27 March, 2012

Lagi Lagi Pasal LC...

Hari ini seorang pelajar datang berjumpa saya untuk meminta pendapat kerana beliau ingin menggugurkan kursus pembangunan diri yang dilaksanakan berasaskan Kontrak Pembelajaran (LC). Bila saya tanya mengapa baru sekarang, di minggu yang ke enam semester berjalan. Jawabnya, "beban akademik semester ini sangat berat".

Bila saya cadangkan mungkin beliau boleh menilai serta menyusun semula keutamaan dalam rutin seharian beliau supaya masalah ini dapat diselesaikan, beliau terdiam. Beberapa ketika kemudian beliau bersuara " sebenarnya saya tak minat dengan pensyarah kursus Pembangunan Diri". Beliau namakan pensyarah berkenaan. Tapi biarlah saya rahsiakan.

"Mengapa?" soal saya. Mulalah beliau bercerita panjang. "Kami sebenarnya dimaklumkan kursus ini memberikan peluang untuk kami melakukan aktiviti yang kami suka. Seperti yang dilakukan di kolej. Malangnya di dalam kursus pembangunan diri, pensyarah berkenaan telah menetapkan apa yang kami kena lakukan. Sebab itu bidang kepakaran beliau. Beliau tak kisah samada kami suka atau tidak dengan aktiviti tersebut. Beliau juga tak benarkan kami tukar aktiviti selain dari apa yang beliau berikan"ujar pelajar tersebut.

Sekarang baru saya faham. Rupanya ada juga ahli akademik yang tidak menghayati konsep kontrak pembelajaran yang sedang dianjurkan oleh universiti. Mereka kekal dalam bentuk dan cara lama. Masuk kelas, beri kuliah, beri beban tugas, dan akhirnya beri markah.

Dalam menjayakan pendidikan, insan pelajar yang paling utama, kemudian barulah isi kandungan pengajaran. Jika seorang pensyarah tidak boleh atau tidak mampu memahami jiwa, keperluan, keinginan, kesukaan serta apakah kebencian yang ada pada pelajar, mereka sebenarnya sudah GAGAL sebelum berjuang. Kenali dan rasai dulu hatibudi diri pelajar dengan ihsan, dekati dan kenali kekuatan serta kelemahan pelajar kemudian barulah mula mengajar. Itu yang sepatutnya.

Dalam sekumpulan pelajar, sangat salah kalau pensyarah katakan semuanya adalah sama sahaja. Sememangnya mereka tidak sama. Tidak sama sama sekali. Ada yang bijak bertutur, ada yang pandai menulis, ada yang pandai berfikir dan pula yang pandai melaksanakan arahan. Ada yang malu, ada pula yang yakin diri, ada yang keliru identiti dan ada pula yang suka memanipulasi. Semua ini adalah pelajar. Baik dan buruk yang ada dalam diri mereka itulah sebenarnya yang menjadikan pendidikan sesuatu yang mengujakan. Pada pelajar yang baik, pensyarah harus meningkatkan lagi potensi mereka, pada yang lemah pensyarah juga yang harus memberikan 'ubatnya'.

Saya tak pasti berapa ramai pensyarah yang tidak baik, tetapi saya kenal dengan ramai pensyarah yang sangat baik pada pelajar.

Lalu saya katakan pada pelajar berkenaan "anda sudah dewasa, anda sudah tahu apa yang baik untuk kemajuan anda, jika anda rasa pensyarah berkenaan tidak berupaya membantu anda, dengan cara yang baik tinggalkanlah kursusnya... carilah pensyarah lain yang punyai potensi untuk membangunkan diri anda..." Beliau tersenyum. Mungkin sudah merangka-rangka apakah isi kandungan surat permohonan untuk mengugurkan kursus berkenaan.