21 August, 2013

Felo Kolej Kediaman, Mari Berubah Sebelum Diubah....


  1. Semalam (19 Ogos 2013), pihak Majlis Pengetua dan JPPEL telah berjaya anjurkan Bengkel Pemantapan Felo Kolej Kediaman bagi tahun 2013 di Danau UKM. 
  2. Bengkel ini diadakan setiap tahun, kadangkala di dalam kampus UKM, jika ada peruntukan kewangan pernah juga dianjurkan di luar kampus UKM.
  3. Sejak dulu, di mata pihak pengurusan UKM, institusi felo perlu dipertahankan. Malah kepercayaan bahawa institusi ini penting di dalam menguruskan hal ehwal pelajar tidak pernah luntur dan dinafikan. 
  4. Di negara luar, institusi felo juga ada di dalam persekitaran kampus. Di Universiti Oxford misalnya, institusi felo menggunakan istilah "Don". Para Don merupakan ahli akademik muda yang mempunyai reputasi akademik yang baik dan sering menjadi rujukan para pelajar. 
  5. Sebagai Don mereka selalu mengadakan perbincangan, diskusi, dialog serta ceramah akademik secara berkala pada pelajar di kolej masing masing. Institusi Don sangat dihormati oleh para penghuni kolej kerana nilai nilai serta pengetahuan akademik yang dimiliki oleh para Don yang dilantik oleh pihak College Master/Principal/Guardian di kolej kolej.
  6. Di Malaysia istilah felo digunakan sebagai 'pembimbing' kepada para pelajar di kolej kolej kediaman. Seperti 'Don', peranan felo sebenarnya penting dalam menjadi rujukan membina budaya ilmu di kolej kolej kediaman. Pada awalnya, idea mewujudkan institusi felo adalah lantikan pengurusan universiti di kalangan ahli akademik. 
  7. Sehingga tahun 2001, felo juga dibantu oleh pasukan tutor penghuni yang dilantik di kalangan pelajar sarjana dan PhD. Hari ini kriteria ini sudah tiada lagi. Instituysi Felo sekarang telah bercampur campur, ada felo dari kakitangan akademik, kakitangan sokongan dan juga dari kalangan pelajar siswazah. Kepelbagaian ini sedikit sebanyak telah melenyapkan tujuan asal kewujudan felo bagi meningkatkan budaya intelektual dan budaya ilmu di kolej kediaman.
  8. Hari ini, perana felo dijelmakan dalam bentuk yang sangat berbeza. Sekarang setiap felo diberikan amanah menjaga kebajikan pelajar. Menghantar pelajar sakit ke hospital, mengambil kunci pendua di pejabat apabila pelajar tertinggal kunci bilik, membuat spot check, mengeluarkan amaran serta 'saman' pada pelajar yang melakukan kesalahan di kolej. pada saya, peranan felo jauh tersimpang dari maksud asalnya.
  9. Malah di UKM selepas 2008, institusi felo juga diberikan tanggungjawab baru, sebagai pembimbing aktiviti pelajar di kolej sebagai cara untuk meningkatkan pembangunan softskills para pelajar UKM.
  10. Persoalannya, sejauh mana institusi felo ini akan bertahan dalam persekitaran kampus yang semakin kuat berubah? 
    • Perlaksanaan LC versi 2013-2014, pasti akan menjauhkan aktiviti pelajar dari pandangan mata felo, lebih lebih lagi akan semakin banyak aktiviti dianjurkan di fakulti. Perlaksanan LC akan menggunakan khidmat penyelia (sekurangnya kurangnya memiliki kelulusan sarjana dan keutamaannya dari kalangan ahli akademik dan penilai LC dari lantikan pihak fakulti sepenuhnya).
    • Sistem aduan dalaman secara online sedang dipertingkatkan keberkesanannya. Dalam masa terdekat, para pelajar di kolej kediaman akan boleh terus membuat aduan kerosakan kepada penyedia perkhidmatan (UPP, JPP, JPPEL etc) tanpa perlu melalui felo felo lagi.
    • Atas faktor kos, universiti akan lebih teliti membuat pemilihan dalam melantik felo bergantung kepada  kelayakan, bakat, pencapaian serta kelebihan kritikal yang ada pada felo. Misalnya, felo yang ada kemampuan meningkat penguasaan bahasa pelajar tentulaha akan diberikan keutamaan. Begitu juga felo yang memiliki kemahiran yang tinggi dalam sukan, seni, kepimpinan, usahawan, pidato dan inovasi pasti akan menjadi pilihan pengurusan UKM. Oleh itu jumlah felo pasti akan dikurangkan, dan hanya yang benar benar layak akan dilantik.
