24 March, 2012

Tranformasi Sistem Pendidikan Negara: Mana pandangan pemimpin pelajar UKM?

Sejak dua minggu ini, beberapa kali saya berulang alik dari UKM ke Putrajaya kerana terlibat dalam perbincangan berkaitan Cadangan Tranformasi Sistem Pendidikan Negara yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dan Timbalannya.

Selain berbengkel, 'brain-storming' dan diskusi, pihak akhbar juga semakin sibuk untuk mendapat komentar tentang konsep sistem pendidikan negara yang akan mula digerakkan beberapa tahun lagi.

Sejak merdeka beberapa kali negara kita telah membentuk, mengubah- semula sistem pendidikan kebangsaan. Pada 1956 Laporan Razak dihasilkan setahun sebelum negara merdeka. Pada 1960 pula Laporan Rahman Talib dihasilkan. Diikuti dengan Laporan Kabinet mengenai pelajaran dihasilkan pada 1984. Seterusnya membawa kepada pelaksanaan KBSR dan KBSM dibawah payung Falsafah Pendidikan Negara bagi mengantikan KLSM. Seterusnya diwartakan Akta Pendidikan 1996 dan pelancaran PSPTN di peringkat pengajian tinggi pada 2006. ini hanya sebahagian kecil dari puluhan lagi usaha kerajaan ke arah meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara. Tidak dinafikan juga ada beberapa perkara yang masih kurang diberikan perhatian oleh pihak kerajaan termasuklah membangunkan pendidikan agama Islam yang lebih berkesan serta bantuan kepada kumpulan termiskin mendapat pendidikan yang lebih baik.

Soalnya setelah sekian banyak pembaharuan dalam sistem pendidikan dilakukan, apakah kita masih lagi belum mencapai apa yang diharapkan? Jika diteliti kita tentu yakin bahawa sistem pendidikan negara berada di keadaan yang baik, kalau ada pun kekurangan, boleh sahaja diperbaiki dari masa ke semasa.

Namun bila diukur kualiti di peringkat global, sistem pendidikan yang dikatakan sudah baik ini pada pandangan umum rupanya masih ketinggalan sebenarnya. Negara kita masih dibelakang jika diukur skor daya saing globalnya. Potensi Modal insan negara ini secara keseluruhannya masih di belakang negara seperti Korea Selaran, Singapura, Hong Kong dan Taiwan. Korea Selatan misalnya pada tahun 1968, KDNK setaraf negara kita tetapi pada tahun 2010, KDNK Korea Selatan adalah 12 kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia! Salah satu sebabnya ialah potensi sumber manusia yang belum berjaya dikeluarkan dari sistem pendidikan negara. Malah negara seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia yang dulunya jauh di belakang negara kita pada tahun tahun 1980an, kini sedang mengejar dengan pantas dari segi keupayaan daya saing dengan negara kita.

Sejak beberapa minggu lalu, pihak kementerian pelajaran telah mewar warkan bahawa tranformasi pendidikan yang akan dilakukan secara besar besaran ini akan mengambil kira pendangan serta input yang diberikan oleh seluruh lapisan rakyat. Sasarannya, sejuta rakyat akan dilibatkan secara langsung dalam beberapa perbincangan peringkat daerah, negeri dan nasional. Malah ketika ini pun sebenarnya telah dimulakan oleh pihak ahli akademik, kesatuan guru guru, PIBG yang menganjurkan program untuk memberikan input kepada pihak KPM dalam bentuk kertas cadangan dan resolusi.

Di UKM, sehingga kini belum ada tanda tanda bahawa pihak kepimpinan pelajar khususnya di peringkat PMUKM akan menganjurkan perbincangan tentang simtem pendidikan kebangsaan dalam usaha memberikan input dari perspektif mahasiswa tentang apakah bentuk tranformasi pendidikan yang harus dilakukan oleh pihak kerajaan. Misalnya apakah asas utama yang harus ada dalam membina sistem pendidikan negara yang baru. Harus juga diingat bila sesuatu sistem pendidikan baru dibangunkan, hasil sepenuhnya hanya akan mula dinikmati paling awal 15 tahun dari sekarang. Oleh itu input kepimpinan mahasiswa hari ini sebenarnya mewakili pandangan pimpinan negara akan datang kerana mahasiswa hari ini akan berusia sekitar 35-40 tahun ketika sistem pendidikan negara akan matang 15 tahun dari sekarang.
Seharusnya penglibatan pimpinan mahasiswa UKM terkehadapan dalam isu ini sesuai dengan statusnya sebagai sebuah persatuan mahasiswa di sebuah universiti berstatus kebangsaan. Ini bukan kritikan tetapi sebagai satu pandangan ikhlas. Apa salahnya dianjurkan seminar atau perbincangan meja bulat dalam usaha menyatakan pandangan mahasiswa dalam pengubalan sistem pendidikan yang baru. Kalau pimpinan PMUKM tidak bersedia, pimpinan peringkat fakulti, kolej atau persatuan yang lebih kecil harus mengambil inisiatif menganjurkannya.
Jika mahasiswa lantang memperjuangkan penghapusan AUKU, berminat dengan hal politik nasional, tentunya memberikan input membangunkan pendidikan negara penting untuk mahasiswa turut serta.
Sikap mendiamkan diri pemimpin pelajar UKM membawa dua makna. Pertama, akan kelihatan seperti pemimpin mahasiswa hanya berminat dengan politik pecah belah yang berlaku di luar kampus (yang sepatutnya mahasiswa menggerakan idea menganjurkan politik penyatuan bukannya turut dihanyutkan oleh budaya politik luar kampus). Jadi bila dipohon memberikan input berkaitan pendidikan, ekonomi, hubungan kaum, sukan, budaya dan sebagainya mereka tidak menunjukkan minat sebagaimana dengan minat mereka terhadap politik. Kedua, akan kelihatannya pemimpin mahasiswa seperti tidak mempunyai idea untuk mereka kongsi dengan masyarakat dan kerajaan tentang bagaimana untuk menjadikan sistem pendidikan kita lebih baik untuk masa depan. Tentunya lebih mudah kerjanya menurunkan bendera di PWTC jika dibandingkan dengan menganjurkan perbincangan kemahasiswaan yang komprehensif. Alasannya mudah. Bila turunkan bendera satu negara akan kecoh, kalau setakat berbincang dan berseminar tak ramai pun yang tahu. Ironinya, dalam berpolitik sering kita lihat perlakuan mahasiswa berpolitik menjurus kepada tindakan tindakan berbentuk emosi semata mata. Amalan berdikusi, bermusyawarah, saling mencadang secara akademik dan memberikan idea secara aman masih kurang berlaku.Makanya emosi kelihatan lebih kuat pengaruhnya dari akal di kalangan mahasiswa. Jika begitu alasannya apakah akan berlaku pada mahasiswa negara ini seterusnya...