09 October, 2013

Fahamilah Dulu Mengapa GMUKM Itu Dikatakan Gerakan Haram di UKM.

1.Sejak beberapa hari lepas, saya menerima banyak pertanyaan berkaitan istilah gerakan haram GMUKM, persatuan berdaftar Aspirasi dan hubungannya dengan PRK UKM dari pelajar tahun satu. 

(2) Terima kasih atas soalan sedemikian. Pada saya, semakin ramai pelajar baru UKM kini yang ingin memahami politik kampus secara lebih evaluative dan tidak emosional.

3. Mengikut PERATURAN PERATURAN PEMILIHAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA 2012, Perkara 17 (1) ada menyatakan " Semua calon yang bertanding di dalam pemilihan MPP hendaklah bertanding atas status atau kapasiti individu dan bukan mewakili mana-mana kumpulan atau platform di dalam dan di luar kampus". 

(3) Secara jelas peraturan ini tidak membenarkan, samada kumpulan itu berdaftar atau tidak berdaftar bertanding dalam pemilihan kampus. Semuanya tetap tidak dibenarkan dalam pemilihan MPP. hanya calon secara individu sahaja yang dibenarkan. Maknanya apa juga logo, simbol atau apa apa yang menunjukkan calon secara berkumpulan bertanding adalah melanggar peraturan.

(4)  Persoalannya, adakah di UKM, semua calon yang bertanding telah melanggar peraturan dalam perkara 17(1) ini bila dikatakan mereka bertanding atas parti GMUKM atau Aspirasi Mahasiswa? Jawapannya setakat ini TIDAK. Mereka yakni calon, tidak melanggar peraturan tersebut kecuali mereka secara sengaja telah dibuktikan menggunakan logo, simbol atau apa apa yang boleh diterjemahkan sebagai bersifat berkumpulan. Sebab itu jika ada calon yang ada logo perkumpulan dan menjadikannya sebagai pengenalan semasa berkempen, maka perbuatan itu telah melanggar peraturan pemilihan kampus. hatta yang mudah sekalipun misalnya ada calon yang upload profile picture di facebook, instagram atau twitter dengan menggunakan logo, nama atau simbol perkumpulan, percalonan beliau boleh dibatalkan jika mendapat aduan atau bantahan.

(5) Pihak lawan politik boleh memohon percalonan seseorang calon dibatalkan jika terbukti mana mana calon secara sengaja bersekutu dengan apa apa yang bersifat simbol berkumpulan. Seingat saya,  belum ada setakat ini mana mana calon pun yang pernah melanggar peraturan ini kerana sebagai calon, mereka faham secara teknikal mereka bertanding atas tiket individu. 

(5) Sebab itu atas kertas undi hanya nama dan gambar mereka sahaja yang dicetak. Tidak pernah ada logo GMUKM atau Aspirasi atau sebagainya yang dicetak di kertas undi PRK UKM.

(6) Tetapi yang menjadi perdebatan ialah bolehkah wujud kumpulan GMUKM, kumpulan Aspirasi atau mana mana kumpulan yang menyokong calon calon tersebut. Dalam hal ini, tidak ada mana mana bahagian dalam Peraturan Pemilihan PRK yang melarang pelajar lain samada secara individu atau berkumpulan dalam memberikan sokongan kepada mana mana calon. 

(7) Malah Peraturan telah membenarkan wujudnya Pencadang dan Penyokong kepada calon dalam Perkara 19 (1-9) dan Perkara 20(1) berkaitan wakil calon " mana-mana calon boleh melantik di kalangan pelajar berdaftar yang berstatus aktif untuk menjadi wakil calon untuk dirinya bagi membantunya berkempen". Maksudnya Peraturan Pemilihan membenarkan calon disokong oleh sekumpulan pelajar lain untuk mengerakkan kempennya..

(8) Jadi mengapa saya menolak GMUKM aktif dalam piliharaya UKM? Jawabnya sebab GMUKM tidak berdaftar. Soal apa yang diperjuangkan atau apa ideologi mereka, itu tidak menjadi isu pada saya. Itu hak masing masing dan kebebasan untuk bersuara. 

(9) Tetapi untuk bergerak di dalam UKM, jika ingin berpersatuan dan berkumpulan, ada logo dan organisasinya, mestilah berdaftar dulu. Itu ada dalam peruntukan universiti. Jika pimpinan GMUKM tidak boleh mematuhi dan menghormati undang undang universiti dan negara yang sudah sangat jelas, wajarkah saya dan pihak pengurusan UKM menghormati mereka? 

(10) Saya tidak ada masalah jika persatuan pelajar yang berdaftar di UKM ingin memberikan sokongan dan berkempen secara terbuka untuk mana mana calon piliharaya kampus yang mereka percaya boleh memajukan kebajikan pelajar UKM, samada dari Aspirasi, ISIUKM, PMFPI, UPSM, Rakan Masjid atau sebagainya. 

(11) Tetapi saya tidak dapat menerima atau mengiktiraf mana mana kumpulan yang tidak berdaftar dan bergerak secara haram termasuklah GMUKM menjalankan kempen dalam PRK UKM. 

Ada implikasinya.

(12) Tanpa prejudis atau melihat dari kacamata politik sempit kampus, pada saya, membenarkan atau menutup 'sebelah mata' dengan membiarkan GMUKM berkempen samalah seperti kita di UKM membuka peluang wujudnya kumpulan haram yang lain mengambil kesempatan sebegini. 

(13) Bayangkan kalau pelajar dari kumpulan ajaran Syiah juga ingin berkempen memberikan sokongan pada mana mana calon PRK UKM pada masa depan. Ada logo Syiah dan organisasinya. Atau bagaimana pula jika ada kumpulan haram di kalangan pelajar yang bersimpati dengan Parti Komunis juga berhasrat akan berkempen untuk calon PRK UKM, atau kumpulan LGBT juga turut berkempen untuk mana mana calon di UKM? Apakah kita boleh menerima tindakan begitu?

(14) Apakah pihak UKM akan benarkan dan menutup sebelah mata jika kumpulan begini juga ingin berkempen? Atau apakah ketika itu baru kita di UKM terhantuk tergadah untuk menegah dan melarang kumpulan yang tidak berdaftar dari berkempen? Nanti pasti kita akan dipertikaikan tidak berlaku adil."Mengapa masa kumpulan GMUKM yang haram berkempen boleh, tapi kami dari kumpulan Syiah, LGBT atau komunis nak berkempen di UKM untuk calon yang kami sokong tapi tak boleh? Siapa nak jawab? Pada saya, kita harus hormati peraturan universiti.