10 October, 2012

Persatuan Pelajar UKM Perlukan Transformasi Besar-Besaran

Saya sejak sekian lama sentiasa meneliti perkembangan persatuan pelajar UKM. Hari ini, bilangan persatuan pelajar yang berdaftar dengan JPPEL sudah menjangkau 202 buah persatuan. Bagaimanapun dikhabarkan hanya sekitar 60 buah sahaja persatuan yang benar benar konsisten aktif. Yang lain ada yang 'turun naik' prestasinya. Manakala sebahagian yang lain pula merupakan persatuan yang tidak aktif langsung. Tetapi akan kembali 'berpura pura' kelihatan aktif bila surat peringatan dikeluarkan pihak UKM untuk menamatkan pendaftaran persatuan mereka.

UKM masih kekal sebagai IPT yang paling banyak persatuan di negara ini. Data ini saya perolehi ketika menjadi salah seoarang panel penyelidik kepada pihak KPT sejak tiga tahun lalu berkaitan ko-kurikulum dan peningkatan kebolehpasaran mahasiswa IPT. Kami bergerak dari sebuah IPT ke IPT bagi meneliti kegiatan ko-kurikulum pelajar. Maknanya dari segi kuantiti persatuan pelajar, UKM memang telah hebat dan terkehadapan sekali!

Oleh kerana bilangan persatuan pelajar UKM yang  begitu banyak, secara langsung bilangan aktiviti juga banyak. Setiap tahun purata aktiviti persatuan pelajar UKM mencecah hampir 1,000 aktiviti. Itu yang telah berdaftar dengan pihak JPPEL. Bayangkan aktiviti dalaman samada di fakulti, kolej dan persatuan yang mana aktiviti tersebut tidak didaftarkan dengan JPPEL sebaliknya mendapat kelulusan pihak kepengetuaan kolej atau kedekanan fakulti. Tidak dinafikan jumlah aktiviti persatuan pelajar UKM sebenarnya lebih dari seribu aktiviti.

Apakah jumlah sebegini banyak persatuan dan juga aktiviti secara objektifnya telah membuktikan kemahiran insaniah pelajar UKM meningkat? Tiada siapa yang tahu. Apatah lagi mengetahui sejauh mana peningkatan tersebut telah memberikan impak keupayaan pelajar UKM secara keseluruhannya ?

Sempena minggu pengenalan persatuan yang sedang berlangsung (9-12 Oktober 2012) di PUSANIKA, saya sempat membuat kunjungan ke setiap kaunter persatuan, berbual dan bertanya khabar untuk melihat perkembangan persatuan pelajar di UKM. Kesimpulan akhir yang boleh saya katakan sepanjang kunjungan saya ialah prestasi persatuan pelajar "ada yang baik, ada yang masih boleh dipertingkatkan dan ada sebahagiannya mengecewakan".

Harap pimpinan pelajar dapat menerima pandangan saya ini secara positif. Pandangan ini ikhlas ke arah mengimpikan persatuan pelajar UKM yang lebih dinamik dam hebat pada sesi ini dan sesi sesi mendatang. Sekurang kurang persatuan yang mengambil bahagian di PUSANIKA telah menyahut cabaran. Masih banyak persatuan lain yang langsung lesu dan tidak mengendahkan usaha untuk membuka kaunter dan mempromosikan persatuan mereka pada pelajar UKM khususnya pelajar tahun satu. Saya ucapkan tahniah pada pimpinan persatuan di atas penglibatan persatuan di bawah amanah mereka di PUSANIKA.

Selain bilangan pengunjung yang agak kurang (pada hari kedua program berjalan), kaunter kaunter persatuan yang mengambil bahagian juga tidak melakukan banyak iniasiatif untuk menarik pendaftaran pelajar baru secara agresif dan menyakinkan. Rata-rata yang berada di kaunter tidak dapat menerangkan secara mendalam aktiviti yang mereka telah laksanakan. Mungkin kerana yang bertugas di kaunter adalah pelajar baru juga!  rata-rata kelihatan lebih banyak berdiam diri bila pengunjung melewati kaunter mereka. Jika pun berbual lebih kepada sesama rakan mereka. Saya membayangkan sepatutnya aktiviti promosi di dalam menarik ahli baru ibarat eksekutif jualan kad kredit di 'shopping mall'. Tiada pamplet persatuan, tiada pemasaran dan juga aktiviti yang bertujuan membuka 'hati' pengunjung untuk mendekati kaunter kaunter persatuan.

Saya rasa persatuan pelajar UKM perlukan satu tranformasi besar besaran untuk mengalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti mereka. Tiga perkara utama yang perlu ditranformasikan. Pertama mindset pimpinan persatuan pelajar UKM. Kedua, bentuk aktiviti yang dilaksanakan dan ketiga proses dokumentasi semua aktiviti yang dilaksanakan oleh persatuan pelajar.

