31 August, 2013

Mitos Perpaduan Kaum....

Di dalam memahami isu hubungan kaum di Malaysia, kita seringkali menggunakan istilah perpaduan (unity). Kita jarang atau hampir tidak menggunakan istilah kesepaduan (cohesion).

Apa beza antara keduanya? Perpaduan membawa maksud menjadi satu, berpadu, bergabung atau bercampur sehingga kita tidak lagi mengenali bentuk asal. Bila warna kuning dan hijau bercampur atau berpadu, warna biru akan muncul. Kita tidak lagi dapat melihat warna asalnya tetapi kita tahu warna biru terhasil dari warna kuning dan hijau.

Kesepaduan pula bermaksud seiring, bersama, selari atau harmoni. Kesepaduan tidak bermaksud berpadu sehingga hilang bentuk asalnya. Bila kita mendengar muzik, keharmonian bunyi datang dari berbagai alat muzik yang dimainkan secara bersama, seiring dan saling melengkapi.

Tetapi jika kita dengar dengan teliti kita masih boleh membezakan bunyi bunyi yang dihasilkan samada dari gitar, gendang, drum, trompet, piano dan sebagainya. Sifat keharmonian muzik yang merdu itu datangnya dari sifat saling melengkapi antara satu sama lain dalam irama tersebut. maka identiti bunyi dari setiap alat muzik kekal berbeza, tetapi ia melengkap antara satu sama lain.

Bagaimana dengan bentuk hubungan etnik/kaum di Malaysia? Apakah kita inginkan bentuk yang berpadu menjadi satu atau bersepadu secara harmoni tanpa menghilangkan identiti asalnya?
Sehingga ini kita tidak ada jawapan yang tepat. Oleh itu kefahaman kita harus diperdalamkan.

Kita kena kembali kepada sejarah bagaimana bentuk hubungan etnik/kaum ini dimulakan. Apakah bentuk awal yang kemudiannya menjadi teras budaya dalam masyarakat sehingga diterima oleh semua.

Hubungan kaum kaum di Malaysia bermula secara berperingkat. Pertama, keberadaan orang Melayu di bumi semenanjung ini. Sejarah telah membuktikan orang melayu adalah orang asal, yang pertama dan yang paling awal menjadi penghuni bumi semenanjung. maka ini hakikat yang perlu diterima dan menjadi teras.

Bolehkah fakta ini diubah? Tidak boleh. Kita tidka boleh mengubahnya walaupun kita mahu mengubahnya. Sejarah telah begitu. Ibaratnya bolehkah kita atas alasan tidak suka nama kampung tempat di mana kita telah dilahirkan, mengubah fakta bahawa kita lahir di kampung lain. Mungkin kita boleh menukarkan di seribu dokumen tetapi sejarah tetap sejarah. Sejarah telah menyebabkan kita akan kekal begitu.

Orang Cina, India, Pakistan, Arab dan sebagainya datang ke Tanah Melayu, kemudiannya. Oleh kerana orang Melayu ketika itu sudah mempunyai sistem kerajaan, pemerintahan, undang undang serta sistem masyarakat maka mana mana kumpulan yang datang ketika itu dinamakan sebagai imigran.

Tetapi jika ketika itu belum ada kerajaan Melayu, belum ada undang undang atau sistem masyarakat, tentulah kehadiran kumpulan ini tidak lagi dikatakan sebagai imigran. Ini juga satu sejarah yang harus diterima, suka atau tidak ia akan tetap kekal begitu.

Maka kehadiran imigran dalam ruang masyarakat Melayu di semenanjung tentulah menimbulkan pertentangan nilai dan norma hidup. 
Sistem nilai, keagamaan, bahasa, cara hidup orang melayu, Cina dan India adalah berbeza. Pendidikan serta ruang perumahan menambahkan lagi jurang perbezaan ini. Pihak kolonial melakukan apa yang dipanggil 'pecah dan perintah' untuk menguruskan hal ini. Akibatnya orang Melayu tinggal di kampung asal mereka, Cina di bandar dan lombong manakala orang India di estet dan ladang milik kolonial.

Pecah dan perintah ini bukan sahaja dalam ekonomi tetapi juga dalam hal pendidikan dan penempatan. Pendidikan di tanah melayu menjadi sistem vernakular iaitu satu sistem pendidikan yang diasaskan kepada bahasa ibunda. Maka lahirlah sekolah Melayu, Arab, sekolah Inggeris, Sekolah Cina dan Tamil di seluruh Tanah Melayu.

