25 September, 2013

Kehebatan Mahasiswa Kerana Budaya Ilmunya, Bukan Kerana Soraknya...

Saya kena akui bahawa budaya keilmuan di kalangan pelajar IPT kita masih di tahap yang rendah. Mohon dibezakan maksud saya 'budaya ilmu' dengan program pengajian yang diikuti oleh pelajar. Memang tanggungjawab pelajar ke kuliah atau makmal, itu juga mencari ilmu tetapi saya tidak ertikan itu sebagai satu budaya. 

Budaya ilmu pada saya ialah satu cara hidup atas keinginan sendiri yang meletakkan aktiviti keilmuan di tahap yang tertinggi. Dan ilmu pula itu diletakkan di atas nilai nilai yang kita pegang. Pada yang beragama  Islam, maka keilmuan diletakkan atas akidah dan nilai nilai Islam. Begitu jugalah pada pengikut agama dan kepercayaan lain.

Malam Sabtu lalu (14 September) saya hadir ke Syarahan Umum Syed Muhammad Naquib Al Attas. Inilah yang sering saya lakukan setiap malam minggu jika tidak bersama keluarga untuk makan malam dihujung minggu. Mendengar syarahan dari pemikir seperti beliau pasti akan membuka ufuk pemikiran kita dalam melihat atau memahami sesuatu fenomena dalam masyarakat. Soal mengapa masyarakat ada yang miskin dan ada yang kaya, mengapa rasuah menjadi-jadi, mengapa kapitalisme menguasai diri manusia, mengapa Islam dipandang serong oleh penguasa Barat dan sebagainya.

Kita tidak akan dapat kefahaman ini sekadar duduk dan membaca sahaja. Apatah lagi jika kita tidak mahu membaca. Jika kita tidak memahami fenomena maka jadilah kita seperti "pak turut setia" atas semua perkara. Akal yang dikurniakan oleh Allah swt dipersiakan begitu sahaja.

Ketika belajar di Universiti of London dan juga semasa lawatan kerja di Universiti Oxford, saya tidak akan ketinggalan cuba hadir dalam banyak acara syarahan umum. Memang mengasyikan bila melayan pemikiran sendiri yang cuba mencari pemahaman atas sesuatu perkara.

Malangnya di IPT kita, aktiviti sebegini sangat kurang dilaksanakan. Jika dilakukan pun kekerapannya sangat rendah. Malah dalam beberapa syarahan yang dianjurkan ia bersifat eksklusif (atas jemputan sahaja). Dan rata rata disasarkan pada ahli akademik sahaja. Pelajar samada tidak dilibatkan atau pelajar sendiri tidak berminat, nyata bukan sasaran sebagai audien dalam majlis ilmu seumpama ini.

Ini harus diubah. Pelajar adalah waris urusan keilmuan. Mereka harus dibudayakan dengan budaya ilmu. mereka mesti hidup dengan budaya ilmu. Pelajar harus diberikan penghormatan untuk hadir ke majlis majlis ilmu sebegini di universiti. 

Pelajar juga boleh menganjurkan majlis ilmu sebagai satu budaya. Malangnya dalam beberapa acara yang  majlis ilmu anjuran pelajar yang sempat saya ikuti, majlis tersebut lebih bersifat politik dan terlalu berpihak. Pelajar UKM memerlukan majlis ilmu yang disampaikan oleh sarjana dan ilmuan yang lebih mengutamakan ilmu dari soal soal lain. Bukan sekadar berpolitik, ceramah agama aras rendah yang penuh kelucuan yang diselang seli dengan unsur kelucahan. Pelajar UKM perlukan sarjana yang dapat mengupas fenomena masyarakat yang diasaskan kepada epistemologi, ontologi dan metodologi dalam mendekati sesuatu fenomena. Sebagai mahasiswa, mereka harus memahami mengapa fenomena ini wujud. Secara epistemologi dan juga ontologinya.

Ini yang belum ada. Termasuklah di UKM. Saya mengimpikan satu hari nanti akan ada syarahan umum (public Lecture) bulanan di UKM yang disampaikan oleh pemikir pemikir utama dunia. Dari dunia Timur dan dunia Barat. Tentunya juga dari para sarjana dan ilmuan tempatan yang berwibawa.

Pada masa yang sama juga pelajar UKM perlu menganjakkan minda mereka untuk belajar menikmati 'kelazatan' majlis ilmu lebih dari konsert murahan atau majlis majlis hiburan yang kurang mencabar intelektual mereka. Ingatlah, jika pelajar ingin dihormati sebagai mahasiswa, maka mereka harus mula belajar menghormati budaya ilmu terlebih dahulu...