Mindset kepimpinan persatuan pelajar UKM kelihatannya seperti masih mewarisi bentuk dan kerangka pemikiran pimpinan pelajar UKM era 1990an. Mengapa saya berkata begitu? Lihatlah bentuk organisasi, jawatan yang dinamakan, matlamat dan tujuan persatuan, semuanya kekal seperti mana era 1990an. Di saat masyarakat luar sudah jauh berubah, malah rata rata semua pelajar UKM juga sudah jauh berubah, cara pengorganisasian persatuan pelajar UKM tidak juga berubah ubah. Gaya kepimpinan era 1990an kekal kuat menyelimuti organisasi dan gaya pimpinan pelajar UKM hari ini. Maka itu, saya cadangkan semua persatuan pelajar UKM segera duduk dan bina kembali penyataan visi, Misi dan objektif persatuan di bawah pimpinan masing masing supaya mendepani keperluan mahasiswa masakini.

Keduanya, aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan pelajar sewajibnya diselarikan dengan keperluan pelajar hari ini sesuai dengan perubahan yang sedang berlaku dalam masyarakat. Pimpinan persatuan pelajar UKM harus segera cakna dengan isu isu masakini seperti kebolehpasaran mahasiswa, political literacy, hubungan dan pengetahuan isu antarabangsa, perbincangan politik baru, perkembangan ekonomi dan perubahan sosial masyarakat.

Sebagai contoh persatuan anak negeri seharusnya membawa perbincangan isu ekonomi dan sosial negeri masing masing ke UKM. Anak negeri Johor mungkin boleh membawa perbincangan berkaiatan pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar, Anak Negeri Pahang membawa isu Lynas, Anak Negeri yang mempunyai banyak wilayah Felda mungkin boleh membawa isu Felda FGV untuk diperdebatkan di dalam UKM.

Bagaimana dengan persatuan dan urusetia lain? Misalnya persatuan bersifat antarabangsa? AIESEC, Sahabat Aqsa, kelab United Nation dan sebagainya? Apa pula agenda dan misi besar Urusetia ASPIRASI, ISIUKM,Kelab Wawasan, Kelab Perkim, Kelab Penyayang dan sebagainya?

Ketiga, kita juga mengharapkan tranformasi di dalam cara persatuan mendokumenkan aktiviti mereka. Bila saya berkunjungi dari satu kaunter ke kaunter persatuan pelajar yang terlibat dengan minggu pengenalan persatuan di PUSANIKA, satu perkara yang sangat ketara ialah hampir semua persatuan tidak mempunyai sistem dokumentasi yang baik. Maksud dokumentasi bukanlah sekadar sistem file (yang juga saya tahu masih tidak teratur dan lemah) tetapi dokumentasi yang lebih merujuk kepada sistem merekodkan untuk rujukan semua aktiviti yang telah dianjurkan. rata rata pameran sekadar meletakan gambar gambar yang dicetak dalam keadaan yang agak tergesa gesa, tiada frame apatah lagi dalam bentuk poster. Sepatutnya semua aktiviti direkodkan dalam bentuk laporan dan juga poster (untuk tujuan pameran dan rujukan). Malah sepatutnya sudah bermula tradisi mendokumenkan semua aktiviti atau gabungan aktiviti perastuan pelajar yang diterbitkan dalam bentuk buku untuk rujukan dan bacaan umum. Dengan adanya bilik bilik persatuan pelajar yang baru siap di bina di PUSANIKA oleh pihak UKM, seharusnya tranformasi ini segera digerakkan.

PMUKM sebagai sebuah badan induk juga harus mula mengerakkan usaha membantu mentranformasikan persatuan persatuan pelajar UKM. Malah PMUKM juga sebenarnya perlukan transformasi. PMUKM sebagai sebuah majlis perwakilan pelajar UKM bukanlah penganjur kepada aktiviti. PMUKM adalah majlis yang membincangkan isu dan mencadangkan dasar dalam pembangunan pelajar di UKM. Jika PMUKM sekadar menganjurkan aktiviti, dan tidak pernag mengambil tahu tentang halatuju semua persatuan pelajar yang lain, hilanglah martabatnya sebagai badan induk kepada semua persatuan persatuan pelajar di UKM.

Sedih mendengar keluhan beberapa pimpinan persatuan yang mengambil bahagian di PUSANIKA. Antara lain mereka seperti bersetuju semakin ramai pelajar tidak berminat dengan aktiviti berpersatuan. Ada diantaranya yang seperti menyalahkan JAKSA Kolej kerana telah mendominasi penyertaan pelajar baru untuk aktiviti kolej. Ada pula yang menyalahkan sistem LC yang merencatkan keinginan pelajar tahun satu aktif berpersatuan, katanya tidak mendapat kredit dari PAP. Ada pula yang menyalahkan pihak UKM yang kononya tidak salurkan dana yang mencukupi untuk menganjurkan aktiviti persatuan.

Ada lagi berbagai keluhan yang disampaikan. Saya mendengar dan memberikan senyuman..di dalam hati saya segera menjawab, "inilah seronoknya menjadi pimpinan pelajar di universiti, diasak dengan pelbagai halangan dan cabaran, maka akan bermulalah pembinaan karisma, kreativiti, kematangan, kekuatan dalaman, bijak membuat keputusan yang tepat dan segera dan kebolehan dalam merancang strategi untuk mencapai objektif"..
Semoga semua pimpinan persatuan pelajar UKM akan tabah untuk terus memimpin..