatu yang sangat mengagumkan. Ini juga melambangkan kegigihan dan perjuangan masyarakat Korea menghargai sesuatu yang menjadi milik bangsa mereka.

Di UKM, kita juga punyai anak sungai yang kita namakan Alur Ilmu. Merentasi dari Fakulti Sains Nuklear hinggalah ke pintu masuk utama UKM bersebelahan dengan Masjid UKM. Dulunya, ketika saya masih bergelar mahasiswa, Alur Ilmu ini sentiasa mengalirkan air yang jernih dan sering menjadi tempat pelajar beristirehat atau menunggu waktu kuliah seterusnya sambil melihat ikan ikan yang begitu banyak berenang. Nama Alur Ilmu juga sendiri secara jelas telah memberikan penghormatan kepada tradisi keilmuan yang disanjung di UKM. Itu dulu, hari ini Alur Ilmu sudah hilang penghormatannya. Kini Alur Ilmu Kotor, busuk dan memualkan. Ikan ikan juga sudah semakin pupus. Di beberapa kawasan, keadaan Alur Ilmu sangat menjijikkan.

Sebagai satu usaha, pada tahun ini Majlis Eksekutif Pelajar MEP cuba mencabar keupayaan mereka untuk berjuang memulangkan kembali sesuatu yang dahulunya menjadi milik warga UKM. Mereka impikan Alur Ilmu kembali bersih airnya dan suasana yang menenangkan disekelilingnya. Cabaran ini besar dan berat, tetapi jika masyarakat Korea boleh melakukannya, tentu sahaja dengan iltizam yang besar oleh pelajar ini akan mendapat sokongan warga UKM. Semua pihak punyai tanggungjawan untuk melakukan sesuatu dalam kapasiti masing masing untuk membangunkan semula Alur Ilmu ini. Jika buruk, busuk dan kotornya alur ilmu, kita semua warga kampus kena akui itulah sebahagian lambang keperibadian sebenarnya tentang kasih sayang kita pada institusi UKM.

Dua hari lepas (Ahad 29 September 2013) pemimpin pelajar MEP-KIZ (Tengku Adiduddin) menyelungsuri alur ilmu dan merakamkan foto foto ini untuk dikongsikan dengan semua warga UKM betapa lesunya Alur Ilmu UKM. 









































(Photo: Courtesy to Tengku Adiduddin, Ketua Eksekutif MEP KIZ)