  11. Jika begitulah halnya, bagaimana institusi ini akan terus dipertahankan. Apakah ada jalan untuk memperkasa institusi ini untuk terus bertahan dalam satu jangka masa yang lebih panjang di UKM?
  12. Saya berkenyakinan institusi felo ini masih relevan, samada LC ada atau tiada. Begitu juga samada sistem aduan dalam atas talian ada atau tiada. Samada kos kewangan mendesak atau tidak. Pada saya,  empat tindakan jangkapendek harus dilakukan SEGERA bagi meningkatkan kerelevanan institusi felo ini di UKM.
    • Pertama, institusi felo harus diterjemahkan sebagai satu badan penggerak 'budaya ilmu' di kolej kolej kediaman UKM. Para felo bersama pelajar kolej harus mengambil tindakan luar kotak menganjurkan program program intelektual yang berprofil tinggi bagi mengantikan aktiviti-aktiviti 'pasar malam' di dalam kolej kediaman. Betul, pasti yang akan tersenyum dengan pandangan ini, kononnya "siapalah yang berminat dengan majlis ilmu". "Lebih baik anjurkan pasar malam dan rumah hantu kerana ia pasti mendapat sambutan pelajar". Inilah cabarannya. Institusi felo harus berani untuk memulakan budaya ilmu berprofil tinggi di dalam kampus. bagi memastikan kelangsungannya, pasukan felo mesti menjadi  pasukan yang menggerakkan aktiviti keilmuaan, sehinggalah aktiviti ilmiah berjaya menjadi satu budaya di kalangan para pelajar UKM.
    • Kedua, kebolehpasaran mahasiswa merupakan kemuncak kepada mengapa pelajar datang belajar di UKM dan ingin keluar universiti dengan berjaya. Oleh itu, bila institusi felo berjaya memberikan tumpuan kepada meningkatkan kebolehpasaran pelajar di kolej masing masing, mereka pasti dilihat relevan di kolej masing masing.
    • Ketiga, pasukan felo merupakan 'peransang' untuk pelajar mengadakan lebih banyak dengan jaringan pihak luar, samada komuniti mahupun industri. Semakin banyak jaringan yang berjaya dilakukan oleh pasukan felo, maka akan semakin banyak peluang terbuka untuk para pelajar di kolej kolej mereka.
    • Keempat, pasukan felo harus meneliti, memahami serta menterjemah pelan Tranformasi UKM dan melihat secara mendalam bagaimana institusi felo boleh memberikan sumbangan yang siknifikan. Bagaimanan institusi felo boleh menyumbang untuk menjayakan pengantarabangsaan bahasa melayu, soal penghasilan graduan yang berminda global serta sistem penyampaian yang berkesan.
  13. Jika rakan rakan felo yang sedang berkhidmat di kolej kolej kediaman sekarang merasakan cabaran ini sukar dan berat, saya setuju. MMenag berat dan perlukan latihan untuk menguasainya. Malah pada saya, ini bukanlah salah para felo. Untuk meningkatkan keupayaan felo, lebih banyak latihan, kursus, bengkel dan seminar yang perlu didedahkan pada para felo. Pihak HEPA melalui JPPEL tentunya sudah ada perancangan untuk menjayakan hasrat mewujudkan pasukan felo terbaik di UKM. 
  14. Semoga institusi 'keramat' ini akan terus berada di UKM. Saya panggil keramat kerana institusi felo yang dianggotai sekitar 150 orang sahaja, bertanggungjawab kepada hampir 13,000 pelajar yang tinggal di semua kolej kolej kediaman UKM. Pasukan felo juga merupakan pasukan yang paling di hadapan dalam pengurusan HEPA, kerana merekalah kumpulan yang paling hampir dengan pelajar. Mereka makan, minum, tidur dan hidup bersam sama pelajar di kolej kolej. Mereka tahu asam garam kehidupan pelajar, mereka juga tahu suka duka pelajar di kolej. Mereka selalu mendengar pujian, cemuhan, rungutan dan kritikan pelajar pada pihak pengurusan UKM. Mereka mendengar dan mereka merasainya. Oleh itu, pada saya institusi ini ada kekuatannya, dan ada keramatnya....