18 February, 2013

Mahasiswa UKM Jangan Sampai Menang Sorak Kampung Tergadai !

Perbualan saya dengan ramai pelajar UKM menunjukkan majoriti daripada mereka masih kurang jelas mengapa aktiviti ko-kurikulum dijalankan. Mereka memberikan jawapan yang hampir sama."Untuk meningkatkan softskills!" Bila diajukan soalan soalan yang lebih mendalam apakah yang mereka maksudkan dengan softskills dan bagaimana mereka boleh mencapainya melalui aktiviti ko-kurikulum, jawapan yang diberikan tidak menunjukkan mereka benar benar faham atau bergerak ke arah yang sepatutnya. Mereka tidak dapat menerangkan bagaimana proses pencapaian softskills dapat dilakukan untuk diri mereka sendiri.

Saya lihat seperti ada jurang yang besar antara apa yang mereka tahu tentang isikandungan softskills dengan kemahiran yang sepatutnya dicapai. Misalnya bila ditanya apakah yang dimaksudkan dengan kemahiran komunikasi (tentunya saya tidak bertanya secara formal tetapi secara berbual) saya dapati jawapannya akan ada dua yang utama iaitu (1) kemahiran berinteraksi dengan orang lain- membawa maksud kemahiran lisan dalam bentuk  pengucapan awam (public speaking), (2) kemahiran menguasai bahasa Inggeris.

Saya tidak mendapat jawapan yang lain misalnya kemahiran komunikasi juga tercerna dari kemahiran menulis (artikel, surat rasmi etc), kemahiran mendengar yang intiutif, kemahiran interaksi sosial bersemuka, penguasaan isu dan hal ehwal semasa, bagaimana memulakan perbualan dengan orang yang baru kita kenal, komunikasi dalam konteks (ada bezanya berbual dengan rakan karib, dengan orang kampung, dengan bakal majikan, semasa temuduga etc) dan kemahiran berkata "tidak' atau menolak pandangan orang lain dengan cara yang baik.

Saya timbulkan hal ini kerana rata-rata aktiviti ko-kurikulum/aktiviti pelajar yang berlaku di UKM mengabaikan komponen pendidikan ini. Pelajar cenderung menyiapkan aktiviti tanpa memikir dan berkeinginan untuk menggunakan aktiviti tersebut bagi tujuan meningkatkan kemahiran kemahiran insaniah yang sangat diperlukan dalam kehidupan masa depannya samada tujuan kerjaya atau tujuan kehidupan berkeluarga nanti.

Jika seorang pelajar merasakan dirinya lemah dalam komunikasi, misalnya 'bagaimana untuk memulakan perbualan dengan orang yang baru kita kenal", maka semasa beraktiviti inilah beliau mencari peluang untuk meningkatkan kemahiran tersebut. Bukannya dengan cuba melarikan diri disebalik rakan rakan yang lain.

Saya punya pengalaman di mana dalam satu majlis perasmian aktiviti pelajar, saya pernah 'menghalau' sekumpulan pelajar yang bertugas sebagai urusetia perasmian (termasuk pengarah projek) supaya mereka segera bertemu dengan penceramah yang mereka sendiri jemput. Bayangkan penceramah tersebut duduk seorang diri di dalam bilik menunggu, tiada pelajar yang bersama berbual dan berkomunikasi dengan beliau. Bila saya tanya mengapa biarkan penceramah seorang diri, ada pelajar yang menjawab "kami tak tahu apa yang nak dibualkan dengan beliau".  Begitu sekali sifat dan sikap yang ada pada pelajar. Sepatutnya jika sudah tahu lemah dalam kemahiran tersebut, inilah peluangnya untuk meningkatkan kemahiran tersebut. Mungkin tidak cukup sekali, dua kali atau tiga kali. Mungkin perlu berkali kali. Jika dibiasakan, lama kelamaan kemahiran 'memulakan perbualan dengan orang yang kita tidak kenal atau baru kenal" akan datang dalam diri setiap pelajar yang ingin meningkatkan kemahiran komunikasi mereka.

Sebab itu saya risau bila semakin banyak aktiviti yang dianjurkan oleh pelajar UKM tidak mementingkan soal mencapai 'softskills' ini. Mottonya asalkan projek siap, asalkan selesai. pelajar harus faham  persediaan mereka untuk kuasai semua bentuk kemahiran ini sangat penting. Di UKM, pihak pengurusan dengan bantuan pakar pakar tel;ah menetapkan ada lapan kemahiran kritikal yang perlu dikuasai oleh pelajar melalui ko-kurikulum. Komunikasi, membuat penyelesaian masalah, kerja berpasukan, kemahiran mendapatkan maklumat, kepimpinan, keusahawanan etc. Tentunya banyak lagi yang lain tetapi lapan ini yang dianggap paling kritikal.

Maka itu kesedaran ini sangat penting untuk dilakukan. beraktiviti untuk pembangunan diri. Itu sebabnya saya selalu katakan pada pelajar saya di IZISH, bila kita beraktiviti, kita sebenarnya mencari masalah. Mencari masalah dan menyelesaikan masalah adalah teras mengapa kita ingin beraktiviti. Jika seseorang pelajar menjalankan aktiviti tetapi tidak ingin menghadapi masalah, sentiasa cuba melarikan diri bila berdepan dengan masalah atau cabaran, saya katakan lebih baik jangan beraktiviti, kerana anda hanya akan dapat penat dan lelah sahaja. Kemahiran diri tetap ditakuk lama. Misalnya jika cuba lari dari membuat pembentangan projek dan meminta orang lain melakukannya, lebih baik tidak payah beraktiviti. Jika cuba mengelak dari berjumpa dan berbincang dengan pihak penaja atau penyumbang, dan meminta orang lain melakukannya, elok berhenti sahaja dari beraktiviti.

Tentulah bila pelajar ingin mencuba menghadapi cabaran dan masalah, mereka tidak semestinya selalu berjaya. Mencabar diri bersemuka dan berbincang dengan pihak penaja tidak semestinya akan berjaya mendapat tajaan, tetapi pengalaman tersebut pada saya sudah dianggap satu kejayaan. Dalam beraktiviti di kampus tiada istilah BERJAYA atau GAGAL. Semua yang menganjurkan aktiviti adalah berjaya, walau sebagaimana tidak lancarnya aktiviti tersebut. Yang gagal ialah individu pelajar yang cuba lari dari cabaran dalam menganjurkan aktiviti. Sebab itu pada saya sebagaimana hebat pun sesuatu aktiviti dilaksanakan, jika ia tidak berjaya membangunkan softskills pelajar, saya anggap samalah seperti kisah Pak Kaduk "Menang Sorak Kampung Tergadai"..riuh rendah  menjalankan aktiviti, tetapi pada akhirnya untuk yang dapat hanya penat dan lelah sahaja..