Apa yang dipelajari di sekolah, itulah yang digunakan sehingga alam dewasa. Akhirnya kerana pendidikan, masyarakat Malaysia mula terbentuk sifat, identiti dan ruang yang berbeza beza. Sebelum merdeka, kepelbagaian ini tidak menimbulkan banyak masalah. Orang Melayu kekal di kampung, Cina di bandar dan India di estet.

Tetapi bermula sekitar 1950an membawa kepada  akhir 1970an, industrilisasi, perkilangan serta perkembangan ekonomi dunia telah membawa kepada penghijrahan orang melayu dan india ke bandar bandar, pusat berlakunya industrilisasi. Maka pertembungan nilai, perebutan peluang ekonomi, timbul rasa irihati dan tidak puashati mula berkembang, di mana hal yang seperti ini tidak berlaku sebelumnya. Kemuncaknya ialah 13 Mei 1969.

Bagaimana kita ingin menguruskan hubungan kaum di negara ini? Adakah kita bersetuju berpadu dalam menguruskan kepelbagaian ini? Apakah kita ingin menjadi satu, meninggalkan bentuk asal identiti kita untuk bersatu, berpadu dan bergabung dengan kaum kaum yang lain?

Melihat kepada cara berfikir dan bertindak di kalangan semua kaum di Malaysia, jawapnya tentulah tidak. Jika pun semua kita bersetuju bergabung, kita lebih cenderung untuk bersetuju jika gabungan itu harus mengikut cara kaum kita, bukan cara kaum kaum yang lain. Akhirnya kita 'berbohong' pada diri sendiri bahawa kita sebenarnya ingin berpadu.

Apa yang sebenarnya kita sebagai seluruh rakyat Malaysia inginkan ialah bersepadu. Kita ingin terus kekal dengan cara hidup asal kita tetapi pada masa yang sama kita bersedia untuk menjadi pelengkap kepada kehidupan bersama kaum kaum yang lain.

Kita inginkan kehidupan yang ada kepelbagaiannnya ini diharmonikan. Kita ingin bahasa Melayu, bahasa Mandarin, Tamil dan sebagainya kekal sebagaimana asalnya. Malah kita pasti ingin untuk melihat anak Melayu bertutur fasih dalam bahasa Mandrin atau Tamil. Kita juga pasti ingin melihat anak anak kaum Cina dan India fasih dalam bahasa Melayu.

Oleh kerana kita telah salah membuat tafsiran dengan membawa obor untuk berpadu, maka sampai bilapun kita tidak akan dapat mencapai objektifnya kecuali kita bersedia untuk berkahwin campur (kahwin dengan pasangan dari kaum bukan sama dengan kita).

Maka akan lahirlah anak anak yang benar benar hasil perpaduan. Selain bentuk ini, kita harus menerima hakikat bahawa usaha membina kesepaduan lebih berkesan dari sekadar slogan untuk perpaduan semata mata.

Apakah asas dalam membina kesepaduan?

Pertamanya, tentulah bermula dengan pemahaman dan penghayatan sejarah. Keduanya, kesediaan menerima kontrak sosial sebagai asas untuk bersepadu. Ketiga, menghormati undang undang dan perlembagaannya.

Seterusnya yang ke empat, membawa kepada kesaksamaan dan keadilan sosial untuk semua. Semua kaum tidak boleh dipinggirkan. Adil tidak bermaksud sama. Keadilan bermaksud meletakkan hak pada tempatnya. Jika si miskin layak lebih banyak bantuan dari si kaya, itu adalah meletakkan hak pada tempatnya.

Sekolah harus segera memahami maksud kesepaduan, Seterusnya melakukan perlaksanaan dalam pengajaran dan pembelajaran. Anak anak mula dibina konsep menghormati budaya hidup kaum lain, menghormati agama dan bahasa kaum yang lain.

Begitu juga para pelajar harus diberikan peluang untuk mula meneliti konsep toleransi, muhibbah, meraikan serta mengiktiraf kaum lain secara telus dan konsisten. Lebih banyak interaksi dianjurkan antara anak anak dari kaum yang berbeza.